butir kaca keluar di ibu jari kaki?

ini adalah penjelasan yang saya rasa agak menarik dalam utusan baru2 ini. sudah tiba masanya kita mengagungkan penciptaan saintis islam dahulu kala dan berusaha mewujudkan kegemilangan tersebut kembali kan

anda seorang saintis?

sumber – utusan malaysia

Ibnu Sina perjelas kaca dalam tubuh

KEJADIAN menimpa Siti Suhana Saadon, 23, yang terpaksa menanggung derita berikutan pengeluaran butiran kaca dari ibu jari kaki kiri seperti disiarkan media massa baru-baru ini menarik perhatian saya untuk membuat ulasan lanjut.

 

Kejadian itu sememangnya pelik kerana jarang berlaku sehingga ada mendakwa ia berkaitan dengan kes buatan orang, namun kes seperti itu bukanlah tidak pernah berlaku malah terjadi sejak zaman Ibnu Sina lagi.

Menurut Ibnu Sina dalam buku beliau al-Qanun Fi al-Tibb, jenis cecair atau bendalir di dalam tubuh badan atau diistilahkan beliau sebagai ‘akhlat’ atau humor terbahagi kepada empat kumpulan iaitu humor darah, hempedu kuning, hempedu hitam dan kahak.

Setiap humor terbahagi kepada beberapa kategori. Bagaimanapun, tumpuan saya hanyalah kepada humor kahak kerana ia berkaitan kes Siti Suhana.

Menurut Ibnu Sina, humor kahak seperti juga humor lain, terhasil menerusi pembakaran zat makanan di dalam hati. Humor ini terbahagi kepada dua kategori iaitu tabiii dan bukan tabiii.

Humor kahak tabiii adalah darah yang tidak cukup matang dan berfungsi menutrienkan organ tubuh badan sekiranya organ berkenaan kehilangan nutrien, di samping memberi nutrien kepada organ otak.

Humor kahak bukan tabiii pula terjadi akibat ketidakmatangan proses pembakaran zat makanan dalam hati sehingga menyebabkan zat makanan tidak hadam secara sempurna, lalu menjadi mentah. Selain itu, ia boleh terjadi akibat daripada beberapa jenis penyakit dan gaya hidup seseorang termasuk yang berkaitan dengan pemakanan, tidur, riadah dan amalan kebiasaan.

Menariknya, antara kategori humor kahak bukan tabiii itu ialah humor kahak kekaca. Menurut Ibnu Sina, humor kahak kekaca ialah humor kahak bersifat padat lagi tebal. Ia menyerupai kaca cair dari sudut kelihatan dan keberatannya. Kahak jenis ini boleh mempunyai rasa masam dan boleh juga tidak mempunyai rasa.

Antara gejala menimpa tubuh badan mereka yang mengalami gejala penghasilan humor kahak bukan tabiii yang berlebihan, khususnya humor kahak kekaca ini ialah keadaan tubuh berasa sejuk, air kencing berwarna putih bukan jernih, khususnya putih seperti air mani, mengalami gejala penggeleberan pada tubuh badan, warna putih yang berlebihan pada kulit, air liur yang ba nyak dan lekit, penghadaman lemah dan mudah mengantuk.

Selain itu, seseorang itu juga mungkin mengalami mimpi seperti bermimpi melihat air, sungai, salji, hujan dan keadaan terketar-ketar kesejukan.

Melihat kepada fizikal Siti Suhana, saya percaya gadis istimewa itu sekurang-kurangnya sedang atau pernah mengalami dua atau tiga gejala seperti di atas. Sekiranya gejala berkenaan pernah, malah sedang berlaku ke atas dirinya, tidak mustahil gadis itu sedang menderita gejala penghasilan humor kahak kekaca berlebihan di dalam tubuhnya.

Oleh kerana jumlahnya terlalu banyak, humor itu mencari jalan keluarnya sendiri daripada tubuh badan dan dalam kes Siti Suhana ini, humor itu lebih selesa keluar menerusi ibu jari kaki sebelah kiri.

Selepas berjaya keluar daripada tubuh, humor itu terbentuk menjadi kaca yang keras akibat tindak balas dengan udara. Hipotesis ini mungkin kelihatan tidak saintifik, malah boleh jadi melucukan.

Namun, kewujudan humor kahak kekaca dalam tubuh badan seperti dinyatakan Ibnu Sina sejak 1,000 tahun lalu wajar dikaji oleh saintis dan sarjana perubatan pada hari ini.

Siapa yang berani menyatakan bahawa Ibnu Sina tidak melakukan pemerhatian dan kajian terlebih dulu sebelum menyatakan perkara berkenaan dalam buku beliau yang termasyhur itu. Ibnu Sina mula menjadi doktor ketika berusia 16 tahun. Hanya lebih kurang 25 tahun selepas itu barulah beliau menulis buku berkenaan.

Ia bermakna beliau menulis buku itu selepas ilmu kedoktorannya sudah matang dan masak dengan pelbagai pengalaman menakjubkan dalam bidang perubatan seperti yang beliau sendiri nyatakan dalam sejarah hidupnya.

Bagi mereka yang berminat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara ini bolehlah membaca buku saya Teori-Teori Asas Perubatan Ibnu Sina atau berhubung terus dengan saya di alamat pustakahilmi@yahoo.com.

Kepada Siti Suhana dan keluarganya, saya berdoa semoga tabah menghadapi segala dugaan. Percayalah bahawa setiap penyakit itu ada penawarnya kecuali tua dan mati.

DR MOHD HILMI ABDULLAH,
Pengkaji Perubatan Ibnu Sina,
Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS),
Nilam Puri, Kelantan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge