“Murah ke karpet di Pakistan ?” tanya rakan-rakan di Malaysia.
“Murah la jugak. Tapi takdelah murah macam RM100-200, mestilah lebih daripada itu.”
“Kat sini majority carpet nya adalah hand-made dan lembut. Jadi harga memang berpadanan dengan qualitinya.”
“Masih jauh lebih murah daripada di Malaysia ya.” jawab saya.
Ramai betul yang bertanya tentang perihal karpet di Pakistan. Ya memang murah. Murah daripada di Malaysia. Definisi murah adalah pelbagai ya. Murah tidak semestinya RM100-200. Kalau RM500 pun masih lagi murah, kerana jika di Malaysia, ianya akan jadi berganda-ganda sehingga RM1,000-4,000. Namun saya sukakan karpet-karpet di sini. Saya juga ada membeli beberapa karpet untuk koleksi sendiri. Memberi karpet dah jadi semacam “therapy” sebenarnya. Seronok melihat pelbagai jenis karpet.
“Zam. Biar menyesal membeli”.Itulah pesan ex-boss saya di Pakistan suatu ketika dahulu.
Terkebil-kebil saya apabila pertama kali dibawa ke sebuah kedai karpet di Melody Market.
Banyaknya karpet di kedai ini. Semua cantik-cantik belaka. Harganya pun boleh tahan. Ikutkan hati nak je beli semuanya. Namun saya tahankan sahaja hawa nafsu untuk membeli karpet. Mana taknya. Semasa itu, rumah pun belum ada lagi. Tunggulah bila saya dah jumpa rumah nanti. Bolehlah saya beli karpet-karpet ini barang sehelai dua.
Karpet di sini ada yang diperbuat daripada tangan di Pakistan. Dari Uzbekistan pun ada. Dari Iran pun ada. Afghanistan pun ada. Saya suka kepada karpet buatan tangan Iran yang lembut. Karpet Afghanistan yang berwarna merah gelap pun cantik dan tebal. Nampak naik warnanya apabila kita tengok di dalam kamera dan viewfinder. Pelbagai jenis karpet ada di sini. Pilih sahaja mana yang anda suka. Bersesuaianlah dengan bajet dan citarasa masing-masing.
Di sini jika kita membeli karpet, sementara kita sibuk pening kepala memikirkan karpet apa untuk dibeli. Kita akan ditanya oleh tuan punya kedai nak minum apa. Selalunya saya akan meminta doothpati chai. Kadang-kadang minuman berkarbonat sahaja. Semasa musim sejuk bolehlah dihidangkan dengan kashmiri chai (teh susu berwarna merah jambu, ada sedikit rempah di dalamnya). Seronok dapat minum menghilangkan dahaga sementara kita memilih karpet untuk dibeli.
Tips No. 1 Membeli Karpet di Pakistan – Jangan Beli Sebab Kesian
Jika tidak mahu membeli, janganlah dibeli. Tokei kedai karpet akan membentangkan karpet sebanyak mungkin. Kadang-kadang sampai 30-50 keping di hadapan anda. Mereka akan bersungguh-sungguh untuk menjual karpet mereka. Janganlah anda membeli karpet kerana kesian dengan usaha titik-peluh mereka membentang karpet tersebut. Belilah kerana anda memang hendak membeli dan anda sukakan karpet tersebut.
Inilah pesan saya kepada warga senegara setiap kali mereka ingin membeli karpet. Kita rakyat Malaysia memang penuh dengan budi bahasa. Kita cepat kesian. Kita akan rasa gusar apabila tokei kedai telah membentangkan berpuluh-puluh karpet di depan mata.
Mesti di dalam hati kita akan terdetik “Eh. Kalau tak beli ni, kesian dia dah bentang banyak-banyak tu.”
Keringkan sahaja hati anda. Kalau tak nak membeli, jangan beli. Tamat.
Tips No. 2 Membeli Karpet di Pakistan – Mulakan Pencarian Dengan Warna Yang Anda Sukai
Masuklah ke dalam kedai karpet dengan hati terbuka dan girang. Jangan membeli ketika hati gundah gulana. Mulakan pencarian dengan warna kegemaran anda. kalau suka warna merah, mintalah tokei kedai bentang 4-5 karpet berwarna merah dahulu. Fokus kepada warna yang anda kehendaki. Jangan minta dia bentangkan pelbagai warna. Nanti sendiri yang keliru. Serius. Saya akan pening bila nampak dah bermacam-macam warna di depan mata. Menyesakkan.
Jika membeli untuk orang lain, pastikan warna karpet disukai oleh orang yang anda ingin belikan itu.
“Ok bro. Aku dah pilih warna merah ni. Cantik karpet ni. Murah jugak kat sini eh” kata rakan saya.
“Kau beli untuk diri kau atau untuk orang lain ni? tanya saya.
“Beli untuk isteri tersayanglah bro. Wifey lovey duvey”.
“Oh Ok. Wifey kau memang suka warna merah ni ke. Cuba kau whatsapp gambar karpet ni pada dia”.
3 minit berlalu.
“Alamak bro. Wife aku suka colour oren la. Seb baik tak bayar lagi. Haha.”
Sesal dahulu pendapatan. Sesal selepas telah check-in flight tiada gunanya.
Tips No. 3 Membeli Karpet di Pakistan – Kemudian Mintalah Saiz Karpet Yang Anda Inginkan
Selepas anda dah ada warna yang berkenan di hati. Mintalah pula saiz karpet yang diingini. Ada macam-macam saiz karpet. Pilihlah saiz yang sedang-sedang kerana rumah di Malaysia tidaklah besar sebenarnya. Saya ada membeli beberapa karpet yang besar. Yang lainnya adalah karpet yang kecil dan sederhana sahaja saiznya.
Lagi satu saiz yang besar akan lebih berat untuk dibawa semasa check-in luggage nanti. Kecualilah anda membawa balik kontena, tidaklah perlu risau dengan saiz karpet anda. Kebiasaannya saya akan membeli karpet yang beratnya dalam 5-7kg sahaja. Senang nak bawa balik masa naik kapalterbang nanti.
Tips No. 4 Membeli Karpet di Pakistan – Tawarlah Sebanyak Mana Yang Anda Mahu
Tawar menawar memang dibenarkan di sini. Biasanya harga yang dibeli adalah agak tinggi. Kalau boleh mintalah warga Pakistan yang tawarkan untuk anda. Mereka lebih fasih berbahasa Urdu dan senang hati untuk menolong anda. Mintalah beberapa diskaun kepada tokei kedai karpet tersebut. Saya selalu dapat pelbagai jenis diskaun.
Ada diskaun raya, diskaun raykat Malaysia, diskaun hujung tahun, diskaun nak masuk winter dan diskaun jika bayar tunai tanpa kad kredit. Sebagai rakyat Malaysia saya juga pernah meminta “Mahathir diskaun” kepada mereka. Tergelak besar tokei kedai. Sya pun ikut gelak sekali. Gelak berjemaah namanya. Namun selepas habis gelak ketawa, beliau masih mahu memberikan saya diskaun tersebut. Semua gembira. “Win-Win Situation” orang putih kata.
Satu lagi tips berkenaan harga, tolong jangan tawar menawar di dalam US Dollar (USD). Mintalah harga di dalam Pakistan Rupees (PKR). Harga di dalam USD memang agak mahal. Harga di dalam PKR biasanya lagi murah. Biasakan diri dengan PKR dan matawang tempatan. Semasa saya di Pakistan, USD1 = PKR99 dan MYR1 = PKR29. Pastikan anda bersedia dengan handphone di tangan untuk mengira kadar tukaran matawang dalam PKR. Pastikan anda cukup confident untuk menghadapi tokei kedai yang agak licik.
Tips No. 5 Membeli Karpet di Pakistan – Awas Dengan Pencahayaan Di Dalam Kedai Karpet
Saya selalu tertipu dengan pencahayaan di dalam kedai karpet di sini. Cahaya lampu kuning di dalam kedai amat mengelirukan. Kadang-kadang karpet yang kita nampak cantik warnanya di kedai tidak semestinya cantik di rumah kita. Semua sebab cahaya yang berlainan. Pastikan anda peka dengan perkara ini sebelum membeli karpet. Kalau tidak pasti, belilah karpet pada waktu siang. Senang nak tengok pencahayaan yang betul. Karpet ni bila dah bermacam warna jadi pelik juga bila di bawah pencahayaan yang berlainan. Sila berwaspada ya.
Sekali lagi pesanan penaja daripada saya.
“Sesal dahulu pendapatan….
…..Sesal selepas telah check-in flight tiada gunanya.”
Sebenarnya banyak lagi kedai-kedai karpet yang sempat saya kunjungi di Islamabad dan sekitar Pakistan. Tak pasti kalau saya masih ada simpan gambar-gambar kenangan di kedai-kedai karpet yang lain. Harap-harap masih ada lagi di dalam “hard disk portable” saya lah. Nantilah kalau sempat saya coretkan pula pengalaman membeli karpet di kedai-kedai karpet yang lain pula. Lain kedai lain ragamnya. Lain juga helahnya :).