Category Archives: Daharki

[7 Photos] Sambutan Ulangtahun Kelahiran di Bumi Ajnabi 4,500km Dari Kuala Lumpur | Spring 2012 | Mirpur Mathelo, Daerah Ghotki | Wilayah Sindh, Pakistan

Penulis akan menyambut hari kelahiran pada 27 Februari 2012. Jam menunjukkan pukul 11.07 malam waktu Pakistan dan pukul 2.07 pagi waktu Malaysia. Penulis tidak pernah mencoretkan akan sambutan ulangtahun kelahiran di blog ini. Kebiasaannya hari tersebut akan berlalu begitu sahaja tanpa ada sebarang coretan di sini. Namun pada kali ini penulis terpanggil untuk mencoretkan sesuatu.

Penulis sempat memasak sendiri lauk sambal sardin di bawah. Agak pedas sebenarnya dengan ramuan cili padi Malaysia dan cili hijau Pakistan. Sambal sardin yang sedap dimakan panas-panas bersama dengan nasi putih beras basmathi Pakistan. Sungguh enak! ini bukanlah pujian untuk diri sendiri, sekadar menyatakan luahan hati. Hehe 🙂

Sambal Sardin Pedas, Sardin Cap 3 Ayam Dari Malaysia!

Hari lahir penulis pada 2012 ini jatuh pada hari Isnin (mengikut kalendar Gregorian). Pada hari Sabtu, penulis terpaksa menempuh 2 jam perjalanan menaiki pesawat ATR PIA dari Islamabad ke Sukkur, semuanya penulis tempuh demi tugas di bumi ajnabi ini. Nampaknya penulis akan menyambut hari lahir 4,500km jauhnya dari bumi kelahiran penulis, Malaysia. Jika tahun lepas penulis bersama isteri menyambut hari lahir di bumi Seoul, Korea Selatan, kini penulis kembali berseorangan di bumi Pakistan. Isteri penulis berada 4,500km jauhnya di Shah Alam, Malaysia.