Siapa sangka siapa menduga, setelah enam tahun berlalu akhirnya salji turun juga di bumi Islamabad.
Sungguhpun tidak turun di atas jalan-jalan raya di Islamabad, namun sekurang-kurangnya salji meliputi Pir Sohawa, puncak Bukit Margalla.
Bukit Margalla yang diselaputi salji berdiri betul-betul di hadapan saya pada pagi 7 Januari 2012 lepas.
Pada pagi itu, saya dan beberapa rakan dari Malaysia sedang bersiap-siap untuk bermain salji di Pergunungan Murree, Galiyat.
Hujan yang tidak henti-henti di bumi Islamabad pada hari Khamis dan Jumaat memungkinkan untuk suhu turun dengan mendadak.
Salji sungguh tebal kali ini di Pergunungan Murree.
Jika Islamabad hujan, itulah tandanya Murree akan bersalji.
Suatu petua yang boleh digunapakai sehingga kini.
Murree telah bersalji seawal pada hari rabu lagi.
Justeru ketika hujan turun tanpa henti pada Jumaat, bolehlah dianggarkan yang salji akan turun dengan lebat di Murree pada hari Sabtu.
Namun saya tidak menyangka yang salji akan begitu lebat dan menjangkau ke Bukit Margalla pula.
Diberitakan yang salji telah lama tidak turun di puncak Bukit Margalla.
Kali terakhir hanya hujan batu yang turun mencurah-curah di bumi Islamabad pada 2006.
Hujan batu dan salji jauh bezanya ya.
Salji yang turun kali ini dah menyeliputi puncak Bukit Margalla dapat dilihat daripada rumah saya.
Sungguh indah pada pagi itu.
Jika saya tidak ke Murree, pastilah saya akan singgah naik ke Restoran Monal dan menikmati minuman teh sambil menyaksikan kesesakan lalulintas kereta-kereta warga Pakistan yang ingin menyaksikan pemandangan luar biasa salji di Bukit Margalla itu.
Salji sememangnya menggembirakan banyak pihak, jika tidak kesemuanya.
Kadang-kadang saya terfikir adakah orang-orang kampung yang menghuni Pir Sohawa ataupun Bukit Margalla telah bersedia untuk menerima kedatangan musim sejuk yang dingin, hatta salji yang turun sekalipun.
Ketika saya mendaki Bukit Margalla di Laluan No 5 dahulu, ternampak juga rumah-rumah orang kampung yang dibina dari tanah dan pokok-pokok kayu kering.
Apakah mereka dapat menghadapi suasana sejuk yang mencengkam sehingga -10’c pada waktu malam di luar sana ?
Apa-apa pun saya pasti akan menunggu lagi bilakah puncak Bukit Margalla untuk bersalji lagi.
Kali ini saya akan lebih bersedia.
Jika ada hujan sahaja saya akan bergegas (keesokan paginya) naik ke Bukit Margalla.
Untuk merakamkan detik-detik salji yang turun dan suasana di puncak Bukit Margalla yang putih bersih tatkala salji jatuh memutih di atas pokok-pokok pine yang hijau di atas sana.

2 responses to “[9 Video] Puncak Bukit Margalla Diselaputi Salji Setelah Enam Tahun! – Pir Sohawa Bermandi Salji Putih di Pagi Sabtu 7 Januari 2012”