Mungkin ramai yang tahu saya ke utara Pakistan semasa musim panas tahun lepas. Mungkin juga ramai yang tahu kesemua kenangan melalui gambar dan video lenyap bersama pencuri laptop saya juga tahun lepas. Semenjak itu saya semakin tawar hati untuk menulis mengenainya. Sehinggalah pada hari ini. Bulan Julai 2011 genaplah setahun saya singgah ke utara Pakistan. Oleh kerana saya bercadang untuk singgah lagi ke sana tahun ini, saya rasakan catatan ini perlu dilengkapkan sebelum Julai 2011.


Catatan perjalanan ini akan berselang-seli dengan gambar-gambar kenangan yang ada bersama saya, yang berjaya diselamatkan. Rasa menyesal pula tidak berblog secara langsung (liveblog) semasa kembara ke utara Pakistan tahun lepas. Banyak masalah dan rintangan yang saya dan rakan seperjalananku hadapi sebelum, semasa dan selepas kembara ke bumi ajnabi ini. Semuanya akan saya coretkan di sini, untuk panduan dan untuk kalian menikmati sendiri catatan pengalaman kami.
Aku akan cuba catitkan kesemua perjalanan kembara ini secara terperinci, daripada perancangan, apa yang kami makan, masalah yang kami hadapi, suasana sebenar di lembah di utara Pakistan. Pendek kata segala-galanya akan dikongsi bersama. Aku akan bahagikan catatan perjalanan ini kepada beberapa bahagian, terlampau panjang rasanya untuk mencatat segala-galanya di dalam satu catatan blog sahaja. Harap kalian dapat bersabar sementara aku mengumpul tenaga dan memori mengingati kembali kembara ke Lembah Gilgit-Hunza-Skardu-Deosai pada Julai 2010 ini ya.






