Apa masalahnya dengan buffet RM100? Artikel daripada Ku Seman Ku Hussein dalam Mingguan Malaysia hari ni memang menarik. Biasanya setiap hari Ahad, kita akan disajikan dengan suatu kolum klise berkenaan situasi di dalam dunia hiburan termasuk wacana dan apresiasi berkenaan filem oleh Ku Seman di dalam Mingguan Malaysia. Saya sememangnya daripada dahulu meminati senitulis Ku Seman. Beliau lebih gemar keluar daripada kepompong selesa penulisan kewartawanan dengan menulis sesuatu yang benar dan kebiasaannya sukar ditelan oleh warga Malaysia.
Tapi kali ni saya tidak mahu berbicara berkenaan penulisan kritis Ku Seman. Saya akan menulis atau memberikan komen berkenaan berita terkini tentang harga buffet bulan Ramadhan di hotel-hotel di Malaysia. Rata-rata jika diperhatikan harga buffet kali ni jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Secara puratanya boleh dikatakan mahal dan melampau. Bayangkan apa yang kita boleh makan dengan wang sebanyak RM100 jika kita memilih untuk berbelanja membeli juadah di bazaar Ramadhan?
Saya sememangnya bersetuju dengan Ku Seman di mana, kita sebagai pengguna hendaklah memainkan peranan penting kali ini. Usah berdalik lagi, jika kita fikirkan harga buffet di hotel terbabit mahal dan melampau, usah berkunjung ke hotel tersebut. Ianya kadangkala semudah itu. Orang putih kata “that’s it!”. Beli sahaja juadah di bazaar Ramadhan yang tumbuh bagaikan cendawan di Kuala Lumpur ini. Saya sememangnya telah berazam untuk tidak menjejakkan kaki ke mana-mana hotel Ramadhan kali ini, bukan kerna tidak mampu, tetapi meluat dengan harga buffet yang jauh lebih mahal kali ini.
Kadang-kadang terhibur hati apabila kita pergi ke bazaar Ramadhan sekitar Kuala Lumpur. Kita bukan sahaja boleh menikmati pelbagai juadah di sana, malah boleh berjumpa dengan pelbagai ragam manusia di sana. Cakap apa sahaja yang kita kepinginkan, semuanya ada di bazaar Ramadhan, lagipun harganya jauh lebih berpatutan daripada harga buffet di hotel. Jika kita mampu sekali pun, bukankah lebih baik jika lebihan wang yang kita ada kita sedekahkan di masjid atau pun rumah anak-anak yatim yang sememangnya memerlukan? Tepuk dada, jangan hanya tanya selera, tanyalah iman sekali!
