Dah lama sebenarnya saya perhatikan bunga-bunga berwarna merah darah ini. Pokoknya yang besar akan menggugurkan kesemua daun-daunnya pada musim luruh. Ketika musim bunga tiba, pokok ini akan mengeluarkan bunga-bunga yang sungguh garang warnanya, warna merah darah. Habis musim bunga, terus berdaun macam biasa. Pokok-pokok ini ditanam oleh Capital Development Authority (CDA) Islamabad di sepanjang Jalan Faiz-ul Haq. Memang banyak pokonya di sini. Gambar-gambar ini saya rakamkan berdekatan dengan Bangunan PIA di Islamabad. Mungkin ada lokasi di Islamabad yang juga ada pokok-pokok Flames of the Forest ini juga.
Bunga-bunga Flames of the Forest ini memang banyak di Islamabad pada awal musim bunga. Setelah daunnya muncul, gugurlah kesemua kelopak-kelopak bunga merah darah ini. Jalan-jalan di sekitar Blue Area di sebelah belakang (bukan mengadap Jinnah Avenue) akan berwarna merah dipenuhi dengan kelopak-kelopak bunga ini yang gugur secara banyak. Sesi fotografi juga banyak dilakukan berdekatan dengan pokok-pokok ini. Saya baru perasan akan keindahan pokok ini setelah hampir 2 tahun di Pakistan. Mungkin pada tahun-tahun sebelumnya saya tidak perasan atau tidak berada di Pakistan untuk menyaksikan aksi gugurnya kelopak-kelopak bunga Flames of the Forest ini.
Beginilah keadaan musim bunga di Islamabad. Di mana-mana sahaja pokok-pokok besar sebegini akan mengeluarkan bunga-bunga yang sungguh banyak. Satu pokok penuh dengan bunganya sahaja, kadang-kala tanpa daun sama sekali. Apabila bunga-bunganya gugur, akan muncullah dedaunan hijau pula. Jika anda terlepas menikmati keindahan musim bunga pada kali ini, sila tunggu pada masa yang sama yakni pada Mac/April tahun hadapan. Namun Musim Bunga adalah musim yang paling singkat. Kadang-kadang kita tak perasan pun akan wujudnya Musim Bunga di sini, sedar-sedar sahaja kesemua bunga-bunga telah gugur digantikan dengan daun-daun hijau dan buah-buahan pula.
Bunga-bunga Flames of the Forest yang ditanam dan tumbuh secara selari dengan jalan Faiz-ul Haq ini memang cantik. Bunganya akan sedikit termasuk ke bahu jalan. Para pemandu pasti akan menoleh untuk melihat-lihat akan kemerahan dan keindahan bunganya yang sedang rancak berkembang tatkala musim bunga pada 2012 ini. Penulis juga tidak terkecuali. Setelah sekian lama melihat bunganya yang kemerahan, inilah baru pertama kali penulis dapat berhenti dan mengambil gambar pokok Flames of the Forest ini. Sebenarnya dah berkali-kali saya nampak pokok bunga ini, namun inilah kali pertama dapat bersua dan diambil gambarnya dengan jelas, untuk kenang-kenangan pada masa hadapan.
Bunganya tidak berbau walaupun warnanya sungguh garang kemerahan. Namun begitu diperhatikan terdapat juga beberapa ladybirds yang hinggap di sekeliling kelopak-kelopak bunganya. Gambar close-up ladybird ada juga penulis rakamkan dengan kamera iPhone sahaja. Malas nak shoot macro tengah hari yang panas sebegini 🙂 Namun pokok ini dengan bunga penuh satu pokok, tiada satu daun pun lagi, memang cantik dan menyerikan bandar Islamabad di Musim Bunga kali ini. Saya harap dapatlah nanti snap gambar pokok ini dengan bunganya lagi pada tahun hadapan. Mungkin mahu snap dengan cahaya backlighting pada waktu pagi pula, ala-ala soft light potraiture nanti.