landskap di kl macam rojak?

saya bersetuju dengan luahan pembaca kali ini. dbkl seharusnya memikirkan cara2nya untuk mencantikkan bandaraya kl secara jangka panjang. tidak perlu menanam pokok2 bunga yang hanya akan tumbuh untuk jangkamasa 2 minggu sahaja. bunga kertas dan bunga raya adalah alternatif yang terbaik.

kita tunggu dan lihat ya !

luahan pembaca utusan malaysia

  Forum

Landskap KL macam ‘rojak’?

SAYA bangga menjadi warga kota Kuala Lumpur walaupun kos taraf hidupnya tinggi tetapi saya masih dapat bertahan sehingga kini. Maklum sajalah makan gaji dengan swasta.

Satu lagi sebabnya ialah keterampilan bandar raya Kuala Lumpur yang menyerlah dengan keindahan landskapnya.

Rakan-rakan perniagaan syarikat saya bekerja dari luar negara pernah berkunjung ke ibu negara dan mereka memuji keindahan dan kreativiti kita.

Bagaimanapun, itu adalah dua tahun lalu. Orang yang sama kemudian datang kembali baru-baru ini tetapi mereka memberi pandangan yang berbeza.

Landskap Kuala Lumpur macam ‘rojak’, itulah pandangan mereka.

Mereka menasihatkan kita melawat Singapura dan melihat bagaimana negara jiran itu mengindahkan pokok-pokok di sepanjang laluan pejalan kaki.

Menurut mereka pokok-pokoknya hijau dan subur. Sejuk dan sedap mata memandang, seolah-olah kita berjalan dalam taman.

Terpanggil untuk melihat keadaan itu sendiri, saya lalu bercuti membawa keluarga ke Singapura dan memang benar apa yang diperkatakan oleh rakan perniagaan saya mengenai erti keindahan kota.

Mereka mempersoalkan mengapa Kuala Lumpur banyak menggunakan pokok-pokok annual atau semusim seperti balung ayam, bunga tahi ayam dan lain-lain lagi yang diimport benihnya dari Belanda.

Pokok-pokok ini memang cantik tetapi tidak boleh bertahan lama.

Ia boleh ditanam hanya di tempat tertentu seperti di Dataran Merdeka dan Tugu Negara, bukannya di sepanjang jalan, celah-celah pokok besar dan di pembahagi jalan.

Penyenggaraan pokok jenis ini sangat tinggi serta boleh membebankan warga kota apabila pokok-pokok tersebut perlu diganti setiap dua minggu dan ia juga akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu, mereka menyatakan kita ketandusan idea apabila meletakkan pokok-pokok seperti itu di celah-celah pokok bunga yang lain.

Keadaan akan menjadi buruk apabila pokok-pokok tersebut yang hanya boleh bertahan dua minggu sahaja, mati.

Kita boleh melihat dengan jelas keadaan pokok-pokok ini kering seperti lalang kena bakar di celah-celah pokok bunga lain yang masih segar.

Mereka memuji projek menanam pokok di pembahagi jalan di Jalan Pahang hadapan Hotel Grand Season dan jalan-jalan lain yang menggunakan pokok selain pokok tersebut untuk tujuan pengindahan.

Usaha ini perlu diteruskan di jalan-jalan lain supaya keindahan Kuala Lumpur ada signifikannya.

Seperkara lagi, pokok-pokok jenis tersebut ditanam oleh pihak kontraktor dan harganya boleh tahan juga jika jumlah pokok yang dapat dibekalkan dalam jumlah yang banyak.

Di sini warga kota mungkin tertanya-tanya sampai bilakah DBKL ingin mengharapkan pihak swasta untuk menjalankan kerja mudah ini?

Apa jadi dengan pegawai-pegawai landskap yang diambil bekerja tetapi mereka tidak memberi apa-apa idea yang boleh dibanggakan?

Kalau setakat hendak mencantikkan bandar dengan meletakkan pokok-pokok yang berwarna tetapi hanya sementara sahaja keindahannya, sesiapa pun pun boleh melakukannya.

Jadi saya harap dengan pelantikan Datuk Bandar baru mungkin bandar raya kita boleh berubah dan dapat menonjolkan imej yang tersendiri.

Saya sendiri rindukan keindahan pokok-pokok bunga kertas yang menghiasi ibu negara suatu ketika dahulu.

– WARGA KOTA PRIHATIN,

Kuala Lumpur.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge