Kaji Kamus Dewan sebelum kritik ?

Kaji Kamus Dewan sebelum kritik

SAYA ingin memberi reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Grik, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh bertajuk ‘DBP alami kemandulan minda‘ yang disiarkan dalam muka hadapan Berita Harian, semalam. Saya telah lama meninggalkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi saya berasa terpanggil untuk membuat reaksi terhadap kritik atau teguran terhadap badan perancangan bahasa negara yang penting ini.

Dengan mengatakan bahawa Jawatankuasa Istilah DBP sedang mengalami semacam ‘kemandulan minda’ kerana kononnya badan ini tidak berjaya atau tidak berusaha melakukan penyelidikan untuk mencari istilah asli’ bahasa Melayu dan tidak hanya mengambil atau meminjam istilah daripada bahasa Inggeris, saya kira ini bukan kritikan, tetapi tuduhan yang tidak benar.

Sebenarnya, DBP banyak memasukkan perkataan dan ‘istilah asli’ bahasa Melayu yang diberikan makna saintifik atau makna khusus dalam Kamus Dewan. Cubalah kaji kamus itu dengan teliti.
Menuduh DBP mencipta istilah seperti ‘bajet’ untuk menggantikan istilah yang sudah lama dan biasa digunakan, iaitu ‘belanjawan’, ini kenyataan yang salah. Setahu saya istilah ‘bajet’ bukan dicipta DBP tetapi dicipta oleh ahli politik Malaysia pada waktu itu yang tidak menghiraukan pandangan pihak yang lebih mengetahui dalam bidang perancangan bahasa dan pembentukan istilah.

Contoh lain: siapakah yang mencipta istilah seperti ‘cif inspektor’ (menggantikan istilah lama ‘ketua inspektor’) dan beberapa istilah pangkat polis yang lain? Istilah seperti itu bukan dicipta oleh pakar istilah yang memerah otak dalam Jawatankuasa Istilah DBP untuk mencipta istilah yang sesuai, tepat dan sesuai dengan budaya dan sistem linguistik bahasa Melayu.

Yang mencipta istilah itu ialah orang bukan ahli bahasa dan ahli istilah dalam Polis Diraja Malaysia. Bayangkanlah, dalam bahasa Melayu sudah ada perkataan ‘cif’ yang diceduk bulat-bulat daripada perkataan Inggeris ‘chief’.

Jadi, kalau adalah jawatan seperti ‘ketua penghulu’ maka sepatutnya jawatan ini diubah menjadi ‘cif penghulu’. Inilah yang dikatakan perbuatan merosakkan bahasa Melayu – bahasa yang hebat, bahasa yang kaya dengan perbendaharaan katanya yang dapat digunakan untuk mengungkap apa saja fikiran, idea, rasa hati dan perasaan manusia.

Untuk makluman Dr Wan Hashim yang juga orang ilmuwan dan sarjana, kebanyakan istilah yang dipinjam atau ‘diserap’ daripada bahasa Inggeris dengan penyesuaian linguistik dan ejaan yang sesuai ialah istilah khusus dalam bidang ilmu khusus, bukan istilah biasa dan umum.

Kebanyakan istilah itu diambil daripada bahasa Latin-Greek melalui bahasa Inggeris kerana tidak ada istilah padanannya dalam bahasa Melayu asli. Sebenarnya istilah itu bukan istilah Inggeris tetapi asalnya istilah Latin-Greek.

Kebanyakan bahasa yang maju di dunia termasuk bahasa Jepun dan bahasa Korea, mengambil atau meminjam dan menyerap istilah sains dan teknologi daripada sumber yang sama, iaitu sumber bahasa Latin dan bahasa Greek klasik.

Anggota Jawatankuasa Istilah DBP bukan orang sembarangan tetapi terdiri daripada sarjana dari pelbagai bidang ilmu, tidak saja ahli bahasa. Mereka tidak mencipta istilah sesuka hati mereka saja.

Wan Hashim tentu tahu bahawa di dunia ini bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang paling banyak meminjam kata-kata biasa apatah lagi istilah ilmu (sains, matematik dan sebagainya) daripada bahasa Latin dan Greek klasik.

Istilah itu tidak ada dalam bahasa Inggeris asli. Hari ini tidak ada satu pun ayat bahasa ilmu, bahkan ayat biasa dalam bahasa Inggeris, yang tidak mengandungi rata-rata lebih daripada 80 peratus perkataan atau istilah Latin-Greek. Kerana inilah bahasa Inggeris berkembang dan maju.

Jadi, tidak benar sama sekali kalau dikatakan bahawa Kamus Dewan adalah kamus rojak. Yang mencipta bahasa Melayu rojak bukan ahli bahasa, bukan orang DBP, tetapi orang yang tidak tahu bahasa Melayu, orang yang sudah hilang budaya bahasa Melayunya.

Sering kali orang Melayu termasuk orang di DBP sendiri terlalu bergantung pada perkataan biasa dalam bahasa Inggeris untuk berfikir dalam bahasa Melayu, padahal kita boleh berfikir dengan cekap, lancar dan cukup kreatif menggunakan perkataan biasa bahasa Melayu yang jumlahnya cukup banyak.

Orang Melayu dulu kala, orang yang mencetuskan fikiran dan pandangan hidup yang tinggi nilai ilmunya, misalnya melalui peribahasa, pepatah dan pantun, mampu menggunakan bahasa Melayu yang indah, betul dan puitis tanpa bergantung pada kamus dan buku tatabahasa, padahal mereka boleh jadi tidak tahu membaca dan menulis.

Saya juga sering tidak puas hati dengan kecekapan DBP sekarang tetapi saya tidak sanggup membedal badan ini secara terbuka kerana perbuatan ini tidak berfaedah. Kita sepatutnya menyokong dan memberi bantuan fikiran dan cadangan yang baik kepada DBP untuk membolehkan badan ini menjalankan tugasnya dengan lebih cekap dan lebih produktif, tidak hanya membantai saja.

Saya tidak fikir kita dapat menerbitkan ribuan buku dalam pelbagai bidang ilmu dalam tempoh berkenaan jika tidak ada ratusan ribu istilah ilmu diciptakan, dikembangkan dan dimantapkan DBP.

Janganlah kerana beberapa perkataan atau istilah yang kita tidak suka, kita bantai badan ini seolah-olah tidak berguna lagi.

Saya ingin mengingatkan pihak pimpinan DBP supaya mengendalikan badan yang penting ini dengan lebih cekap berdasarkan pertimbangan dan wibawa ilmu dan lebih berani dan tidak kerana takut ditegur dan dimarah oleh pemimpin politik mereka.

DATUK DR HASSAN AHMAD,
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 responses to “Kaji Kamus Dewan sebelum kritik ?

  1. saya setuju…cuma lidah dan tekak budayawan dan pakar bahasa Melayu tak sampai bila ianya melibatkan urusan politik. Besar betul kuasa politik sehingga boleh melahirkan sesuatu yang bertentangan dengan sepatutnya. Ahli politik atau org yang bute budaya la yang sepatutnya dikecam….DBP pun salah gak…tapi sebagai defendan kedua laa…

    Reply

  2. bayan : tu la pasal. aku benci dengan perogol2 bahasa tuh semua 🙂

    Reply

  3. kena ada keyakinan terhadap bahasa kita. buat apa nak dipiam ahasa lurn. ahli politikni pun satu. tak reti2 nak rujuk pihak2 yg berkenaan kah?

    kalau org lain laju sgt bidaspasal penggunaan bahasa..

    kita sendiri kena tunjuk rasa hormat dan menjunjung bahasa kita…

    Reply

  4. kawaii : benci dgn mereka

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge