Perut dah kenyang. Tenaga dah kembali. Semua suka hati. Kita jalan lagi. Pemandu kami memberikan isyarat untuk bertolak meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Karakoram menuju ke Chilas. Jauh lagi perjalanan kami. Rasa perit kali ini. Panas membahang, macam banyak sahaja penghalang. Perjalanan perlu diteruskan. Nak sampai awal kan?
Selepas melewati Pekan Besham, kami kembali memandu melalui jalan-jalan yang agak tidak rata. Menuju ke pekan yang seterusnya, Pekan Dasu. Pemandu kami memberitahu yang kita mungkin tidak akan sampai ke Chilas sebelum Maghrib. Terpaksa juga melalui Lebuhraya Karakoram dalam kegelapan. Bukan Lebuhraya Karakoram yang saya risaukan. Tapi keadaan di Indus Kohistan yang agak mengerikan. Pelbagai cerita dan kisah yang telah saya baca di internet berkenaan lebuhraya ini. Negatif sahaja kesemuanya. Ramai yang menasihatkan saya untuk tidak berada di Wilayah Indus Kohistan lama-lama. Apatah lagi ketika matahari telah terbenam. Takut juga.