Tidak pernah termimpi oleh saya untuk bekerja di luar negara. Suasana yang berbeza, dengan rupa manusia yang lain, budaya kerja, makanan dan tempat tinggal yang berbeza. Namun hidup perlu diteruskan. Saya masih ingat lagi saya mengambil masa kira-kira 4-5 bulan berfikir untuk bekerja di sini, di bumi asing Pakistan. Negara yang selalunya digambarkan sebagai tidak selamat di media-media negara barat, tidak terkecuali negara saya.


Namun pada saya, setelah saya membuat keputusan untuk bekerja di sini, tiada jalan penghalang dan tiada apa yang akan memungkinkan saya untuk menarik kembali keputusan saya. Saya masih ingat lagi kata-kata Sifu saya sebelum saya mengambil keputusan bekerja di sini. Beliau mengungkapkan “Nizam, jika anda rasa kehidupan di Islamabad tidak selamat, bagaimana anda rasa saya hidup di sini semenjak 2003 lagi bersama anak-anak saya?”.


Kata-katanya membuatlkan saya terdiam seketika dan merenung masa depan sebentar. Ada benarnya juga kata-katanya itu. Kalau betullah keadaan di sini tidak selamat, bagaimana pula kehidupan rakyat Malaysia yang lain. Di mana-mana sahaja di dunia ini ada Kedutaan Malaysia dan bagaimana mereka meneruskan kelansungan hidup?

