Alhamdulillah setelah 45 minit di udara, kami semua selamat mendarat di Lapangan Terbang Skardu di Utara Pakistan. Skardu terletak di dalam Wilayah Gilgit-Baltistan. Berdekatan dengan Tibet di China. Lapangan terbang ini terletak bersebelahan dengan gunung-ganang yang masih lagi dilitupi salji memutih. Pilot memberitahu suhu di Skardu adalah 30’c. Hah! Panas tu. Ingatkan suhunya bawah 15’c di Skardu. Baru rasa nak lari daripada suhu yang panas membahang 48’c di Islamabad.
Semasa mendarat saya dapati juruterbang begitu berhati-hati. Seriau sebenarnya masa mendarat tadi. Inilah kali pertama saya singgah ke Skardu melalui Pakistan International Airlines (PIA). Pada 2010 saya telah singgah ke Skardu melalui jalan darat, dari Jaglot (Gilgit) ke Skardu melalui Karakoram Highway. Perjalanan yang penuh berliku, selama berjam-jam, dengan pengalaman tanah runtuh dan sebagainya telah dipendekkkan dengan hanya 45 minit perjalanan melaui pesawat PIA Islamabad-Skardu (ISB-KDU).