Siapa sangka siapa menduga, setelah enam tahun berlalu akhirnya salji turun juga di bumi Islamabad.
Sungguhpun tidak turun di atas jalan-jalan raya di Islamabad, namun sekurang-kurangnya salji meliputi Pir Sohawa, puncak Bukit Margalla.
Bukit Margalla yang diselaputi salji berdiri betul-betul di hadapan saya pada pagi 7 Januari 2012 lepas.
Pada pagi itu, saya dan beberapa rakan dari Malaysia sedang bersiap-siap untuk bermain salji di Pergunungan Murree, Galiyat.
Hujan yang tidak henti-henti di bumi Islamabad pada hari Khamis dan Jumaat memungkinkan untuk suhu turun dengan mendadak.
Salji sungguh tebal kali ini di Pergunungan Murree.
Jika Islamabad hujan, itulah tandanya Murree akan bersalji.
Suatu petua yang boleh digunapakai sehingga kini.
Murree telah bersalji seawal pada hari rabu lagi.
Justeru ketika hujan turun tanpa henti pada Jumaat, bolehlah dianggarkan yang salji akan turun dengan lebat di Murree pada hari Sabtu.
Namun saya tidak menyangka yang salji akan begitu lebat dan menjangkau ke Bukit Margalla pula.
Diberitakan yang salji telah lama tidak turun di puncak Bukit Margalla.
Kali terakhir hanya hujan batu yang turun mencurah-curah di bumi Islamabad pada 2006.
Hujan batu dan salji jauh bezanya ya.





