[4 Photos] Mereka Memang Gila Kriket Di Sini, Boom Boom Afridi & Pakistan Zindabad ! | Spring 2011 | Marvi Rd & Jinnah Supermarket F-7 | Islamabad, Pakistan

Tatkala saya menaip coretan di malam hari ini, pasukan kriket Sri Lanka telah pun melangkah ke perlawanan akhir kriket Piala Dunia 2011. Sri Lanka menewaskan New Zealand di dalam satu perlawanan yang cukup sengit. Perlawanan berlangsung dari jam 2 petang sehingga hampir ke jam 10 malam. Bagi saya New Zealand memang telah mempamerkan permainan terbaik mereka. Mungkin nasib tidak menyebelahi mereka kali ini. Seperti Australia yang tewas kepada India di perlawanan suku akhir tempohari.

Daripada suratkhabar online tribune.pk – klik di sini

Esok Pakistan akan bertemu dengan musuh tradisi mereka, India. Ini adalah perlawanan yang dinantikan oleh kesemua peminat kriket seluruh dunia. Perlawanan yang dijangka akan sengit dan sukar bagi kedua-dua negara berjiran ini. Saya perhatikan di mana-mana sahaja di Islamabad, malah di seluruh negara ini, rakyatnya memang tergila-gilakan kriket. Di mana-mana sahaja anda akan ketemu dengan warga Pakistan yang asyik bermain kriket. Mereka akan bermain kriket sambil bersalwar khameez (pakaian kebangsaan) mereka. Sarung sahaja kasut sukan, dan anda telah bersedia untuk bermain kriket di mana-mana. Tidak kira tua muda, miskin kaya, semuanya memang gila kriket di sini. Tidak kira di padang kriket sebenar, di jalanraya, di tepi jalan, di tepi kawasan lapang berpokok, depan rumah, malah depan kedai di Jinnah Super sekalipun mereka akan bermain kriket. Pernah juga bola kriket mereka hampir-hampir terkena saya ketika aku sedang membeli barangan runcit di kedai di Jinnah Super tahun lepas.

Ketika saya mula-mula sampai di Pakistan dahulu saya kurang memahami mengapakah mereka begitu tergila-gilakan kriket. Mereka rela mati demi kriket. Bagi mereka cricket is a religion, hockey is our hope. Saya pernah melihat kain rentang tertulis ayat berkenaan di dalam satu stadium ketika perlawanan kriket antarabangsa melibatkan Pakistan. Dan kini barulah saya rasa saya faham mengapa mereka tergila-gilakan kriket. Ini kerana pasukan mereka memang bagus. Pasukan kriket Pakistan adalah Top 10 ranking Pasukan Kriket Dunia. Bayangkan jika pasukan bola Malaysia di takuk begitu, tak ke bangga kita sebagai rakyat Malaysia bukan?

Pasukan Pakistan kini diketuai oleh Shahid Afridi. Beliau juga dikenali sebagai Boom Boom Afridi, gelaran yang diberikan oleh deejay radio Pakistan semasa mengulas perlawanan di antara India dan Pakistan pada Siri ODI suatu ketika dahulu. Saya masih ingat lagi akan kes Afridi menggigit bola dan digantung beberapa perlawanan oleh Persekutuan Kriket Antarabangsa (ICC) tahun lepas. Itulah hakikatnya, pemain yang pernah digantung ini kini adalah ketua pasukan kriket negaranya. Esok beliau akan mengetuai Pakistan bertemu India di dalam perlawanan getir hidup mati pada pusingan separuh akhir Kriket Piala Dunia 2011.

Di Islamabad memang telah riuh rendah dengan pekikan Pakistan Zindabad di mana-mana. Pakistan Zindabad adalah sinonim kepada laungan Malaysia Boleh bagi kita. Ia umpama war cry yang dijerit dan diulang bagi menaikkan semangat warga Pakistan di mana-mana sahaja. Anda akan mendengar mereka menjeritnya di Sempadan Wahga (berhampiran Lahore) ketika upacara menurunkan bendera, di stadium ketika bersorak untuk pasukan mereka, malah di mana-mana sahaja. Kadang-kadang saya juga terikut-ikut dengan semangat kesukanan mereka di sini. Sukan nampaknya boleh menyatukan mereka di sini. Negara yang kini bergolak dengan seribu satu masalah ini, daripada masalah ekonomi, pengganas, Taliban, hubungan dengan Barat dan sebagainya ini, kini akan bersatu di bawah panji-panji kesukanan.

Semalam ketika saya singgah ke Kedai Roti Rahat di Blue Area Islamabad, telah ada kek dan biskut menyerupai padang kriket dan juga bat kriket di sana. Kek berbentuk bola kriket juga ada. Mereka memang gila kriket di sini. Anda akan ketemu juga tv yang sedang memasang perlawanan kriket di mana-mana kedai yang anda kunjungi. Dunia akan terhenti seketika di sini tatkala pasukan Pakistan bertarung dengan pasukan lain di dalam mana-mana perlawanan kriket. Jika anda tidak percaya, marilah ke Islamabad dan tinggal bersama saya di sini.

Anda masuk ke mana-mana kedai dan kebarangkalian anda tidak dilayan langsung adalah amat tinggi ketika ini! Jangan berkecil hati kerana itulah sikap mereka. Saya tidak menyalahkan mereka kerana mungkin mereka telah dididik untuk mencintai kriket sejak kecil lagi. Pasukan mereka amat mahir bermain kriket. Pasukan kriket dijulang sebagai hero di negara ini. Tanyalah kepada generasi muda mereka, rata-rata bercita-cita untuk menyarung jersi pasukan kriket kebangsaan, jika tidak pun memasuki pasukan tentera hijau mereka.

Syarikat Utiliti Utama Pakistan atau Pakistan Electric Company (PEPCO) melalui menterinya juga telah mengumumkan akan tiadanya load shedding atau keputusan bekalan elektrik esok. Jika ada, pegawai yang berkenaan akan dikenakan hukuman berat nanti. Load shedding adalah sesuatu yang lumrah di sini. Tatkala Malaysia mengalami lebihan eletrik sebanyak 30%, Pakistan kekurangan bekalan eletrik sebanyak 3,000MW setiap masa. Kadang-kala kekurangan boleh meningkat sehingga ke 5,000MW ketika musim sejuk (November-Januari) setiap tahun tanpa gagal. Akibatnya bekalan elektrik terpaksa di catu. Saya yang tinggal di bandar besar seperti Islamabad akan kena catuan selama 5 jam setiap hari (1 jam sekali catuan 5 kali sehari). Di luar Islamabad dengarnya lebih teruk sampaikan ada bandar-bandar kecil yang hanya mendapat bekalan elektrik selama 4 jam sahaja sehari. Namun menteri yang berkenaan telah berjanji esok tidak akan ada load shedding.

Kita tengok apa akan jadi esok ya!

Kalau kita singgah melayari akhbar-akhbar online mereka di sini, kesemuanya ada ruangan khas untuk komentar berkenaan kriket. Saluran TV Express247 (satu-satunya saluran TV tempatan berbahasa Inggerris di sini) dan akhbar online Express Tribune juga ada ruangan khas berkenaan kriket. Mereka memang gila kriket. Kadang-kadang berita berkenaan kriket mendominasi ruang berita muka hadapan di media massa di sini. Mereka juga boleh bergaduh semata-mata kerana kriket. Pernah sekali pada tahun lepas banyak forum-forum secara langsung diadakan di TV tempatan berkenaan pendapat mereka akan kes rasuah pemain kriket Pakistan di England. Mereka malah bertelagah di hadapan kaca TV masing-masing, secara langsung lagi! Oh! lupa nak beritahu anda, kalau anda menyaksikan rancangan forum atau debat terbuka di media tempatan, anda pasti pening kepala. Kesemuanya mahu bercakap. Hingar-bingar rasanya TV kita di rumah ini. Namun itulah mereka. Mereka memang dilahirkan untuk bercakap tanpa henti. Kadangkala mual rasanya. Tukar sahaja saluran TV lain ya.

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa saya juga ada bat kriket dan bola kriket di rumah. Bat dan bola di beli di kedai sukan di Rawalpindi tahun lepas. Betullah apa yang orang tua-tua kata, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum. Jika anda duduk bermaustatin di Islamabad, di mana 4 daripada 5 saluran tv sukannya mempamerkan perlawanan kriket sepanjang masa, anda juga boleh jadi gila kriket.

Saya masih ingat lagi ketika perlawanan separuh akhir bolasepak Piala Dunia 2010 tahun lepas. Saya balik ke Islamabad ketika itu. Bayangkan betapa marahnya saya bila saluran ESPN dan TenSports yang biasanya menayangkan perlawanan bolasepak Piala Dunia tidak menayangkan perlawanan separuh akhir bolasepak pada malam itu. Saya terus menelefon syarikat pembekal kabel TV (Nayatel) ketika itu dan meggertak akan menamatkan perkhidmatan mereka jika tiada siaran langsung tersebut. Entah bagaimana, setengah jam kemudian, ada pula siaran langsung tersebut. Hati girang kembali. Begitulah mereka, hanya mementingkan perlawanan kriket sahaja.

Saya yang tidak pernah tahu pasal kriket kini telah tahu serba sedikit akan perihal sukan yang mengambil masa yang lama ini. Cuma saya belum berpeluang untuk bermain kriket di padang kriket sebenar sahaja. Tunggulah satu hari nanti ya! Kini saya telah mengenali beberapa pemain kriket antarabangsa termasuklah pemain-pemain kriket Pakistan. Nama-nama pemain mereka selalu sahaja menghiasi dada-dada akhbar dan terpampang di saluran TV tempatan. Saya belum juga berkesempatan untuk membeli jersi kriket. Tunggulah nanti, jika sempat singgah ke Rawalpindi, akan saya dapat jersi pasukan Pakistan Piala Dunia 2011 bersama cap sekali, juga jersi Kejohanan Dunia T20 dahulu. Bagi saya jersi semasa T20 lebih menarik berbanding dengan jersi Piala Dunia 2011 ini.

Sebentar tadi juga media tempatan telah mengumumkan cuti umum separuh hari seluruh Pakistan. Perdana Menteri Gilani telah mengumumkan cuti umum separuh hari berkenaan. Di Wilayah Sindh pula, Gabenor dan Menteri Wilayah mereka telah mengumumkan cuti umum 1 hari terus! Belum apa-apa lagi telah ada cuti umum. Bagus juga sebab perlawanan esok akan bermula pada jam 2 petang, waktu kebanyakkan warga Pakistan bekerja esok.

Pekerja saya juga telah meminta untuk bercuti dan melihat perlawanan esok. Rata-rata semua rakyat Pakistan akan menonton perlawanan separuh akhir Piala Dunia bertemu India kali ini. Saya yang bukan warga Pakistani pun begitu teruja menantikan perlawanan kriket yang dianggap sebagai Mother of all Cricket Match atau Clash of the Titans ini, inikan pula warga Pakistan di sini. Daripada mereka hilang fokus di pejabat atau dimana-mana, lebih baik kerajaan mereka memberikan cuti umum terus sahaja kan.

Oh ya, harap-harap perlawanan esok akan berjalan lancar. Peminat-peminat kedua-dua negara diharap akan menonton pasukan mereka dengan aman. Saya berharap tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di kedua-dua negara ya. Tadi media ada mewar-warkan yang terdapat solat hajat diadakan di Lahore, Islamabad, Karachi dan Faisalabad bagi mendoakan kejayaan pasukan Pakistan esok. Baguslah jika begitu. Semangat kesukanan yang diharapkan dapat menyatukan negara ini. Harap-harap mereka juga berdoa yang tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Ini adalah Pakistan dan segalanya adalah berkemungkinan.

Selamat maju jaya kepada pasukan kriket Pakistan esok !

Pakistan Zindabad !

Loading

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

One response to “[4 Photos] Mereka Memang Gila Kriket Di Sini, Boom Boom Afridi & Pakistan Zindabad ! | Spring 2011 | Marvi Rd & Jinnah Supermarket F-7 | Islamabad, Pakistan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.