Mungkin ramai yang tahu saya ke utara Pakistan semasa musim panas tahun lepas. Mungkin juga ramai yang tahu kesemua kenangan melalui gambar dan video lenyap bersama pencuri laptop saya juga tahun lepas. Semenjak itu saya semakin tawar hati untuk menulis mengenainya. Sehinggalah pada hari ini. Bulan Julai 2011 genaplah setahun saya singgah ke utara Pakistan. Oleh kerana saya bercadang untuk singgah lagi ke sana tahun ini, saya rasakan catatan ini perlu dilengkapkan sebelum Julai 2011.
Catatan perjalanan ini akan berselang-seli dengan gambar-gambar kenangan yang ada bersama saya, yang berjaya diselamatkan. Rasa menyesal pula tidak berblog secara langsung (liveblog) semasa kembara ke utara Pakistan tahun lepas. Banyak masalah dan rintangan yang saya dan rakan seperjalananku hadapi sebelum, semasa dan selepas kembara ke bumi ajnabi ini. Semuanya akan saya coretkan di sini, untuk panduan dan untuk kalian menikmati sendiri catatan pengalaman kami.
Aku akan cuba catitkan kesemua perjalanan kembara ini secara terperinci, daripada perancangan, apa yang kami makan, masalah yang kami hadapi, suasana sebenar di lembah di utara Pakistan. Pendek kata segala-galanya akan dikongsi bersama. Aku akan bahagikan catatan perjalanan ini kepada beberapa bahagian, terlampau panjang rasanya untuk mencatat segala-galanya di dalam satu catatan blog sahaja. Harap kalian dapat bersabar sementara aku mengumpul tenaga dan memori mengingati kembali kembara ke Lembah Gilgit-Hunza-Skardu-Deosai pada Julai 2010 ini ya.
15 Julai 2010 @ 1900hrs | Restoran Nandos, Super Market F6, Islamabad | Wilayah Punjab, Pakistan
Saya boleh katakan yang segala-galanya bermula di Restoran Nandos yang baru dibuka di Super Market di Sektor F6 Islamabad. Saya bersama dengan dua orang rakan yang bekerja di Islamabad berjumpa sambil makan malam di sini. Berbekalkan buku Lonely Planet Pakistan & The Karakoram Highway, Insight Guides Pakistan dan Footnote Northern Pakistan, kami merancang segala-galanya di sini, sambil meratah ayam nandos dan sos peri-peri. Gelak ketawa kadangkala diselang seli dengan aksi serius kami bertiga. Pasti krew-krew berbangsa Pakistani pelik melihat kami kadangkala ketawa terbahak-bahak dan kadang kala serius menatap buku rujukan perjalanan ke Utara Pakistan.
Kami sepakat untuk menempah tiket kapalterbang ke Lapangan Terbang Gilgit. Perancangan asalnya adalah untuk menaiki kapalterbang ke Gilgit, menyewa kenderaan ke Khunjerab Pass di sempadan Pakistan-China dan kembali ke Gilgit semula sebelum ke Islamabad dengan kapalterbang juga. Perjalan melalui jalan udara sepatutnya mengambil masa satu jam sahaja. Perjalanan melalui jalan darat lebih panjang dan memenatkan. Daripada kajian kami, kami dapati perjalanan melalui jalat darat akan mengambil masa lebih kurang 26 jam dari Islamabad ke Gilgit sahaja. Mendengarkan 26 jam sudah cukup mengerikan, inikan pula menempuhnya di alam realiti nanti.
Kami telah bersepakat untuk pergi ke Utara Pakistan pada minggu hadapan atau selang seminggu dari sekarang. Musim panas tengah membahang ketika ini. Kedua-dua rakan saya tadi ditugaskan untuk menempah tiket kapalterbang, manakala saya akan menyediakan perancangan perjalanan dan tempat-tempat yang akan dilawati. Kami akan pergi ber-empat, lagi seorang rakan kami, Adrian yang masih berada di Kolej Perubatan Ayub, Abbottabad (3 jam perjalanan dari Islamabad). Kami pulang dari Restoran Nandos dengan ceria. Tanpa ada rasa resah gelisah. Saya sudah terbayang-bayang akan keindahan Lembah Hunza dan suasana yang memukau di Utara Pakistan.
16 Julai 2010 @ 1830hrs | Rumah Saya, Sektor F-7/4, Islamabad | Wilayah Punjab, Pakistan
Perancangan yang difikirkan akan mudah rupa-rupanya agak sukar. Rakan saya yang bekerja di Petronas Carigali, Nazim dan Faizal memberitahu yang tiket kapalterbang Islamabad-Gilgit dan Islamabad-Chitral, malah Islamabad-Skardu telah habis ditempah ketika ini. Kesemunya telah habis di tempah seawal bulan Mac 2010 lagi. Saya agak sedikit kecewa namun tidak berputus asa. Pasti ada jalan keluar daripada kemelut mendapatkan tiket ke Utara Pakistan ini. Saya menghubungi agen pelancongan saya dah jawapannya masih juga sama, tiada tiket!
Termenung saya seketika mengenangkan bagaimana kami akan ke Utara Pakistan tanpa melalui jalan udara? Takkan pula nak menaiki kenderaan merentas dan menempuh Lebuhraya Karakoram yang sungguh menyeramkan dan mengerikan, setidak-tidaknya untuk pelancong rakyat asing seperti saya ini. Kadang-kadang terasa mahu membatalkan sahaja misi kembara ke Utara Pakistan ini. Untuk pengetahuan kalian, kawasan di Utara Pakistan hanya akan dibuka pada musim panas dan ditutup sepenuhnya pada musim dingin. Justeru Utara Pakistan hanya boleh dijelajahi pada Mei hingga ke Oktober setiap tahun sahaja. Selebihnya agak sukar untuk ke sana dek kerana salji tebal dan glacier yang meruntuh.
Puas saya meneliti dan membelek-belek buku panduan Lonely Planet Pakistan & Karakoram Highway berkali-kali untuk mendapatkan sedikit ilmu akan perjalanan ke Utara Pakistan nanti. Namun fikiran saya buntu pula ketika ini. Jika bukan kali ini saya ke Utara Pakistan, bila lagi? Masa untuk ke Utara Pakistan sebenarnya agak singkat. Jika saya gagal pergi pada musim panas kali ini, saya akan terpaksa untuk menunggu pada musim panas 2011 pula nanti.
17 Julai 2010 @ 1900hrs | Restoran Nandos, Super Market F6, Islamabad | Wilayah Punjab, Pakistan
Sekali lagi kami semua berkumpul di restoran yang sama untuk berbincang dan meneliti perancangan ke Utara Pakistan. Setelah gagal untuk mendapatkan tiket kapalterbang, salah seorang daripada rakan saya mengutarakan idea untuk pergi melalui jalan darat sahaja. Saya agak sedikit keberatan untuk bersetuju dengannya, namun saya tiada pilihan.
Saya ditugaskan untuk mencari alternatif kenderaan ke Utara Pakistan. Sukar rupanya untuk menjelajah ke negara ini. Anda hanya ada opsyen yang sedikit sahaja dan tidak pelbagai. Mereka di sini memang tidak menitikberatkan akan aspek pelancongan. Mungkin inilah yang dikatakan road less travelled agaknya.
*bersambung di bahagian seterusnya…..*

5 responses to “Travelog Gilgit-Hunza-Skardu-Deosai | Musim Panas 2010 @ Bahagian 1 | Perancangan Awal, Restoran Nandos & Kehabisan Tiket Kapalterbang”