Tatkala saya menaip coretan di malam hari ini, pasukan kriket Sri Lanka telah pun melangkah ke perlawanan akhir kriket Piala Dunia 2011. Sri Lanka menewaskan New Zealand di dalam satu perlawanan yang cukup sengit. Perlawanan berlangsung dari jam 2 petang sehingga hampir ke jam 10 malam. Bagi saya New Zealand memang telah mempamerkan permainan terbaik mereka. Mungkin nasib tidak menyebelahi mereka kali ini. Seperti Australia yang tewas kepada India di perlawanan suku akhir tempohari.
Daripada suratkhabar online tribune.pk – klik di sini
Esok Pakistan akan bertemu dengan musuh tradisi mereka, India. Ini adalah perlawanan yang dinantikan oleh kesemua peminat kriket seluruh dunia. Perlawanan yang dijangka akan sengit dan sukar bagi kedua-dua negara berjiran ini. Saya perhatikan di mana-mana sahaja di Islamabad, malah di seluruh negara ini, rakyatnya memang tergila-gilakan kriket. Di mana-mana sahaja anda akan ketemu dengan warga Pakistan yang asyik bermain kriket. Mereka akan bermain kriket sambil bersalwar khameez (pakaian kebangsaan) mereka. Sarung sahaja kasut sukan, dan anda telah bersedia untuk bermain kriket di mana-mana. Tidak kira tua muda, miskin kaya, semuanya memang gila kriket di sini. Tidak kira di padang kriket sebenar, di jalanraya, di tepi jalan, di tepi kawasan lapang berpokok, depan rumah, malah depan kedai di Jinnah Super sekalipun mereka akan bermain kriket. Pernah juga bola kriket mereka hampir-hampir terkena saya ketika aku sedang membeli barangan runcit di kedai di Jinnah Super tahun lepas.