Ayam golek Pantai Dalam. Ia. Saya terlupa nama kedai ayam golek yang berdekatan dengan Flat Bukit Angkasa jalan ke Pantai Dalam selepas kawasan RTM. Mungkin Ayam Golek Nara ? Inilah natijahnya apabila sudah lama sangat berada di luar negara. Sampaikan kedai-kedai makan yang sering saya kunjungi telah saya lupa namanya. Saya gemarkan ayam golek. Bukan sebarang ayam golek. Kenalah ayam golek yang ada rempah-ratus di dalamnya. Macam ayam golek di Pantai Dalam itu. Jadi semasa saya singgah di Restoran Kabul di Jinnah Supermarket di kawasan F-7 , saya terpandang ayam golek. Gosok biji mata sekejap. Takkan ada ayam golek di Islamabad ini ?
Ya betul. Memang ada ayam golek di kedai makan di Islamabad. Sila lihat gambar di atas tanpa berkelip. Saya juga tidak berkelip. Saya belek-belek kedai ini. Saya perhatikan sekali mesin yang sedang panas. Ada ayam golek di dalamnya. Warna ayam yang digolek sungguh menggiurkan. Kalau ikutkan nafsu, harus terus sahaja saya membelinya sekarang. Tapi awas! Apakah rasanya. Adakah rasanya akan sama seperti ayam golek di Pantai Dalam ? Samakah rempah-ratus di dalam badan ayam ini ?