Seronok Betul Dapat Berjumpa Dengan Rakan Senegara Di Negara Asing, Tiada Kata-Kata Yang Boleh Diungkapkan Untuk Menjelaskan Perasaan Tersebut, Hanya Syukur Pada Yang Maha Esa

Tidak pernah termimpi oleh saya untuk bekerja di luar negara. Suasana yang berbeza, dengan rupa manusia yang lain, budaya kerja, makanan dan tempat tinggal yang berbeza. Namun hidup perlu diteruskan. Saya masih ingat lagi saya mengambil masa kira-kira 4-5 bulan berfikir untuk bekerja di sini, di bumi asing Pakistan. Negara yang selalunya digambarkan sebagai tidak selamat di media-media negara barat, tidak terkecuali negara saya.

Namun pada saya, setelah saya membuat keputusan untuk bekerja di sini, tiada jalan penghalang dan tiada apa yang akan memungkinkan saya untuk menarik kembali keputusan saya. Saya masih ingat lagi kata-kata Sifu saya sebelum saya mengambil keputusan bekerja di sini. Beliau mengungkapkan “Nizam, jika anda rasa kehidupan di Islamabad tidak selamat, bagaimana anda rasa saya hidup di sini semenjak 2003 lagi bersama anak-anak saya?”.

Kata-katanya membuatlkan saya terdiam seketika dan merenung masa depan sebentar. Ada benarnya juga kata-katanya itu. Kalau betullah keadaan di sini tidak selamat, bagaimana pula kehidupan rakyat Malaysia yang lain. Di mana-mana sahaja di dunia ini ada Kedutaan Malaysia dan bagaimana mereka meneruskan kelansungan hidup?

Saya cuba mencari-cari maklumat akan kehidupan rakyat Malaysia di Islamabad. Namun saya hampa kerana tidak ada rakyat Malaysia yang ada blog dan mencoretkan pengalaman mereka di sini. Sampailah saya ketemu dengan Blog Nafastari. Sekilas pandang blognya tidaklah menceritakan secara terperinci akan keadaan di Pakistan. Namun itulah yang saya ada. Saya baca satu persatu tulisan blog di dalamnya. Dan saya rasa ada cukup bersedia untuk berhijrah untuk mencari rezeki di bumi asing Pakistan. Terima kasih Nafastari! Anda telah berjaya membuka mata saya untuk datang ke Pakistan, dah menghilangkan sedikit kegusaran keluarga dan saya sendiri ketika di Malaysia.

Saya masih ingat lagi sesampainya saya di Islamabad, Pakistan, keadaan terasa begitu sunyi sekali. Di pejabat hanya ada dua orang rakyat Malaysia sahaja, selebihnya adalah warga Pakistan. Bayangkan saya hanya ada seorang sahaja rakan sekerja yang boleh berbahasa Melayu dengan saya ketika itu. Kalau beliau pulang ke Malaysia, tinggallah saya seorang di pejabat. Kadang-kadang terasa ingin berbahasa Melayu dengan pokok-pokok sahaja ketika itu. Saya hanya bergurau!

Ketika mula-mula saya menginap di Hotel Serena Islamabad, saya juga terperasan yang Perdana Menteri Turki Erdogan juga menginap di hotel yang sama. Anda boleh bayangkan betapa ketatnya kawalan keselamatan di hotel pada ketika itu. Saya perlu membawa pasport Malaysia saya di mana-mana, hatta di lobi hotel sekalipun. Askar dan polis ada di mana-mana di kawasan hotel. Terdapat polis berkawal setiap satu jam di depan bilik saya. Mereka juga akan bertanya tentang pasport saya ketika saya ingin memasuki lif. Begitu fobia rasanya menginap di hotel ketika itu.

Ketikan sarapan pagi di hotel, suasana bosan akan melanda. Mana tidaknya, nasi lemak yang diharapkan, roti dan dhal mereka hidangkan. Apa nak buat, dah nasib badan kan. Terpaksalah saya mengadap masakan Pakistan setiap kali bersarapan di sini. Mula-mula terasa sedapnya juga, kalau dah berhari-hari muak juga. Saya masih ingat ada suatu pagi, tetiba saya ternampak kadbod tertulis “Beehon Goreng Singapura” (di dalam bahasa Inggeris). Hati sungguh berbunga-bunga ketika itu. Namun setelah saya rasa, rasanya jauh sekali dibanding dengan Beehon Goreng di Singapura. Nasib baik saya hanya mengambil sedikit sahaja ketika itu.

Hari kedua sarapan pagi di hotel tersebut, ketika sedang asyik menghirup kopi di meja, saya terperasan ada seseorang yang miripnya rupa seperti orang Malaysia. Saya rasa sedikit gembira dan terus menuju ke arah beliau ketika itu. Tanpa segan silu saya bertanya samada beliau adalah rakyat Malaysia. Beliau menjawab ya. Owh Tuhan! Tidak dapat saya bayangkan betapa syukurnya saya ketika itu. Memang seronok sebenarnya kalau kita dapat ketemu dengan rakan senegara di negara asing. Saya berbual-bual sebentar dengan beliau sebelum meminta diri untuk ke pejabat. Selang beberapa hari barulah saya tahu beliau baru melapor diri di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baru.

Kehidupan di Islamabad perlu diteruskan dan setelah beberapa minggu saya telah dapat menyesuaikan diri. Banyak rupanya khazanah alam dan kawasan pelancongan di Islamabad dan Pakistan. Selalu juga kami rakyat Malaysia di Islamabad berkumpul untuk sesi makan-makan dan keraian. Memang seronok rasanya. acapkali selepas majlis, saya akan mengungkapkan di dalam hati “Dapat merasai masakan Malaysia 4,500km jauhnya dari negara tercinta dan berkumpul dengan rakan-rakan senegara adalah satu nikmat yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata”. Malaysia Boleh!

Loading

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

10 responses to “Seronok Betul Dapat Berjumpa Dengan Rakan Senegara Di Negara Asing, Tiada Kata-Kata Yang Boleh Diungkapkan Untuk Menjelaskan Perasaan Tersebut, Hanya Syukur Pada Yang Maha Esa

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.