Rabu. Tepat jam 10.10 malam pesawat Thai Airways mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto, Islamabad. Mata terpaku dek kerana terpegun dan menyangkakan saya mendarat di Lapangan Terbang tentera. Saya tidak tersilap. Benarlah ini rupanya lapangan terbang yang saya akan lalui saban kali pulang ke Malaysia nanti.


Cuaca sungguh sejuk pada Oktober 2009. Saya hanya ada blazer kerja sahaja. Menyesal pula tidak membeli jaket kulit atau jaket nike di Bangkok semasa transit sebelum itu. Mujur tidak hujan. Jika hujan, alamatnya bertambah sejuklah pada masa itu kan.
Pemeriksaan imigresen sungguh melemaskan. Terdapat beberapa borang yang perlu diisi. Barisan yag agak panjang memenatkan saya. Cuaca dingin yang mencengkam juga tidak membantu suasana di ruang pemeriksaan passport imigresen. Keadaan sebenarnya agak sedikit kucar kacir di lapangan terbang ini. Terdapat anggota polis dan askar lengkap bersenjata di ruang tertentu. Saya perhatikan tiada pula papantanda “Selamat Datang ke Pakistan” di dinding-dinding lapangan terbang ini. Mereka mungkin kurang mesra pelancong atau orang luar agaknya.
Tiada aero-gate di Lapangan Terbang Antarabangsa di ibu negara Pakistan ini. Nasib baik proses untuk mengambil bagasi berlalu dengan cepat. Manakan tidak, saya hanya membawa satu beg saiz sederhana sahaja ke Islamabad.

