*ini adalah catatan perjalanan sepenuhnya di dalam bahasa melayu,
tanpa dirojakkan dengan bahasa penjajah, yang kononya dikatakan sebagai bahasa seantero alam.
– – – – –
selepas melewati kota rohtas yang tersergam indah, hasil binaan sultan sher shah suri,
aku memberitahu pemanduku, seorang warga pakistan untuk segera beredar kerna kami sudah kesuntukan masa.
solat jumaat akan dilangsungkan pada pukul dua petang. ya di sini jika mahu solat di mana-mana masjid,
anda perlu tahu waktu sebenar masuknya waktu solat.
lain masjid lain waktu solatnya. jangan tanya aku kenapa kerana itu sudah lumrah di sini. terimalah seadanya.
kami menaiki kenderaan melewati kubu rohtas yang berdebu menuju ke jalan utama
perjalanan yang hanya 10km dirasaka begitu lama. manakan tidak, kerana hanya kereta kami sahaja yang ada di jalan ketika itu
“di mana semua kereta menghilang?” getusku di dalam hati.
tak berani rasanya nak bertanya kepada pemanduku yang dilihat sedang memandu dengan berhati mengelak batu-batu di atas jalan.
dalam kepalaku sudah terbayang akan banyak perkara-perkara tidak diingini.
apa akan terjadi sekiranya kereta kami dihalang oleh konco-konco kampung di sini?
di mana kami akan bersembunyi dan meminta pertolongan, sedangkan signal telefon bimbitku umpama mati segan hidup tak mahu.
aku rasa kesal kerana singgah secara tidak dirancang ke kubu rohtas.
di sini apa-apa sahaja boleh berlaku. bukan semua manusia dilahirkan untuk berjuang untuk bangsa
ada juga yang dilahirkan untuk menguji kesabaran manusia yang lain
alhamdulillah setelah 10km perjalanan, kereta kami berjaya keluar daripada jalan yang kecil menuju ke jalan utama
– – – – –
aku mengarahkan pemanduku untuk bertanya kepada orang awam sekiranya terdapat masjid sunni yang mengadakan solat jumaat di bandar dina
pemanduku melilau mencari warga tempatan yang boleh ditanya
masjid yang terdekat rupanya adalah dalam 2km perjalanan
bagus! aku akan solat jumaat di bandar dina.
ketika sampai ke masjid berkenaan, aku bingkas masuk dan bersedia untuk mengambil wuduk
“di mana pula paip air di masjid ini?” ujarku
“sir, the ablution area is at the other masjid, no pipe here sir” ujar seorang warga tempatan yang beserban kuning kepada aku
baru aku perasan rupanya bangunan yang ku sangkakan masjid tadi adalah sebenarnya makam seseorang yang alim
termalu aku seketika. itu lah kan. malu bertanya sesat jalan, dalam kes ini, malu bertanya tak jumpa paip air wuduk
selesai mengambil wuduk aku bingkas bangun menuju ke masjid yang dikatakan.
tempat wuduknya adalah 2 minit perjalanan di luar masjid
hatiku agak resah melihatkan kelibat 2 orang anggota polis di luar masjid
mereka lengkap dengan senjata berkawal di luar masjid
“ada apa pula hari ini?” hati kecilku berbisik
aku lontarkan perasaan syak wasangka jauh-jauh dan cuba sedaya upaya untuk berfikiran positif
aku masuk ke ruang solat utama. kelihatan khatib sedang memberikan bayan atau tazkirah di dalam bahasa urdu
pemanduku bersila di tepi kananku. tanpa menunaikan solat sunat, aku terus juga bersila.
rasa canggung seketika memasuk masjid tanpa menunaikan solat sunat
kelihatan semua ummat manusia di dalam ruang solat utama khusyuk mendengar bayan pada ketika itu
bagiku, satu patah pun aku tidak faham. daripada melangut lebih baik aku kemaskini mukabuku aku
kalau ada apa-apa berlaku, setidak-tidaknya rakan-rakan mukabuku ku tahu aku berada di mana
sedang aku asyik melayari laman web mukabuku secara curi-curi menggunakan telefon bimbit nokia e71 ku, aku terperasan keadaan sekeliling
diperhatikan masjid ini adalah tiga tingkat. belum siap sepenuhnya. masih di dalam pembinaan
kelihatan agak usang, dengan kain rentang di letakkan sebagai dinding di sekeliling masjid
karpet yang disediakan juga agak lusuh, terdapat tikar yang seakan-akan tikar mengkuang di tengah-tengah ruang
bumbung masjid juga ada yang rongak.
selipar dan sepatu diletakkan berserakan di sekeliling ruang solat utama
“belum siap sepenuhnya agaknya masjid di sini” getus hati ku lagi
mataku melirik pula kepada khatib yang sedang memberikan bayan dengan penuh bersemangat
laksana panglima perang yang memberikan ucapan berapi-rapi kepada barisan hadapan tentera di dalam siri trilogi lord of the rings, return of the king
aku perhatikan perwatakan khatib adalah sama dengan osama bin laden, manusia yang sungguh dibenci oleh amerika syarikat dan sekutunya
mukanya sama. matanya bercelak hitam pekat. serban pun sama. malah cara pemakaian serban pun sama
tak mungkin suku sakat osama berada di depan mata ku.
kemudian aku mengalihkan pandangan ke sekeliling jemaah yang hadir. hatiku sedikit takut
tiba-tiba aku teringat akan peristiwa pengeboman oleh pengebom berani mati di masjid di islamabad, sehari sebelum aku pulang ke malaysia disember lepas
pengeboman yang menyebabkan masjid runtuh dan mengorbankan banyak nyawa
aku rasa tidak tenteram. terasa seperti menyesal kerana melabuhkan punggunggku di sini
macam-macam perkara bermain di benakku.
“apa akan berlaku sekiranya terdapat pengebom berani mati di sini?” aku berbisik.
adakah aku akan selamat?
adakah masjid ini akan ranap sepenuhnya?
dengan struktur masjid yang tidak kukuh aku rasakan bom yang kecil pun mampu memusnahkan tiang-tiang seri dalam masjid ini
aku mulai risau. aku terbayang-bayang akan orang-orang yang aku sayangi
namun adakah aku ada pilihan?
haruskan aku angkat kaki meninggalkan masjid sebelum azan dan menunaikan solat zuhur sahaja?
keputusan segera perlu dibuat ketika itu.
kalau anda berada di dalam sepatuku (atau di dalam crocs kelabu hitam ku) pasti anda juga akan terasa bimbang
namun aku kuatkan hati. aku kuatkan semangat
apa nak jadi, jadilah. aku akan duduk bersila di sini dan menunggu sehingga solat jumaat selesai
perasaanku selama dua jam berada di dalam masjid semasa bayan, azan, khutbah dan solat, hanya tuhan sahaja yang tahu
tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaanku. rasa takut, resah, bimbang, khuatir, menyesal, tawakkal dan sebagainya
selesai sahaja imam memberi salam, aku turut berdoa bersama-sama imam
alhamdulillah tiada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku
selesai sahaja doa, aku segera angkat kaki
tak sanggup lagi aku untuk berada di masjid ini. kulihat kelibat polis bersenjata jugak sudah tiada
aku dan pemanduku bergegas ke kereta
pasti pemanduku hairan mengapa mukaku agak pucat. lebih pucat daripada biasa
baginya mungkin suatu yang lumrah bersolat jumaat di tanahairnya
bagi kita warga asing di sini, memang bukan suatu yang lumrah merasai pengalaman sebegitu, malah ianya menakutkan!
– – – – –
ketika penulis kembali ke rumah di islamabad, berita di tv menunjukkan terdapat serangan bom oleh pengebom berani mati di bandar karachi pada pukul 3 petang hari jumaat yang sama
ianya dikatakan twin blast atau letupan bekembar kerana satu letupan berlaku di jalanraya dan satu lagi di kawasan tempat letak kereta di hospital jinnah
dan sekarang baru anda tahu kenapa aku seharusnya berasa bimbang yang amat sangat semasa solat jumaat tadi kan!

20 responses to “Kadang-Kadang Bila Keadaan Sudah Terdesak, Dan Kita Tiada Pilihan Lain, Kita Akan Berserah Kepada Yang Maha Esa Seadanya”