KaghanValley-BabusarPass-Gilgit-HunzaValley 2011 @ Part 1 – Perjalanan Dari Bumi Islamabad ke Mansehra, Pagi Yang Damai Sekali & Melalui Bandar Abbottabad Yang Terkenal

Macam dah lama pula penulis tidak menulis berkenaan dengan travelog yang panjang-panjang kan. Gambar memang banyak. Perjalanan pun memang jauh dah menarik belaka. Cuma masa dan ketika yang tiada. Kadang-kadang rasa malas mencengkam jiwa. Susah sebenarnya untuk konsisten berblog berkenaan dengan perjalanan hidup ini sebenarnya.

Kali ini penulis bersama dengan isteri telah menjelajah ke bumi Utara Pakistan. Ini adalah kali kedua untuk penulis dan kali pertama untuk isteri penulis. Kami bertolak dari Islamabad pada Hari Raya ke-3 yakni Hari Jumaat. Trip kali ini telah dirancang dengan lamanya selama lebih kurang 2-3 bulan sebelum tarikh bertolak. Kami pergi ke Utara Pakistan dengan menaiki Prado yang sama seperti tahun lepas, dan lebih menarik dipandu oleh pemandu yang sama seperti pada Julai 2010 lalu.

Penulis tidak sanggup untuk mengambil risiko untuk bertukar kenderaan malah bertukar pemandu. Bagi kami, pemandu pada tahun lepas cukup bagus dan tahu akan kehendak kami ketika dalam perjalanan. Nantilah kalau ada masa, penulis akan berbicara tentang tips memilih pemandu jika mahu berkelana di bumi Pakistan ini ya.

Sila lihat papantanda di atas. Sudah nyata lagi bersuluh kami akan ke Gilgit yang jauhnya dalam 540km dari bandar Islamabad. Perjalanan pada tahun lepas mengambil masa kira-kira sau hari penuh. Tetapi pada kali ini, penulis ingin mencuba sedikit kelainan. Kami tidak akan ke Utara Pakistan melalui Indus Kohistan tapi kami akan ke sana melalui Babusar Pass (4,200m) melalui Lembah Kaghan dan Bandar Naran (yang terkenal dengan Tasik Saiful Muluk).

Perjalanan kami pada kali ini akan melalui:

Islamabad – Rawalpindi – Taxila – Haripur – Havelian – Abbottabad – Mansehra

Nampak agak jauh tapi boleh dihabiskan dalam masa beberapa jam sahaja yakni daripada jam 0800hrs – 1200hrs dalam 4 jam begitu. Kami akan melalui Lebuhraya Karakoram yang terkenal daripada Taxila sampailah ke Mansehra. Di Mansehra kita akan ke Balakot dan masuk ke Lembah Kaghan. Kita akan bermalam di Naran. Perjalanan melalui Lebuhraya Karakoram dari Taxila ke Mansehra agak menyenangkan dengan jalan berturap tar yang selesa. Lebuhraya Karakoram ini sebenarnya berturap dengan cantik sampailah ke Jambatan Takhot, sebelum memasuk Daerah Indus-Kohistan. Selepas itu, jalan agak teruk, berlubang-lubang, kadang-kadang kita akan melalui tanah runtuh.

Beginilah rupa keadaan Plaza Tol sebelum menghampiri Lebuhraya Karakoram. Nampak begitu mudah sekali keadaan tol dan penjaga tolnya agak bersahaja kan. Hehehe 🙂 Begitulah senario, dengan jumlah tol yang agak rendah dalam Rs.30 rupees sahaja, kita boleh melalui Lebuhraya Karakoram yang panjangnya dalam 800km itu. Palang tol pula diperbuat daripada buluh sahaja. Penulis pernah melalui palang tol yang diperbuat daripada tali di Pakistan. Apabila kereta menghampiri plaza tol, tali tersebut akan diangkat untuk menghadang kenderaan daripada melaluinya.

Kami kurang ketahui akan nama pokok-pokok yang berwarna putih di kiri dan kanan Lebuhraya Karakoram ini. Diperhatikan pokok-pokok ini memang banyak dan berlambak-lambak di sepanjang perjalanan. Nampak seperti sesuai untuk menghalang angin pokok-pokok yang besar sebegini. Waktu pagi adalah waktu yang sesuai untuk memulakan perjalanan di sini. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang dan tiada kesesakan di sini pada awal pagi. Kenderaaan di sini kebanyakkannya menggunakan gas CNG. Nampak tak stesen CNG di dalam gambar di atas?

Pemandangan indah ladang jagung dan biji-biji bajra di sepanjang perjalanan ke Mansehra. Suasana di waktu pagi yang mendamaikan. Sungguh mengasyikkan. Penulis tidak tahu apa nama gunung yang di kejauhan itu. Mungkin juga banjaran Khewra yang terkenal dengan Lombing Garam Khewra di Kawasan Jhelum agaknya.

Cuaca sudah mula sejuk ketika kami menghampiri Bandar Abbottabad. Jika tidak sejuk, tidaklaj kelindan lori ini mengenakan selendang biru bercorak batiknya itu. Pelik agaknya melihat pelancong asing seperti kami melintasi lori kosongnya. Untuk makluman kebanyakkan Pakistani di sini hanya tahu akan warga Pakistan, Warga Barat dan Warga China. Kita bukan orang Pakistan, juga bukan Warga Barat. Justeru bagi mereka kita tergolong di dalam Rakyat Negara China. “Nihaoma!” adalah panggilan yang biasa kami terima ketika berkunjung ke kedai-kedai tempatan.

Kami sudah lupa akan nama kawasan ini. Mungkin inilah bandar Havelian. Kami banyak bertemu dengan bandar-bandar yang kecil dan besar dalam perjalanan dari Islamabad ke Mansehra ini. Bukanlah semua diketahui oleh kami. Kadang-kadang terfikir juga, kenapalah kami tidak merekodkan sahaja journal perjalanan kali ini dengan kamera video sahaja. Senang nak mengingat bandar-bandar utama yang kami lalui. Nak membaca papantanda Urdu kami tidak reti pula 🙂

Kami sampai ke Bandar Abbottabad. Bandar ini begitu terkenal selepas 2 Mei 2011. Manakan tidak, di bandar inilah Pasukan USA telah membunuh Osama bin Laden. Bandar ini memang sebuah bandar yang besar. Namanya diambil sempena Major James Abbot. Abad ialah tempat di dalam bahasa Urdu. Seperti juga Islamabad, Faisalabad dan nama-nama lain yang ada perkataan Abad di belakangnya. Bandar ini adalah bandar Tentera. Terdapat banyak kem tentera di sini. Di Abbottabad juga terdapat Kem Latihan Tentera Kakul.

Pemandangan ladang jagung yang menghijau. Sekarang adalah musim jagung di Pakistan. Jika tidak ditanam dengan gandum, tanah-tanah di sini akan ditanam dengan jagung. Jagung dibuat tepung. Juga dibuat pharata jagung. Kadang-kadang rasanya seperti roti atau lempeng jagung di Malaysia. Ianya dimakan dengan sejenis sayuran yang dilenyek halus dan di masak ala-ala masak lemak. Penulis pernah merasa masakan tersebut di sebuah pasar di Rawalpindi dahulu.

Selepas Abbottabad, perjalanan melalui Lebuhraya Karakoram akan sedikit mendaki memandangkan Mansehra terletak agak tinggi berbanding dengan Abbottabad. Mansehra sebenarnya adalah pemisah antara Lebuhraya Karakoram dan Lembah Kaghan di Utara Pakistan. Selepas Mansehra, sila ke kiri jika mahu meneruskan perjalanan ke Utara Pakistan melalui Lebuhraya Karakoram dan Lembah Indus-Kohistan. Sila ke kanan jika ingin ke Lembah Kaghan dan terus ke Bandar Naran.

Travelog seterusnya – Berehat di Mansehra, Budak-budak Peminta Sedekah & Pemandangan Bandar Mansehra Yang Mendamaikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 responses to “KaghanValley-BabusarPass-Gilgit-HunzaValley 2011 @ Part 1 – Perjalanan Dari Bumi Islamabad ke Mansehra, Pagi Yang Damai Sekali & Melalui Bandar Abbottabad Yang Terkenal

  1. best jalan-jalan

    Reply

    KNizam Reply:

    pena biru : sini jalan2 ada elemen2 bertarung nyawa sket hehe:)

    Reply

  2. salam bro , best jalan-jalan kat pakistan ..nampak sejuk dan nyaman ….thanks for sharing

    rizal

    Reply

    KNizam Reply:

    rizal : hehe thanks bro 🙂

    Reply

  3. Bukan dah tukar ka nama Abbottabad ke Osamaabad?

    Reply

    KNizam Reply:

    iqbal : hehe 🙂

    Reply

  4. Seronok bila ada peluang menjelajah macam ni. Paling best gambar kat plaza tol tu. Cool. hehe 😀

    Reply

    KNizam Reply:

    ijan : mmg best. jauh perjalanan luas pemandangan hehe 🙂

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge