kebesaran al-quran dahului masa

artikel yang menarik perlu dikongsi bersama. hehhe

Kebesaran al-Quran dahului masa

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my


MUKJIZAT ALLAH: Gambar satelit Laut Mati.

Kajian saintis bukti kalimah allah meliputi pelbagai bidang kehidupan

ANTARA peristiwa besar yang berlaku sepanjang Ramadan adalah turunnya al-Quran, mukjizat terbesar kurniaan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan yang turut dikenali sebagai Nuzul Quran.

Turunnya kitab wahyu terakhir itu tidak saja menerangkan suruhan dan larangan-Nya, tetapi keajaiban al-Quran menyebabkan ilmu sains yang ada pada kitab suci itu dikatakan melampaui zaman ia diturunkan.

Pengkaji al-Quran, Dr Danial Zainal Abidin, berkata pada zaman al-Quran diturunkan iaitu pada abad ketujuh, masih belum ada kajian sains mengenai alam semula jadi yang dilakukan menyebabkan masyarakat belum mengetahui mengenai ilmu sains dan teknologi.

“Kajian mengenai pelbagai rahsia alam hanya bermula sekitar abad ke-19 dan ketika itu didapati bahawa segala fakta sains yang ditemui adalah selaras maklumat asas daripada al-Quran,” katanya yang juga pengamal perubatan dan penceramah agama.

Beliau berkata, pelbagai penemuan baru sains dan teknologi pada masa kini yang berasaskan kepada ayat al-Quran adalah bukti bahawa setiap ayat dalam kitab samawi terakhir itu bukan rekaan manusia.

Sebaliknya, penemuan ini seharusnya menambahkan keimanan umat Islam bahawa ayat al-Quran itu datang daripada Allah SWT seperti firman-Nya dalam surah as-Syu’araa’, ayat ke-192: “Dan sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam.”

“Pada zaman Rasulullah SAW yang dikenali zaman jahiliah, Allah sudah menerangkan secara jelas kepada manusia mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui batas pemikiran manusia ketika itu,” katanya.

Antaranya Allah sudah menerangkan bahawa asal kejadian alam semesta bermula daripada kepulan asap seperti firman-Nya dalam surah Fussilat, ayat ke-11: “Kemudian Dia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: ‘Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa,’ keduanya menjawab: ‘Kami berdua sedia menurut, patuh dengan sukarela’,”.

“Kajian saintis moden pada hari ini mendapati bahawa alam semesta memang bermula daripada kepulan asap iaitu gas hidrogen dan helium yang kemudian bercantum sehingga menjadi gumpalan asap raksasa seterusnya melahirkan bintang dan galaksi,” katanya.

Fakta sains lain yang ditemui dan terdapat dalam al-Quran adalah semua cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), pokok menghasilkan bahan bakar (Yaasiin: 80), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61) dan semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An’aam: 125).

Fakta lain adalah semua makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu’minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25), langit yang terkawal (Al-Anbiyaa’: 32), keadaan kemusnahan langit menyerupai bunga mawar (ar-Rahman: 37), proses kejadian bumi (az-Zukhruf: 10) dan penentuan jantina (an-Najm: 45 dan 46).

Dr Danial berkata, selain diterangkan secara jelas, kajian mendalam terhadap al-Quran mendapati kitab ini juga mampu merungkai rahsia kejadian pada masa akan datang yang masih belum berlaku ketika nas itu diturunkan.

“Antaranya al-Quran sudah menerangkan kebangkitan kembali bangsa Rumawi selepas dikalahkan Parsi walaupun kejadian itu belum terjadi pada masa itu.

“Ketika berlaku kekalahan itu iaitu kira-kira tahun 614, turunlah ayat pertama hingga keempat dari surah ar-Ruum yang menyatakan bahawa bangsa itu akan kembali menang dalam tempoh kurang 10 tahun dan kemenangan itu benar-benar terjadi lapan tahun kemudian,” katanya.

Beliau berkata, keajaiban al-Quran dari sudut penceritaan sejarah juga terbukti apabila kajian arkeologi mendapati beberapa kisah yang diceritakan dalam kitab suci itu benar-benar wujud.

“Antaranya dalam kisah kaum Nabi Salleh iaitu kaum Thamud, Allah menceritakan dalam al-Quran antaranya pada surah al-A’raf, ayat ke-74, bahawa kaum itu membina kediaman dengan memahat gunung-ganang.

“Kajian akhirnya menjumpai tinggalan arkeologi kaum ini di Lembah Petra, Jordan sekali gus membuktikan kisah diceritakan itu benar-benar wujud,” katanya.

Kajian juga turut menemui tinggalan arkeologi bagi kisah lain dalam al-Quran antaranya petaka yang menimpa kaum Nabi Lut di Laut Mati dan kaum Nabi Hud iaitu ‘Ad di Uber iaitu berhampiran pantai Oman.

Selain keajaiban menerusi penceritaan ilmu sains, sejarah dan kisah yang belum berlaku ketika itu, kajian lain yang dijalankan bagi mencari keajaiban al-Quran mendapati bahawa jumlah sesetengah perkataan berbahasa Arab di dalam kitab itu adalah saling berlawanan.

Antara perkataan berkenaan adalah; dunia yang disebut sebanyak 115 kali, manakala akhirat yang turut disebut sebanyak 115 kali, malaikat dan syaitan (88 kali), hidup dan mati (145 kali), faedah dan kerugian (50 kali), kesusahan dan kesabaran (114 kali) serta lelaki dan perempuan (24 kali).

Perkataan lain adalah ummah dan penyampai (50 kali), iblis dan memohon perlindungan daripada iblis (11 kali), musibah dan bersyukur (75 kali), bersedekah dan berpuas hati (73 kali) serta zakat dan berkat (32 kali).

Golongan muslimin dan jihad (41 kali), orang yang sesat dan meninggal dunia (17 kali), emas dan kemurahan hidup (lapan kali), keajaiban dan fitnah (60 kali), minda dan nur (49 kali), lidah dan sumpah (25 kali), nafsu dan ketakutan (lapan kali), bercakap di khalayak ramai dan berdakwah (18 kali).

Jumlah perkataan lain yang dianggap ajaib dijumpai adalah solat (lima kali), bulan (12 kali), tahun (365), lautan (32 kali) dan daratan (13 kali).

Jumlah lautan dan daratan ini apabila ditukar dalam bentuk peratus adalah bersamaan dengan jumlah sebenar kawasan laut dan darat yang terdapat di dunia ketika ini iaitu 71.111 peratus dan 28.889 peratus.

Misteri yang terkandung dalam ayat al-Quran ini membuktikan kitab berkenaan bukan rekaan seorang manusia melainkan ia dihasilkan oleh suatu kuasa yang mentadbir seluruh alam ini yakni Allah SWT.

“Disebabkan itulah Allah menekankan supaya manusia berfikir mengenai kejadian alam seterusnya mengkaji al-Quran.

“Berbanding umat Islam sendiri pada ketika ini, tidak dinafikan saintis Barat lebih ramai yang mengkaji ilmu dalam al-Quran dan ada antara mereka yang akhirnya menganut Islam selepas mendapati keajaiban kitab suci ini,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

3 responses to “kebesaran al-quran dahului masa

  1. memang tepat sekali alquran penyembuh segala macam penyakit

    Reply

  2. saya selalu menbaca alquran rezeki saya selalu murah dalam perkerjaan .amal kan membaca alquran dan solat ALLAH menjaga org2 yg menbaca alquran dan solat ,kalau dulu saya tak pernah membacanya dan solat tapi sekarang saya sentiasa membaca dan solat dan rezeki saya sentiasa murah pada perkerjaan menjadi senang dan diut gaji lambat habis seolah sentiasa cukup itulah oengalaman saya yg sentiasa menbaca alquran dan solat sebab apa? ALLAH sentiasa menjaga org2 yg menbaca alquran dan solat.wan

    Reply

  3. ALLAHUAKHBAR..TIADA TUHAN SELAIN ALLAH & NABI MUHAMMAD RASULULLAH..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge