kelmarin buletin utama tv3 menyiarkan keperitan hidup cikgu2 kita yang dipertugaskan di luar bandar di sabah & sarawak. memang sedih saya menyaksikan rentetan masalah hidup mereka. mereka berjuang demi anak2 bangsa terchenta. ada cikgu yang terpaksa melakukan jungle trekking & berpacat/lintah sebelum sampai ke sekolah. menaiki sampan dan menolak sampan. mengharung arus sungai yang deras dan dalam. kesemuanya boleh merbahayakan keselamatan dan kesihatan mereka.
mereka hidup di dalam suasana serba kekurangan tanpa perkhidmatan telekomunikasi, tanpa internet (saya boleh hidup tanpa internet?) dan tanpa telefon! mereka lakukan kerja2 mereka kerana mereka adalah lilin. lilin yang membakar dirinya demi menerangi manusia lain. syabas kepada mereka. mereka berhak menikmati imbuhan ekonomi oleh kerajaan.
sumber – utusan malaysia
Tambahan RM2.6b dilulus — Tingkatkan mutu, prasarana pendidikan luar bandar – PM
Oleh JAMDI NASIR
INI SIAPA?… Abdullah Ahmad Badawi menyatakan sesuatu sambil menunjukkan sekeping gambar kepada seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Bum Bum selepas majlis pelancaran Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar di sekolah berkenaan di Semporna, Sabah, semalam. Turut hadir ialah Hishammuddin Tun Hussein. – Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN. SEMPORNA 15 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM2.6 bilion bagi pembangunan pendidikan luar bandar menjadikan keseluruhan peruntukan untuk penduduk desa di seluruh negara berjumlah RM12.3 bilion.
Perdana Menteri berkata, tambahan peruntukan itu akan memberi manfaat kepada lebih 2.2 juta pelajar luar bandar dan akan dapat digunakan untuk membela nasib mereka agar mampu bersaing dengan pelajar di kawasan bandar.
Menurut beliau, pelajar luar bandar perlu diberi keadilan untuk turut menikmati kemudahan pendidikan yang sama taraf dengan pelajar di bandar sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan keupayaan masing-masing.
Sambil mengumpamakan pembelaan kerajaan terhadap pelajar luar bandar itu sama seperti layanan ibu bapa kepada anak-anak, Perdana Menteri menegaskan, adalah tidak adil jika seorang anak dibiarkan belajar dalam keadaan serba kekurangan di pedalaman dan seorang lagi menikmati pelbagai keselesaan belajar di bandar.
‘‘Kita kasihan pada anak-anak kita (di luar bandar) dan kasihan kepada ibu bapa mereka. Lihatlah kedudukan mereka di luar bandar yang belajar di sekolah kurang selesa, daif dan tiada kemudahan.
‘‘Memberi mereka peluang menikmati kemudahan yang baik boleh menjadikan mereka warganegara yang berilmu pengetahuan dan akhirnya menjadi pekerja yang menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Abdullah berkata demikian semasa berucap melancarkan Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar di Sekolah Kebangsaan Bum Bum dekat sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsudin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.
Perdana Menteri berkata, Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar itu turut membela nasib 143,000 guru melalui insentif khas guru pedalaman mengikut lokasi dan kesukaran perkhidmatan.
Katanya, mereka turut diberikan elaun ‘balik kampung’ sekali setahun beserta perlindungan insurans selain pembinaan rumah guru yang baru dan menaik taraf perumahan sedia ada.
‘‘Guru yang mengajar di kawasan pedalaman ini perlu dibantu dan diberikan insentif kerana mereka menerima arahan dan sanggup berkorban menghadapi kesusahan. Inilah hero kita dalam perkhidmatan perguruan,” ujar beliau.
Mengimbau pengalaman beliau sebagai Menteri Pelajaran, Abdullah mengakui suasana pembelajaran di kawasan pedalaman memerlukan perhatian yang tinggi daripada kerajaan.
‘‘Anak-anak adalah harta kita yang amat bernilai dan semestinya mereka perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Sebab itu kita mengambil keputusan untuk menambah peruntukan supaya apa yang dihasratkan dapat dijayakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, Program Lonjakan Perdana Pendidikan Luar Bandar adalah teras keempat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan bagi merapatkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dan bandar.
Menurut beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya sentiasa berusaha membela nasib masyarakat luar bandar walaupun ada pihak cuba menafikan apa yang dilaksanakan BN.
‘‘Program yang dirancang ini penting kerana ia mempunyai impak yang amat tinggi terhadap moral dan kesediaan 143,000 guru yang mengajar di kawasan luar bandar agar mereka dapat memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar di bawah jagaan mereka,” katanya.

One response to “rm2.6bil untuk pertingkat prasarana luarbandar”