Penulis akan menyambut hari kelahiran pada 27 Februari 2012. Jam menunjukkan pukul 11.07 malam waktu Pakistan dan pukul 2.07 pagi waktu Malaysia. Penulis tidak pernah mencoretkan akan sambutan ulangtahun kelahiran di blog ini. Kebiasaannya hari tersebut akan berlalu begitu sahaja tanpa ada sebarang coretan di sini. Namun pada kali ini penulis terpanggil untuk mencoretkan sesuatu.
Penulis sempat memasak sendiri lauk sambal sardin di bawah. Agak pedas sebenarnya dengan ramuan cili padi Malaysia dan cili hijau Pakistan. Sambal sardin yang sedap dimakan panas-panas bersama dengan nasi putih beras basmathi Pakistan. Sungguh enak! ini bukanlah pujian untuk diri sendiri, sekadar menyatakan luahan hati. Hehe 🙂
Hari lahir penulis pada 2012 ini jatuh pada hari Isnin (mengikut kalendar Gregorian). Pada hari Sabtu, penulis terpaksa menempuh 2 jam perjalanan menaiki pesawat ATR PIA dari Islamabad ke Sukkur, semuanya penulis tempuh demi tugas di bumi ajnabi ini. Nampaknya penulis akan menyambut hari lahir 4,500km jauhnya dari bumi kelahiran penulis, Malaysia. Jika tahun lepas penulis bersama isteri menyambut hari lahir di bumi Seoul, Korea Selatan, kini penulis kembali berseorangan di bumi Pakistan. Isteri penulis berada 4,500km jauhnya di Shah Alam, Malaysia.
Bukanlah kali pertama penulis menaiki pesawat PIA ke mana-mana di Pakistan. Namun perjalanan kali ini terasa sungguh lama. Penerbangan 2 jam yang sungguh tidak menyenangkan. Banyak gangguan daripada keadaan pesawat yang hingar-bingar sehinggalah kepada suasana ketika mendarat yang sungguh tidak selesa sekali. Penulis tiba di lapangan terbang Sukkur (disebut sebagai “sakker”) pada jam 7.30 malam. Suasana di lapangan terbang Sukkur masih sama seperti dahulu. Kelihatan agak ramai askar Pakistan (dikenali sebagai Rangers di sini) berkeliaran di lapangan terbang.
Perjalanan penulis ke tempat kerja diteruskan dengan perjalanan menaiki kenderaan (bersama pengawal) lagi 2 jam. Jauh juga perjalanan nak ke stesen janakuasa di Mirpur Mathelo di Daerah Ghotki kali ini. Jalan yang tidak berapa elok ditambah pula dengan lori dan trak-trak yang banyak di waktu malam membuatkan pemandu penulis terpaksa berhati-hati di National Highway Authority atau dikenali sebahai NHA di sini.
Banyak juga kelihatan lori-lori yang membawa batang-batang tebu seperti di bawah. Musim tebu agaknya kali ini. Di sini selain daripada makan sebegitu sahaja, tebu-tebu ini diproses menjadi gula dan adakalanya dijadikan manisan berwarna coklat. Manisan ini agak terkenal di Wilayah Sindh dan kawasan Peshawar. Selalu juga tuan rumah penulis di Islamabad datang membawa manisan daripada tebu semasa musim sejuk di Pakistan. Rasanya teramat manis dan selalunya penulis tidak makan begitu sahaja. Penulis akan memasukkan manisan tersebut ke dalam bubur kacang hijau, sama seperti gula merah di Malaysia!
Beginilah suasana pada waktu pagi Ahad di Stesen Janakuasa penulis di Mirpur Mathelo. Suasana pagi yang hening kadangkala dikejutkan dengan bunyi stesen janakuasa yang sibut menjana kuasa, membekalkan tenaga elektrik ke grid negara Pakistan. Kini Pakistan kekurangan kira-kira 5,000MW. Stesen janakuasa di sini hanya membekalkan tenaga sebanyak 235MW sahaja. Keadaaan ketidakcukupan tenaga elektrik ini akan lebih teruk pada musim panas nanti tatkala banyak bangunan akan menggunakan kemudahan pendingin hawa pada waktu siang.
Jika di Malaysia, ketiadaan elektrik dipanggil Black-Out, namun di sini ianya di panggil Load-Shedding! Jangan risau kerana Pakistan dan load-shedding agak sinonim sejak kebelakangan ini. Di bandar-bandar besar seperti Islamabad load-shedding akan berlaku untuk 4-5 jam sehari, manakala di kawasan luar bandar akan mengalami load-shedding dengan lebih teruk. Kebiasaannya kawasan luar bandar hanya akan menerima bekalan elektrik selama 4-5 jam sahaja!
Beberapa hari sebelum hari lahir penulis, penulis telah dikejutkan dengan bungkusan yang diterima di pejabat. Bila dibuka rupanya hadiah hari lahir oleh isteri tercinta di Malaysia. CD Yunalis Zarai (Yuna) bertajuk Terukir Di Bintang sungguh bermakna bagi penulis. Menyaksikan klip video Terukir Di Bintang Yuna & Qi Razali membuatkan penulis dan isteri ingin bercuti ke Rome Itali pula 🙂
Begitulah catatan penulis menjelang hari lahir pada 27 Februari ini.
Terima kasih kepada ucapan-ucapan Selamat Hari Jadi melalui SMS, WhatsApp, KakaoTalk, Viber, GroupMe, Instagram, flickR, Facebook, Twitter, Google+ dan sebagainya 🙂
Sila tekan butang “Like” di bawah (jika ada!) – Hehe 🙂
Kesemua gambar-gambar di dalam catatan kali ini diambil daripada Koleksi Instagram penulis dengan menggunakan telefon bimbit iPhone 4 sahaja. Terasa malas untuk menangkap gambar dengan dSLR penulis rasanya. Tunggulah mungkin kalau penulis sudah hilang sedikit rasa malas, penulis akan buat catatan khas berkenaan kembara penulis ke Babusar Pass, Gilgit & Hunza di Utara Pakistan tempoh hari.
12 responses to “[7 Photos] Sambutan Ulangtahun Kelahiran di Bumi Ajnabi 4,500km Dari Kuala Lumpur | Spring 2012 | Mirpur Mathelo, Daerah Ghotki | Wilayah Sindh, Pakistan”