Tamadun Harga Minyak by Hishamuddin Rais

i like the way hishamuddin rais put the article on tamadun minyak. below is the full article taken from malaysia today. for further details, you can click malaysia today

Saya adalah di antara orang-orang yang percaya bahawa pada ketika ini minyak mentah di dunia ini telah habis. Sepuluh tahun dahulu memang tidak ramai orang yang mahu percaya bahawa telaga minyak petroleum akan kering. Tetapi hari ini semakin ramai orang yang mula percaya bahawa minyak mentah telah semakin susut. Kemungkinan telaga-telaga minyak akan menjadi kering dalam masa terdekat semakin dilihat sebagai satu kenyataan.

Untuk saya apa yang kita nantikan hari ini bukan betulkah minyak akan kering, tetapi apa akan terjadi apabila telaga minyak kering?

Mari kita melihat kembali apa yang berlaku pada tahun 1973/74, sesudah meletusnya Perang Arab/Isreali pada bulan Ramadzan 1973. Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang Zionis Isreal, Raja Saudi Al-Malik Faizal telah menutup semua loji dan telaga minyak di Saudi Arabia. Dunia menjadi gempar. Ekonomi dunia kapitalis menjadi kelam kabut. Pengaliran minyak mentah telah ditutup selama dua minggu.

Bayangkan bentuk krisis yang berlaku jika minyak telah kering. Hari ini permintaan semakin bertambah. Harga terus melonjak naik. Pengeluaran terus tidak mencukupi. Untuk saya semua ini adalah tanda-tanda krisis yang maha besar yang akan melanda dunia. Ledakan krisis yang tidak lama lagi akan datang ini belum pernah kita saksikan berlaku dalam dunia ini.

Pada tahun 1973 dahulu, untuk pertama kalinya negara-negara pengeluar minyak (Opec) merasakan bahawa mereka juga memiliki kuasa untuk menentukan harga bahan mentah hasil bumi mereka. Negara-negara seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, Nigeria, Indonesia, Venuezula dan negara Teluk telah menjadi pemain penting dalam perkembangan ekonomi dunia. Semenjak dari tahun 1974, Opec telah juga memainkan peranan penting untuk mengendalikan dan mengawal turun naik harga minyak.

Ekonomi dunia kapitalis distabilkan oleh negara-negara Opec. Jika terlalu banyak minyak di pasaran, maka Opec akan mengarahkan ahli-ahlinya mengurangkan pengeluran. Jika minyak kurang di pasaran maka negara-negara Opec akan menambah pengeluaran minyak. Semua ini berjalan dengan agak selesa di antara pengeluar dengan pembeli dan pengguna selama 30 tahun ini.

Tetapi hari ini semunya telah berubah. Hari ini permintaan bahan mentah ini telah melebihi pengeluaran. Negara Opec tidak lagi memiliki keupayaan untuk menambah pengeluaran. Indonesia negara Opec yang dulu pengekspot kini telah menjadi negara pengimpot. Nigeria, Algeria dan Malaysia sendiri tidak lama lagi akan menjadi negara pengimpot minyak.

Semua ini membuktikan bahawa bahan bakar minyak mentah telah susut. Kesusutan imbangan pengeluaran dan permintaan bahan bakar ini semakin disulitkan dengan kehadiran negara China dan India. Tanah besar China dan India adalah dua negara yang sedang agresif ‘membangun’. Kedua-dua negara ini sedang memerlukan bahan bakar yang banyak.

Hari ini di tanah besar China telah sedia bergerak 10 juta buah kereta di atas jalan raya. Sepuluh tahun yang akan datang jika dasar pengangkutan China tidak berubah maka akan muncul 150 juta lagi kereta. Tahun lepas sahaja China memerlukan 5.8 million tong minyak sehari. Permintaan China terus meningkat. China kini telah disenaraikan sebagai negara kedua sesudah Amerika Syarikat, pengimpot bahan bakar petroleum yang terbesar. Amerika memerlukan 20 juta tong sehari.

Tamadun yang sedang kita alami hari ini adalah tamadun yang berasaskan bahan bakar petroleum. Lihatlah di kiri dan kanan kita – semua produk dihasilkan oleh petrol. Tenaga leterik, kereta, bahan perabut, bahan perumahan, plastik dalam pelbagai bentuk dan paling penting makanan yang terletak di atas meja makan kita juga adalah hasil dari bahan bakar petroleum.

Saya berani berkata, melalui data-data yang baru muncul bahawa tamadun petroleum ini telah sampai ke zaman akhir. Sama seperti tamadun zaman batu dan tamadun di zaman besi ianya akan juga berakhir. Tamadun zaman arang batu dan tamadun kuasa wap – semuanya berlangsung tidak lebih dari 200 tahun. Bahan bakar petroleum – yang menjadi asas tamadun kita ini – telah bersama kita selama 150 tahun lebih. Riak-riak untuk berakhir telah muncul.

Kenaikkan harga minyak untuk para pengguna buat kali kedua dua tahun ini tidak memeranjatkan saya. Malah saya terus meramalkan bahawa harga bahan bakar ini akan terus melonjak dari 66 dollar satu tong hingga ke 100 atau 250 dollar satu tong. Malah akan tiba masanya apabila harga ini akan terus melonjak lagi. Ini bukan hanya kerana ada spekulasi dalam pasaran tetapi kerana bahan bakar minyak petroleum ini telah tiada lagi dalam perut bumi ini.

Saya juga sedar bahawa tidak semua orang akan sependapat dengan saya. Kerana itu agenda kekeringan minyak ini masih lagi tidak dibincangkan secara terbuka. Ianya masih tidak dijadikan wacana oleh media arus perdana antarabangsa. Ini dapat saya fahami kerana bahan bakar ini adalah bahan strategik. Negara-negara Opec sendiri pun tidak pernah memberikan data dan angka-angka yang jelas tentang berapa banyak lagi minyak yang masih tersimpan dalam perut bumi mereka.

Dalam masa yang sama negara-negara Opec sering membesar-besarkan jumlah simpanan mereka. Ini dilakukan kerana dengan jumlah angka simpanan yang besar maka negara ini akan diberi kouta yang besar untuk memasarkan bahan mentah mereka. Negara Arab Saudi – pengekspot terbesar dunia – tidak pernah mengeluarkan data dan statistik untuk diketahui umum. Apa yang sering kita dengar hanyalah kenyataan bahawa minyak masih banyak tersimpan dalam perut bumi Arab Saudi. Bukti-bukti melalui data tidak pernah dilihat. Jika data wujud, kesahehannya sering dipertikaikan.

Untuk saya, hakikat yang wajib kita terima ialah bahan bakar petroleum telah semakin susut dan dalam masa yang paling terdekat dunia akan kerkeringan minyak. Hakikat ini wajib kita terima untuk kita kongsi bersama. Jika kita dapat menerima hakikat ini maka barulah ada kemungkinan kita dapat mengambil langkah-langkah seterusnya.

Cakap-cakap tentang alat hawa dingin terlampau sejuk dan membazir atau lampu-lampu pejabat terpasang terus sebagai satu pembaziran adalah cakap-cakap dari mulut yang tidak berilmu. Menutup satu dua punat lampu atau punat penghawa dingin tidak menyelamatkan apa-apa. Ini hanyalah cakap-cakap orang politik yang masih kurang kesedaran untuk menerima hakikat bahawa bahan bakar minyak telah susut.

Apa yang wajib kita sama-sama lakukan ialah mengubah seluruh cara hidup kita yang bersandarkan bahan bakar petrol. Kita wajib melakukan peralihan cara dan struktur berfikir. Ini bererti dasar, rancangan dan apa sahaja projek yang akan kita sama-sama bangunkan wajib berasaskan dan berlatar belakangkan senario kekeringan minyak.

Jika semua ini dapat kita lakukan, saya masih lagi merasa pesimis. Apakah kita memiliki masa untuk berubah? Jika pada tahun 1973/74 dahulu kita (rakyat dunia) telah melakukan anjakan pemikiran, besar kemungkinan secara perlahan-lahan kita boleh mengubah gaya hidup kita. Hari ini kita telah terperangkap dalam budaya konsumer kapitalis yang berasaskan bahan bakar petroleum. Contoh yang amat senang difahami ialah bangunan-bangunan terbaru yang kita dirikan. Bukan sahaja tinggi malah bangunan-bangunan ini dibina tanpa memiliki tingkap. Lif-lif wajib digunakan dan ini memerlukan tenaga bahan bakar minyak. Bilik bangunan tanpa tingkap memerlukan alat penghawa dingin.

Dalam masa yang sama kita juga terus memiliki obsesi terhadap kereta. Obsesi ini dicanangkan sebagai tanda kejayaan. Tidak berapa lama lagi berahi obsesi kita ini akan berhadapan dengan satu realiti seperti yang pernah terjadi pada tahun 1973/74 dahulu. Cuma bezanya pada tahun 1974 dahulu rakyat Amerika dinafikan minyak kerana kerajaan mereka menyokong Isreal. Mereka keputusan minyak untuk sementara waktu. Dua minggu dunia tanpa minyak telah menyebabkan ekonomi dunia kacau bilau. Bayangkan tidak lama lagi apabila semua stesen minyak tutup. Stesen jual minyak ditutup bukan kerana apa-apa bantahan politik atau satu protes tetapi untuk selama-lamanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge