Pada kali ini saya nak coretkan sesuatu tanpa gambar yang banyak. Seperti yang kalian sedia maklum saya baru sahaja pulang ke Islamabad hari Jumaat malam yang lepas. Justeru saya sempat untuk berterawih bersama rakan-rakan warga Malaysia di rumah Malaysia pada Sabtu dan Ahad malam. Entah kenapa hari ini saya rasa seperti mahu berterawih di Masjid Faisal pula. Masjid yang menjadi tempat saya solat Jumaat setiap minggu.

Masjid Faisal adalah masjid terbesar di Islamabad. Rekabentuknya umpama kubah atau khemah arab berwarna putih. Masjid ini didermakan oleh Raja Faisal (King Faisal) dari Arab Saudi kepada kerajaan Pakistan, sebab itulah namanya Masjid Faisal. Rekebentuk masjid ini memang tak pernah saya lihat sebelum ini. Sungguh indah, lebih indah disirami lampu limpah di waktu malam. Jika anda bernasib baik anda dapat bergambar dengan Masjid Faisal yang dilatari pokok-pokok bunga mawar merah dan putih pada musim bunga. Setakat ini saya masih tidak bernasib baik lagi. Terlupa gamaknya untuk bergambar di Masjid Faisal semasa musim bunga yang lepas.