Dua Pengebom Berani Mati Meletupkan Diri di Makam Sakhi Sarwar, Dera Ghazi Khan Jam 9 Malam Tadi, 44 Terbunuh dan 120 Cedera – Insiden Ke-enam Serangan Ke Atas Makam Terkenal di Pakistan Semenjak 2007

Malam tadi jam 9 malam, sebuah lagi makam yang terkenal di Dera Ghazi Khan, Makam Sakhi Sarwar diserang oleh dua pengebom berani mati. Akibatnya lebih kurang 44 orang terbunuh dan lebih 120 orang cedera. Ini bukan kali pertama sebuah makam yang terkenal diserang di Pakistan. Ini adalah kali ke-enam! Makan Sakhi Sarwar ini menempatkan Ahli Sufi Ahmed Sultan.

Keratan akhbar online di atas menunjukkan pasukan polis menanggal jaket pengebom berani mati ke-tiga di Makam di Dera Ghazi Khan. Pasti ramai lagi nyawa yang melayang sekiranya pengebom berani mati ini berjaya meletupkan diri bersama-sama rakyat Pakistan yang berpusu-pusu menghadiri upacara memperingati ahli sufi di makam di Dera Ghazi Khan malam tadi.

Setiap tahun ramai rakyat Pakistan yang mengunjungi Makam beliau bagi memperingati hari kematian beliau. Hari peringatan Ahli Sufi di Pakistan juga dikenali sebagai Urs Day. Pada hari tersebut, anda akan dapat lihat rakyat Pakistan berbondong-bondong mengunjungi makam-makam seperti ini. Terdapat tiga makam yang amat popular di Karachi dan Lahore, juga Islamabad. Makam Data Darbar di Lahore (telah diserang tahun lepas, oleh pengebom berani mati berkembar) dan juga Makam Abdullah Shah Ghazi di Karachi (telah juga diserang tahun lepas).

Selama saya menetap di Islamabad, Pakistan lebih kurang setahun yang lalu, telah berkali-kali berita akan serangan ke atas makam-makam ini direkodkan di skrin TV tempatan. Kebiasaannya saya ambil tidak peduli sahaja akan berita-berita sebegini. Saya hanya akan ambil kisah sekiranya serangan yang dilakukan adalah besar dan melibatkan lebih daripada 20 kematian. Kejadian-kejadian besar sebegini biasanya akan mendapat liputan luas di stesen TV tempatan. Selama beberapa jam anda akan dapat saksikan klip-klip video yang dimainkan berulang-ulang kali berkenaan serangan pengebom berani mati tersebut.

Nyawa manusia kelihatan seperti amat murah di sini. Kematian yang sebegitu banyak agaknya sudah menjadi lumrah di negara yang berpenduduk seramai lebih kurang 180 juta orang ini. Mungkin dek kerana terlampau ramai manusia dak rakyat, mereka seaakan-akan tidak kisah dengan perkara-perkara sebegini lagi. Kadang-kadang saya terfikir, mungkin juga keamanan telah lama lenyap di bumi ajnabi ini. Mungkin juga mereka tidak pernah mengecap keamanan sebenar, bebas ke mana-mana tanpa perli risau akan pengebom berani mati.

Acapkali telah saya tulis sebelum ini, kehidupan di bumi ini memerlukan kita untuk senantiasa berwaspada, lidah kena sentiasa basah dan  hati kerana sentiasa berjaga-jaga. Banyak perkara yang memerlukan gerak hati. Saya lebih percaya kepada gerak hari daripada gerak manusia di sini. Kadang-kadang bila kita rasa tidak selamat, hati kita akan cuba memberontak dan beredar dari sana. Pengalaman bersolat jumaat di dalam ketakutan di masjid-masjid di sini memang akan jadi satu kenangan yang menyeramkan buat saya. Kita tidak dapat menjangka bilakah ianya akan berlaku. Saya hanya dapat berdoa dan bertawakkal sahaja. Langkah-langkah keselematan diambil dan diperhalusi sepanjang masa.

Bukan mudah untuk hidup di sini. Hanya mereka yang pernah menghuni bumi Pakistan sahaja akan tahu akan apa yang saya perkatakan. Ada juga sahabat-sahabat saya di Malaysia yang bertanya “Nizam, all the bomb threats, suicide bombers, target killing. Is it for real?” Saya kadang-kadang hanya tersenyum. Walaubagaimana sekalipun penerangan yang saya beri, ianya tidak dapat sama dengan pengalaman yang saya sendiri lalui. Tiada kata-kata yang dapat diungkap akan rasa takutnya kami di sini. Hanya Allah yang mengetahuinya sahaja.

Pernah juga beberapa kali saya mengajak rakan-rakan di Malaysia untuk mengunjungi Islamabad. Pelbagai alasan diutarakan dan semestinya salah satu alasan paling terkenal ialah “Selamat ke di sana, bagaimana kalau ada bom nanti?”. Dan kebiasannya saya akan menjawab dengan berseloroh “Kalau tidak selamat, masakan saya masih boleh balik ke Malaysia bertemu dengan anda padi hari ini ya”. Kadang-kadang saya katakan kepada mereka “Jika anda singgah ke Islamabad, dan anda rasa tidak selesa menginap di hotel, and boleh tidur di rumah saya. Jangan bimbang, jika ada apa-apa berlaku, saya akan cuba melindungi anda seberapa upaya.

Ramai juga yang memberikan komen dan bercita-cita untuk datang ke Pakistan setelah melihat foto-foto dan catatan perjalanan saya melalui blog ini. Ramai yang teruja dengan keindahan dan keunikan yang tergambar di dalam blog ini. Seringkali mereka bertanya bagaimana saya boleh hidup dan masih boleh berjalan-jalan di sini sekiranya kehidupan saya diselimuti rasa takut sepanjang masa. Rakan-rakanku sekalian, hidup perlu diteruskan. Catatan perjalanan yang saya persembahkan di sini hanya sekelumit sahaja daripada catatan sebenar. Ada perlukan sedikit keberanian untuk berjalan-jalan di sini. Jika saya katakan yang ianya seperti bertarung nyawa hendak ke Tasik Saif-ul Muluk di Lembah Kaghan, pasti anda tidak percaya bukan? Jika anda ingin merasa apa yang saya lalui, anda perlu datang ke sini.

Tujuan saya berjalan-jalan sepanjang hujung minggu adalah untuk mengisi masa senggang yang saya ada. Jika diikutkan hati memang saya tidak berani untuk pergi ke mana-mana. Saya pernah fobia untuk berkunjung ke Jinnah Super tatkala rumah saya bergegar dek kerana letupan bom tangan 300 meter di rumah saya. Namun bila difikirkan kembali, sampai bila saya hanya mampu berkurung di dalam rumah sahaja. Saya perlu keluar melihat dunia. Terus terang saya katakan, saya boleh menulis berkenaan situasi kehidupan sebenar kami rakyat Malaysia di sini, dan saya pernah menulis mengenainya sebelum ini. Blog ini akan jadi begitu sedih dengan catatan-catatan kematian sahaja nanti. Saya ingin berkongsi pengalaman saya bekerja dan menghuni di bumi Islamabad, itu sahaja. Semoga pengalaman yang baik dijadikan tauladan dan mana-mana catatan yang tidak baik dijadikan sempadan.

Begitulah kehidupan kami di sini, warga Malaysia di Islamabad khasnya dan di Pakistan amnya. Serangan di Makam Ahli Sufi fi Dera Ghazi Khan malam tadi bukanlah yang pertama saya dengari, dan mungkin juga bukan yang terakhir. Doakan keselamatan kami di sini ya 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

3 responses to “Dua Pengebom Berani Mati Meletupkan Diri di Makam Sakhi Sarwar, Dera Ghazi Khan Jam 9 Malam Tadi, 44 Terbunuh dan 120 Cedera – Insiden Ke-enam Serangan Ke Atas Makam Terkenal di Pakistan Semenjak 2007

  1. baik bro, ako doakan keselamatan ko sekeluarga disana. apapun ko dah slamat kahwin. tu penting ahahaha

    Reply

  2. orang islam ke gitu? haih.. nyawa macam takdak nilai

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge