seronok membaca artikel ini. walaupun agak panjang, namun memang terkesan dengan wawancara sebegini. saya respect dengan mufti muda ini. aliran pemikiran yang agak moden dan segar. semoga bermanfaat! 🙂
Mukadimah
Perlis adalah negeri terkecil di Malaysia tetapi cukup terkenal kerana wujud beberapa keunikan dalam segi amalan agama termasuk mempraktikkan fahaman Wahhabi di bawah Ahli Sunnah Waljamaah. Selain itu, beberapa isu agama seperti kelonggaran syarat berpoligami mempopularkan lagi negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim ini.
Terbaru, timbul pula isu larangan perbuatan mengintai dalam tangkapan kes-kes khalwat yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama. Kenyataan yang ‘mengejutkan’ banyak pihak itu dibuat oleh Mufti Perlis yang baru, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai salam ta’aruf atau perkenalan selepas beberapa hari mengangkat sumpah jawatan pada 14 November 2006.
Rupa-rupanya, kenyataan oleh mufti berusia 36 tahun itu menyebabkan beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terasa bahangnya. Ini terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zin mengakui penguatkuasaan undang-undang berkaitan khalwat di negara ini masih lemah dan perlu diperkemaskan.
Dalam wawancaranya dengan wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan METRA SYAHRIL MOHAMED di pejabatnya di Kangar, Perlis, Khamis lalu, Mohd. Asri menjelaskan secara terperinci visi dan misi beliau sepanjang bertugas sebagai Mufti Perlis.
Beliau yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Perlis semasa berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Kata Mohd. Asri, “Jika ulama konservatif bimbang golongan muda membawa perubahan, merekalah yang membuat perubahan. Jika itu yang menjadi ketakutan kepada mereka.
“Saya sedia menerima sebarang kritikan kerana setiap perubahan itu mesti menghadapi tentangan. Bagaimanapun saya tidak kehilangan apa-apa. Saya menjadi mufti pun untuk seketika sahaja,” tegasnya.
MINGGUAN: Bagaimana reaksi yang diterima selepas Dr. mengeluarkan kenyataan melarang intipan sesuai dengan kaedah tajassus dalam kes tangkapan khalwat?
MOHD. ASRI: Sepatutnya para sarjana Islam di negara ini tidak terkejut dengan kenyataan ini. Kalau ada yang membaca tulisan para ulama dahulu dan kini tentang bab tidak boleh mengintai ini, ia dinyatakan dengan jelas. Dr. Yusof al-Qardawi menyatakan dengan jelas, tidak boleh mengambil video, tidak boleh mengintip orang di belakang tabir atau balik pintu. Masalah imej Islam itu ialah bagaimana supaya ia tidak menjadi agama yang disalah sangka.
Isunya bukan menghalang banteras khalwat tetapi prosedur dalam membuat tangkapan termasuk intipan. Ada kira-kira 50 tugas penguat kuasa agama termasuk menahan orang yang tidak sembahyang Jumaat tetapi mengapa khalwat sahaja berjalan?
Khalwat bukan zina. Tuduhan zina perlu dibuktikan dengan empat orang saksi. Khalwat baru tuduhan bersekedudukan dan selalunya dilakukan secara bersembunyi. Maknanya mereka takut. Ini berlawanan dengan mereka yang melakukan maksiat secara terbuka di tempat awam seperti berpelukan lelaki dan perempuan bukan mahram, membeli nombor ekor, berjudi dan sebagainya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, seorang lelaki bernama Mais g berjumpa Nabi dan mengaku berzina. Nabi memalingkan muka ke kanan dan bertanya adakah engkau mempunyai penyakit gila? Barangkali engkau raba atau cium sahaja. Ini menunjukkan Nabi cuba mengelakkan kes bersifat mengaibkan.
Sebab itu Dr. menggesa tumpuan diberi kepada mencegah kemungkaran secara terbuka?
MOHD. ASRI: Ya, kita perlu menumpukan kepada menghapuskan maksiat yang terbuka termasuk merompak, mencuri dan berjudi. Jangan tanya pembangkang. Saya tidak tahu bagaimana negara Islam yang mereka hendak bentuk. Kalau sistem khalwat itu diterima pakai seperti saya tengok di laman web pembangkang, ertinya kalau memerintah, mereka terpaksa membuat negara ini negara special branch. Mereka terpaksa merisik untuk mengetahui jenayah dan maksiat orang lain.
Dalam proses menyerbu bilik-bilik hotel, penguat kuasa bertembung dengan pelbagai perlakuan maksiat termasuk minum arak secara terbuka tetapi tidak ada yang mengambil tindakan. Contoh lain, kalau seorang perempuan ke pejabat agama mengadu dipukul suaminya, barangkali orang agama suruh bersabar dan baliklah perempuan itu. Mungkin dua minggu lagi dia datang dengan telinganya merah dan mengadu disepak suami. Dia sekali lagi disuruh bersabar.
Masalahnya, tidak ada pegawai agama berjumpa suami wanita itu dan terangkan bahawa dia melakukan sesuatu yang menganiayai isteri. Kes begini berlarutan berbulan-bulan, sampai bertahun sedangkan ada artis ternama masuk bilik hotel, pegawai agama cepat sampai. Bila kes cerai, semua cakap tidak cukup masa atau tenaga.
Pandangan Dr. itu dilihat seperti gelombang atau aliran baru golongan ulama muda di negara kita. Tidakkah terdapat kebimbangan terhadap penerimaan oleh mufti atau ulama yang lain?
MOHD. ASRI: Ini wujud kerana proses aliran pemikiran berbeza. Saya seorang yang memberikan pandangan dan tidak menyembunyikan pandangan. Saya menghormati mufti-mufti lain yang bertaraf bapa kepada saya. Namun, apabila perlu, saya akan memberikan pandangan.
Jika ulama konservatif bimbang golongan muda membawa perubahan, merekalah yang membuat perubahan. Jika itu yang menjadi ketakutan kepada mereka. Ada rakan-rakan yang menghubungi saya dan berkata, perkara yang anta (anda) sebut itu betul, baguslah tetapi perlahan la sikit. Bagi saya, kita tidak boleh berlengah lagi. Masalah yang menimpa umat Islam sudah kronik yang memerlukan penjelasan atau pembetulan segera.
Ada banyak lagi isu yang akan dibangkitkan antaranya isu membabitkan wanita. Islam melindungi wanita dengan hukum-hukum talak bagi mengelak wanita dianiaya. Persoalannya, mengapa urusan talak ini mengambil masa sehingga menyeksa batin wanita sedangkan Islam ada banyak peruntukan.
Antara sebabnya adalah wujud pemikiran lama yang menganggap wanita yang berusaha melepaskan diri daripada suami melakukan kesalahan dalam agama. Walhal, ia tidak salah kalau ada sebab.
Mengapa ini berlaku sedangkan terdapat hadis menyuruh kita memudahkan urusan?
MOHD. ASRI: Tujuan kita tubuhkan Mahkamah Syariah adalah untuk memudahkan keadaan. Saya dukacita kepada sesi kaunseling di pejabat agama. Apabila wanita buat aduan untuk melepaskan diri daripada perkahwinan yang menyeksanya, proses itu tidak dimudahkan. Kadang-kadang mereka memberi nasihat supaya bersabar. Berulang aliklah wanita itu naik turun pejabat agama. Tidak juga selesai. Satu kes memakan masa bertahun-tahun.
Ini adalah penganiayaan. Kenapa semua silent? Dulu, kita bising sekejap tetapi keadaan berterusan. Yang kita tengok cepat kalau artis, orang ada duit atau orang besar yang boleh ambil peguam. Tetapi jika orang biasa, suami tidak beri nafkah, macam mana nak ambil lawyer? Bukannya mereka (orang agama) tidak ada ilmu kaunseling tetapi mereka enggan menyusahkan diri membuka fail. Sebahagiannya kerana pemikiran lama yang salah.
Orang Melayu selalu menyebut, tiang arasy bergoncang apabila isteri minta cerai. Benarkah dakwaan itu?
MOHD. ASRI: Tiang arasy tidak bergoncang kerana kita. Arasy Allah Maha Kaya. Seseorang wanita boleh minta cerai kalau dia mempunyai alasan seperti suami zalim, tidak adil atau merasakan tidak ada kesesuaian lagi hidup berumah tangga. Ataupun bimbang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri. Mesej saya, jangan jadikan wanita sebagai kelas kedua atau didiskriminasikan. Jika tidak, dakwaan Barat terhadap Islam akan diakui oleh mereka berasaskan pengalaman berurusan dengan pihak berkuasa agama.
Ada kebimbangan penerbitan bible dalam bahasa Melayu (BM) akan menyebabkan golongan muda terpengaruh kepada ajaran Kristian seterusnya murtad. Adakah ia berasas?
MOHD. ASRI: Kita perlu tanya kenapa orang murtad? Adakah agama kita tidak cukup baik? Salah satu sebabnya kerana dahulu apabila golongan agama mengajar, mereka tidak memberi kefahaman. Jemaah dilarang bertanya sehingga timbul falsafah, siapa banyak bertanya imannya lemah. Pendek kata, jangan banyak tanya, kalau ustaz cakap, terima sahaja.
Itulah puncanya orang pertikai agama. Hari ini manusia bertanya dan mempertikaikan segala- galanya termasuk agama. Maka apabila agama gagal memberi jawapan, orang mula syak kepada agama. Sebenarnya bukan agama yang lemah tetapi orang agama yang tidak mempunyai tahap keintelektualan yang setaraf dengan agama itu.
Islam membimbing manusia berfikir. Contohnya bible dalam bahasa Malaysia. Memang kita hendak menjaga akidah tetapi apa kata orang bukan Islam terutama Kristian jika mereka tahu kita tidak membenarkan bible dalam bahasa Malaysia? Alasannya, takut orang Islam baca dan terpengaruh. Jika ini berlaku, tentu mereka menyangka bible benar dan hujah mereka kuat. Jika begini kita juga akan sampai ke tahap halang anak belajar bahasa Inggeris dan bahasa Arab kerana ada bible dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Sifat takut hanya menunjukkan kelemahan agama.
Mengapa tidak apabila sudah tahu ada gerakan Kristian sedemikian, golongan agama di masjid huraikan segala percanggahan fakta di dalamnya seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Ahmad Deedad? Jika kita mantap dari segi pengetahuan dan akidah keluarlah bible bahasa apa pun kita tidak terjejas. Golongan agama perlu tampil menghuraikannya tetapi mereka takut kerana tidak ada persediaan yang cukup.
Tidak ada persediaan yang cukup dalam mendepani isu-isu yang kontemporari?
MOHD. ASRI: Waktu dulu, ibu bapa hantar anak ke sekolah agama sebagai pilihan terakhir. Anak yang tidak kuat minda atau IQ paling rendah dihantar mengaji di pondok atau sekolah agama. Senario itu kini sudah berubah. Sebab itu, jangan asyik nak menghukum orang murtad. Kalau benar murtad, tanya siapakah yang secara tidak langsung menyebabkan mereka murtad. Jawapnya, sikap golongan agama yang suka menyusahkan orang lain.
Contoh, pada bulan Ramadan banyak fatwa tentang batal puasa sedangkan bukan senang nak batal puasa. Kita suka ke arah menyusahkan. Sebab itu saya berkempen memudahkan fikah, ajar fikah secara mudah difahami dan didekati.
Adakah ini juga penyebab kepada pandangan mengatakan orang Islam tidak boleh menjawab ucapan salam bukan Islam?
MOHD. ASRI: Ini contoh kesilapan masyarakat kita. Sebahagian orang agama mengajar orang Islam tidak boleh jawab salam bukan Islam. Bila mereka sebut assalamualaikum maksudnya selamat sejahtera. Tetapi ada orang agama mengajar kita menjawab waalikum sam, (maut kepada kamu) Walhal al-Quran menyuruh apabila orang memberi ucapan penghormatan maka balaslah lebih baik atau setara dengannya. Tidak ada masalah menjawab.
Tetapi kita diajar dengan akhlak tidak baik. Adakah baik agama yang dikatakan berakhlak tinggi tidak boleh menjawab salam sejahtera seseorang kerana dia bukan Islam? Kita tidak menyertai ibadat orang lain tetapi boleh mengucapkan selamat hari raya kepada kaum Cina atau India seperti juga ucapan selamat pagi. Saya tidak setuju kongsi raya dengan maksud orang Islam jemput bukan Islam hadir sembahyang raya. Ini hanya dalam erti kata ucap selamat sahaja, bukan bermaksud kita reda dengan agama mereka.
Masyarakat masih memandang tinggi institusi ulama termasuk mufti dan Majlis Fatwa. Cuma dalam banyak hal, Majlis Fatwa dilihat agak ke belakang dalam isu-isu terkini terutama melibatkan muamalat dan sains.
MOHD. ASRI: Ia berlaku kerana terdapat orang agama yang enggan mengambil risiko. Para ustaz perlu berubah. Di Malaysia, apabila sesuatu kemajuan sains dicapai, Islam dicari untuk mendapatkan pandangan soal halal haram. Para ulama kena bersidang untuk menjawab apa hubungan kemajuan itu dengan Islam. Sepatutnya, Islam memimpin kita tetapi hari ini Islam yang terpaksa diketuk untuk ditanya pendapat. Sebab itu dalam dunia hiburan, golongan agama hanya mengkritik artis dan filem dan bukannya menentukan garis panduan filem atau seni.
Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan usaha menarik muda-mudi mendekati agama. Hal ini seolah-olah tiada penghujungnya?
MOHD. ASRI: Bagi saya, yang penting ialah kandungan lagu atau mesej filem, bukan penampilan. Kadang-kadang, lagu-lagu Kopratasa ada yang lebih mendekati Islam berbanding lagu-lagu nasyid. Pemikiran kita, kalau Islam, semua kena pakai ketayap, pukul gendang dan menyebut nama Allah atau rasul sedangkan ada lagu-lagu yang menyebut tentang alam sekitar dan sebagainya jauh lebih baik.
Lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Ramli Sarip banyak mempunyai nilai-nilai keislaman. Golongan agama hanya tahu mengkritik tetapi tidak menyediakan panduan untuk diguna pakai oleh industri hiburan. Mereka lebih cenderung mengharamkan hiburan. Rasulullah tidak pernah menghapuskan hiburan tetapi membimbing hiburan.
Bagi saya, jangan lihat siapa yang menyanyi tetapi lihatlah kandungannya. Pada masa yang sama program-program yang ditayangkan kurang membangunkan minda… lebih mengajak kita berfikir secara selekeh. Ini perlukan perhatian. Saya mencadangkan garis panduan standard di peringkat negara dalam bidang seni. Majlis Fatwa atau institusi mufti keluarkan tag ‘dicadangkan untuk ditonton’ macam logo halal terhadap filem-filem atau sesebuah rancangan bagi menghidupkan industri seni yang ‘halal’.
Para ulama kena duduk bersama-sama artis dan karyawan. Setakat ini tidak ada kerjasama atau pertemuan dijalankan membabitkan ulama dan golongan seni. Pemikiran sesetengah golongan agama mundur dan mereka perlukan pendekatan baru.
Semua ini berkait rapat dengan penguasaan ilmu. Bagaimana tahap pendidikan orang Islam berbanding bukan Islam?
MOHD. ASRI: Soal memajukan minda masih menjadi sesuatu yang dipaksa tetapi bukannya budaya. Ini mendukacitakan. Cuba tengok di perpustakaan, kaum lain lebih positif dan ramai mentelaah. Orang Melayu pula, di mana ada artis dan konsert hiburan, penuhlah mereka. Kalau pesta buku dan program ilmu mereka tidak tertarik menghadirinya. Selagi umat Islam tidak dijadikan ilmu itu sebagai budaya, kita akan gagal menguasai apa sahaja.
Kebelakangan ini, timbul trend wanita tidak berkahwin mengambil pil hormon supaya boleh menyusukan anak angkat. Apakah kesannya?
MOHD. ASRI: Perbuatan ini tidak salah kerana ia mewujudkan anak yang mahram dengan wanita yang menyusukannya. Cuma saya ingin melihat kepada konteks yang lebih luas iaitu mengapa wanita begini tidak mahu berkahwin. Mereka ada wang, pelajaran dan status. Satu kajian mengenai hal ini perlu dibuat untuk mengenal pasti puncanya.
Naluri manusia ialah mahukan anak dari darah daging sendiri. Saya bimbang urusan kesukaran dalam perkahwinan seperti perceraian yang tertangguh menakutkan mereka.
Adakah ini juga mendorong kahwin misyar?
MOHD. ASRI: Saya antara orang yang menyokong kahwin misyar. Syaratnya, jika wanita berkenaan menghalalkan nafkah zahir, harta dan sebagainya. Kita perlu faham bahawa apabila wanita yang berkedudukan tinggi, lelaki tidak berani meminangnya. Jadi jika wanita itu melamar lelaki dengan tujuan mendapatkan zuriat yang sah serta menghalalkan bab yang lain termasuk tidak kisah jika hanya dapat bersama suami dua malam seminggu, Islam membenarkannya. Masalahnya, masyarakat kita terutama wanita tidak benarkan poligami tetapi perempuan simpanan tidak apa.
Bukan kita menggalakkan poligami tetapi memudahkan. Bagi mereka terutama pertubuhan wanita yang membidas cadangan ini perlu membuat kajian teliti. Jangan terlalu emosi dan hanya memperjuangkan nasib wanita bergelar isteri. Kita jangan mengharamkan apa yang dihalalkan.
Selepas melontarkan pelbagai idea yang dianggap ‘mengejutkan’ tidakkah Dr. tertekan?
MOHD. ASRI: Sedikit sebanyak perasaan itu ada. Tetapi yang penting bagi saya ialah melihat agama Islam itu dihormati. Kadang-kadang kita yang menimbulkan isu seolah-olah memperlihatkan kebodohan kita. Saya sedia menerima kritikan kerana setiap perubahan itu mesti menghadapi tentangan.
Mana-mana pihak yang rasa tersilap perlu mengubahnya. Saya berharap ramai yang akan menjadi agen perubahan kerana masa tidak menunggu kita. Saya tidak kehilangan apa-apa. Saya menjadi mufti untuk seketika. Kerja saya memberi cadangan dan alternatif ke arah meningkatkan imej Islam.
Mana-mana pihak tidak kira parti politik atau individu yang merasakan cadangan saya membawa kebaikan kepada agama, marilah sama-sama memberi sokongan dan menjadi agen perubahan. Matlamatnya, menjadikan Islam itu imej yang lebih baik sesuai dengan ketinggian dan kesucian agama itu.