Perjalanan dari Islamabad ke Bandar Naran mengambil masa lebih kurang 7-8 jam. Di waktu puncak ketima Musim Panas, perjalanan akan lebih lama disebabkan oleh banyaknya kenderaan yang ingin memasuki Bandar Naran. Bandarnya kecil sahaja. Namun cantik dek kerana berada di altitud yang tnggi. Suasananya amat nyaman. Bandar ini akan dilitupi salji sepenuhnya pada Musim Sejuk setiap tahun. Jalan-jalan akan terus ditutup. Dari Bandar Naran anda perlu menaiki jeep usang (tapi bertenaga) naik ke Tasik Saiful Mulook. Perjalanan dengan jeep ini mengambil masa lebih kurang 1 jam sahaja. Bukan masa yang difikirkan tapi perjalanan umpama menaiki kerusi Ogawa ++ yang dikisahkan.
Namun terus terang saya katakan, perjalanan dengan jeep ini walaupun agak bahaya dek kerana cara pemanduan pemandu-pemandu jeep yang ingin mengejar masa, amat berbaloi. Segala penat lelah dan ketakutan semasa menaiki jeep ini akan hilang dalam sekelip mata setelah kita sampai ke tasik ini dah dapat menikmati pemandangan puncak gunung yang masih bersalji di sini. Inilah dia puncak gunung Malika Parbat. Saksikanlah dengan mata anda sendiri gambar di bawah ya. Sungguh indah ciptaan Ilahi. Ini bukanlah kali pertama saya singgah ke tasik ini, sudah berkali-kali sebenarnya. Setiap tahun saya akan singgah ke sini. Tidak sedikit pun rasa bosan setiap kali saya dapat menikmati pemandangan tasik yang indah berwarna turquiose, langit biru dan puncak gunung yang masih memutih.
Namun setelah sampai ke destinasi, hati rasa terubat setelah melihat pemandangan di sekitar tasik yang sungguh indah. Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan alam semesta yang sungguh indah untuk ditatapi dan di hayati. Manusia hanya perlu meneroka di segenap pelosok bumi untuk mencari dan terus mencari keindahan alam sekitar ini. Alhamdulillah, inilah kali ke-4 saya menjejakkan kaki ke Tasik Saiful Mulook yang indah ini. Saya pernah trekking sambil berjalan kaki ke sini, juga pernah menaiki jeep ke sini. Cuma tak sempat untuk bermalam di tepi tasik dek kerana faktor keselamatan dan kesejukan.
Anda hanya perlu berjalan di atas trek yang landai namun berbatu untuk mengelilingi tasik yang berwarna emerald ini. Perjalanan di sekeliling tasik diserikan lagi dengan beberapa sesi mengambil gambar kandid dan menyanyi kegirangan. Walaupun di kala perut kelaparan dan kaki kesakitan, kami gagahi juga melangkah menghabiskan sisa-sisa perjalanan mengelilingi tasik ini. Sekali-sekala kami berhenti untuk bermain-main dengan glacier yang semakin mencair. Ada juga warga tempatan yang akan datang menjual madu lebah di sini. Kalaulah ada Doothpati Chai di sini, alangkah bertuahnya kan!
Di pertengahan perjalanan anda perlu melintasi beberapa anak sungai yang sungguh laju dan agak deras. Bukan kederasan yang dikisahkan, tapi kesejukan melampau air sungai dek kerana glasier yang mencair yang dihiraukan. Percayalah, kaki saya terasa kebas sekali dan umpama “hilang seketika” selepas direndam di dalam air yang bersuhu -10’c tersebut. Kaki anda akan terasa amat kebas. Terasa seperti ada pisau-pisau yang mencucuk-cucuk kaki anda. Sampai sahaja di tebing sana, saya terus merendamkan kaki ke dalam pasir-pasir yang ada untuk memanaskan kaki saya. Tuhan sahaja yang tahu betapa sejuknya air sungai di sini. Saya amat tabik dengan masyarakat di sini yang hidupnya bergantung kepada air sungai di sini. Mungkin mereka tak mandi agaknya 🙂
Terus terang saya katakan memang sungguh sejuk. Dulu semasa di Deosai Plains ada jugak rendam kaki, tapi untuk sesi fotografi sahaja. Tu pun mungkin dalam setengah minit. Ini kena menyeberangi anak sungai yang deras dan sejuk giler. Dengan DSLR kamera di tangan pula tu. Kalau jatuh terduduk harus malapetakalah jawabnya kan. Kalau terjatuh jawabnya akan saya campak kamera saya ke atas pasir, namun Alhamdulillah ianya tidak berlaku. Kami telah berjaya mengharungi sungai yang sejuk beku ini dengan selamat kesemuanya. Jika difikirkan kembali, memang rasa tak nak datang lagi ke sini 🙂
Jangan tertipu dengan muka-muka ceria gambar di atas. Dengan ketinggian 3224m dari aras laut, tasik ini memang lawa. Tapi dengan kaki kesejukan -10’c, sungguh menyiksakan. Namun aksi dalam gambar perlulah bersahaja dan amat ceria, umpama tiada apa-apa yang telah berlaku sebelumnya. Percayalah muka masing-masing agak pucat keta mengharungi air sungai yang terlampau sejuk tadi. Lain kali kalau nak datang ke sini, pastikan naik kuda ataupun bersedia dengan but kuning Pua Chu Kang, senanglah sikit untuk menyeberangi anak sungai glasier nanti!
10 responses to “[11 Photos] Pemandangan di Sekitar Tasik Saiful Mulook | Summer 2012 | Naran, Kaghan Valley | Khyber Pakhtunkhwa Province, Pakistan”