Rabu. Tepat jam 10.10 malam pesawat Thai Airways mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto, Islamabad. Mata terpaku dek kerana terpegun dan menyangkakan saya mendarat di Lapangan Terbang tentera. Saya tidak tersilap. Benarlah ini rupanya lapangan terbang yang saya akan lalui saban kali pulang ke Malaysia nanti.
Cuaca sungguh sejuk pada Oktober 2009. Saya hanya ada blazer kerja sahaja. Menyesal pula tidak membeli jaket kulit atau jaket nike di Bangkok semasa transit sebelum itu. Mujur tidak hujan. Jika hujan, alamatnya bertambah sejuklah pada masa itu kan.
Pemeriksaan imigresen sungguh melemaskan. Terdapat beberapa borang yang perlu diisi. Barisan yag agak panjang memenatkan saya. Cuaca dingin yang mencengkam juga tidak membantu suasana di ruang pemeriksaan passport imigresen. Keadaan sebenarnya agak sedikit kucar kacir di lapangan terbang ini. Terdapat anggota polis dan askar lengkap bersenjata di ruang tertentu. Saya perhatikan tiada pula papantanda “Selamat Datang ke Pakistan” di dinding-dinding lapangan terbang ini. Mereka mungkin kurang mesra pelancong atau orang luar agaknya.
Tiada aero-gate di Lapangan Terbang Antarabangsa di ibu negara Pakistan ini. Nasib baik proses untuk mengambil bagasi berlalu dengan cepat. Manakan tidak, saya hanya membawa satu beg saiz sederhana sahaja ke Islamabad.
Sesampai di Islamabad, pemandu saya membawa saya ke Hotel Crown di Pusar Komersial Blue Area. Sebuah hotel yang bertaraf 3 bintang. Mengadap Menara Telekom yang sedang dalam pembinaan.
Malam pertama saya di Islamabad dikejutkan dengan gempa bumi berskala richter 6.2. Katil dan bilik bergegar. Tingkap kaca bergegar dengan kuat sekali. Saya yang dalam kepenatan setelah seharian perjalanan cuma mampu tidur semula. Keesokannya, saya ditegur oleh Pengurus Hotel kerana tidak turun ke bawah sewaktu gempa berlaku.
Jumaat. Selang sehari berlaku pengeboman di Universiti Islam Antarabangsa, bom meletup di Kafeteria dan Kelas Pelajar Universiti. Saya masih belum menyesuaikan diri di Islamabad. Perasaan takut ada, cuma belum benar-benar memahami situasi seperti ini.
Hari Sabtu. Saya diarahkan untuk bertukar dari Hotel Crown di Blue Area ke Hotel Serena. Semua sebab alasan sekuriti yang semakin teruk di Islamabad minggu itu. Saya akur. Saya ke Hotel Serena. Tahap keselamatan hotel sungguh melampau di sini. Kereta diperiksa 2-3 kali. Anda pula akan diperiksa 2 kali. Rimas rasanya. Namun mereka di Pakistan tiada pilihan. Mereka terpaksa berbelanja besar atas nama keselamatan. Mujurlah perkara ini tidak berlaku di tanahair tercinta.
Agak malang bagi saya apabila Perdana Menteri Turki telah datang ke Islamabad dan memilih untuk menginap di Hotel Serena. Kawalan keselamatan bertambat ketat di Hotel Serena. Anda perlu membawa passport untuk ke dewan makan. Terdapat askar yang berpakaian biasa meronda di sekitar bilik anda. Sekali-sekala mereka akan meminta pengenalan diri (passport), hatta ketika memasuki lif sekalipun!
Jumaat kedua saya di Islamabad, berlaku insiden pengeboman di Masjid di Chaklala. Pengebom berani mati meletupkan diri ketika solat Jumaat. Habis runtuh masjid. Ramai yang meninggal dunia. Saya kini lebih berhati-hati. Hidup perlu diteruskan sungguhpun hati meronta-ronta untuk pulang ke tanahair tercinta.
Mereka gemar minum chai (teh) di sini. Bermacam jenis chai ada di sini. Saya juga dijamu dengan teh hijau dengan madu di hotel. Kadang-kadang mereka memberi doohtpati chai, teh bersama susu kerbau panas. Sedap juga rasanya. Susu kerbau yang segar dimasak suam-suam kemudian ditambah dengan daun teh yang harum. Syurga dunia!
Roti adalah makanan asasi di sini. Nasi agak mahal. Setiap masakan biasanya disertakan dengan roti, samada roti pharata, naan dan sebagainya. Roti dimakan dengan nihari, karahi, sejenis kari yang agak pekat di sini.
Ketika saya tiba di Islamabad, musim buah pisang kaki dan oren telah bermula. Buah delima juga berlambak di pasar-pasar di sekitar Islamabad. Buah pisang kaki adalah buah yang menyerupai tomato, berwarna oren dan rasanya seperti buah epal. Tiada langsung miripnya dengan pisang ataupun kaki!
Sekianlah catatan ringkas saya selama 4-5 hari di bumi Islamabad, Pakistan.
Jika ada masa, akan saya coretkan pengalaman lain pula. Harap maklum!
10 responses to “[12 Photos] Tanggal 21 Oktober 2011, Genaplah 2 Tahun Kembara Saya di Bumi Ajnabi Pakistan Ini – Sungguh Berwarna-Warni ! | Autumn 2012 | Islamabad, Pakistan”