Belasungkawa Allahyarham Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd (1982-2011) & Salam Takziah buat Isteri & Keluarga Arwah – Catatan Kenangan Saya Bersama Allahyarham Wan di Islamabad

Ini adalah catatan buat kenangan bersama Allahyarham Wan Ahmad Fadzil yang telah meninggalkan kita semua pulang ke hadratNya pada 1 Mac 2011. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di kampung beliau di Terengganu pada 2 Mac 2011 jam 10 pagi. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

kenangan bersama allahyarham wan sekeluarga ketika wedding reception saya di jasin melaka pada 19.2.2011

– – – – – – – – – –

Suasana di KLIA agak sejuk malam tadi. Saya bersama isteri yang kurang sihat tiba di KLIA pada jam 10.40 malam. Percutian bulan madu kami di Korea Selatan amat indah, tidak terungkap dengan kata-kata. Urusan pengambilan bagasi agak lancar, setelah mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada Agen Pelancongan kami dan Kumpulan kami, kami segera ke Balai Ketibaan untuk pulang ke rumah di Shah Alam.

Jam menunjukkan lebih kurang pukul 12 tengah malam. Ketika di dalam kereta di Lebuhraya ELITE dari KLIA menuju ke Shah Alam, telefon bimbit jenama iPhone 4 saya berdering. 2 kali deringan tanpa sahutan daripada saya. Siapa pula yang menefon tengah-tengah malam buta ini ya? Saya lihat tertera nombor telefon bimbit Malaysia Kak Ani. Kak Ani adalah isteri kepada En Idris, bekas Diplomat di Islamabad. Kami memang agak rapat sementelahan saya selalu bertandang ke rumah Kak Ani. Apalagi kalau bukan untuk merasai keenakan masakan melayu Malaysia beliau.

Saya angkat telefon. Kak Ani dengan nada sedih bertanya samada saya tahu akan berita tentang En Wan Ahmad Fadzil? Saya bertanya kenapa? Kak Ani memberitahu En Wan telah tiada. Anda telah pergi meninggalkan kami Wan. Saya tergamam seketika. Tidak tahu bagaimana hendak memberikan respons seadanya. Saya terdiam. Macam tidak percaya. Kak Ani menjelaskan yang abang kepada En Wan telah mengemaskini Facebook En Wan memberitahu yang En Wan telah koma akibat kemalangan jalanraya di Terengganu. Ya Allah! saya masih lagi tidak percaya. Adakah Engkau telah menarik nyawa rakan karibku di Islamabad Ya Tuhanku? Sungguh sekejap rasanya perkenalan dengan Allahyarham.

– – – – – – – – – –

Banyak kenangan saya dengan Allahyarham Wan Ahmad Fadzil (selepas ini disebut Wan sahaja) sekeluarga. Ketika catatan kenangan ini ditulis, saya sedang berada di dalam Pesawat TG349 Thai Airways yang sedang terbang melangkau awan biru dari Bangkok menuju ke Islamabad. Airmata jatuh berguguran tatkala mengenangkan kenangan terindah suka dan duka bersama Wan dan sekeluarga di Islamabad. Kami rakyat Malaysia di Islamabad tidaklah ramai mana. Memang kami rapat di antara satu sama lain. Acapkali kami membuat keraian dan saya rasa sudah banyak kali saya singgah ke rumah Wan untuk makan-makan dan majlis keraian bersama warga Malaysia yang lainnya. Rumah Wan memang tidak asing bagi saya. Setiap kali loceng dibunyikan di rumahnya, anaknya Wan Nadaa akan turut serta menyambut ketibaan tetamu di rumahnya. Sungguh senang sekali saya bersama Wan dan keluarga kecilnya.

Saya mengenali Wan sebelum saya tiba di Islamabad pada 22 Oktober 2009 lagi. Anda pembaca blog ini tentu tidak percaya jika saya katakan saya mengenali Wan melalui lamanweb peribadi miliknya di blogspot. Tatkala saya begitu rungsing akan kehidupan masa hadapan di Islamabad, saya ketemu dengan blog Wan. Saya baca satu persatu pengalaman beliau melayari kehidupan suka duka bersama isterinya dan anak mereka Wan Nadaa ketika itu. Pertemuan saya dengan blog Wan sedikit sebanyak menghilangkan sedikit rasa gusar saya untuk mula bertugas di Islamabad, Pakistan. Saya terus meninggalkan pesanan di chatbox blog beliau. Kami bertukar-tukar no telefon dan saya berjanji akan menghubungi beliau setibanya saya di Islamabad pada Oktober 2009 nanti.

Tanggal 22 Oktober 2009 saya menjejakkan kaki ke bumi ajnabi Islamabad, Pakistan. Saya tinggal di Hotel Crown Plaza Blue Area untuk 3 malam sebelum berpindah ke Hotel Serena atas sebab-sebab keselamatan (serangan bom). Saya masih ingat lagi ketika saya berasa bosan menghabiskan masa hujung minggu pertama di Hotel Serena, Wan telah menghubungi saya untuk makan-makan bersama-sama rakan warga Malaysia yang lain di Islamabad.

Wan, masih segar dalam ingat makan malam pertama saya bersama anda, isteri anda, Wan Nadaa, Syazwan, Erick dan beberapa warga kerja Petronas Carigali di Restoran Cina Muslim Kim Mun di Jinnah Super. Itulah kami pertama saya ke Jinnah Super. Anda menjemput saya dengan Prado anda bersama pemandu anda Niyaz di Hotel Serena. Saya sudah mengagak anda seorang yang peramah dan baik orangnya. kita makan-makan di Restoran Kim Mun dengan meriah sekali, umpama satu keluarga yang telah lama mengenali di antara satu sama lain. Ketika itu musim dingin yang mencengkam di Islamabad, suhu di malam hari boleh mencecah ke -8’c. Anda memperkenalkan saya dengan warga Malaysia di Islamabad pada malam itu. Kita berborak-borak dengan meriah dan anda memberikan kata-kata semangat untuk saya meneruskan kehidupan di bumi Islamabad ini. Terima kasih di atas tips-tips berguna yang telah diberikan.

Melalui pembacaan di blog anda, saya tahu yang anda sekeluarga tiba di Islamabad pada musim panas yang membahang pada sekitar Mei/Jun 2009, awal beberapa bulan daripada saya. Dengan anak anda yang baru dilahirkan dan berusia beberapa bulan anda dan isteri telah mengambil keputusan nekad untuk bekerja di Kedutaan Malaysia di Islamabad. Saya tabik dengan anda Wan. Satu keputusan berani yang bakal merubah hidup anda sekeluarga. Saya juga pasti ianya satu keputusan yang anda sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Pasti ramai yang risau akan keputusan anda kan Wan.

Acapkali juga jika saya ada masalah atau tidak puas hati dengan kehidupan di Pakistan, saya akan mengadu kepada anda. Dan kita akan sama-sama berkongsi suka duka kehidupan di bumi ajnabi Pakistan ini. Perbualan santai kita acapkali diseriakan dengan pengalaman masing-masing berinteraksi dengan warga Pakistan kan Wan. Saya masih ingat lagi saya memberitahu anda yang saya tidak selesa menginal di Hotel Serena yang umpama penjara dengan kawalan keselamatan yang sungguh ketat itu. Anda bersetuju dengan saya dan anda nyatakan yang anda sekeluarga telah mengalaminya kira-kira sebulan di sana.

Saya masih ingat lagi sambutan Hari Raya Haji 2009, ianya adalah sambutan Hari Raya Haji pertama saya di bumi Islamabad. Anda memuji saya kerana saya tidak pulang ke Malaysia ketika itu. Kita sempat berbual-bual akan sambutan Hari Raya Haji yang bakal menjelma di bumi Islamabad. Ketika itu musim luruh nak ke musim dingin. Suasana di hadapan Kedutaan Malaysia di F-7/4 agak berwarna warni dengan pokok-pokok musim luruh meluruhkan daun-daunnya. Saya sempat bergurau dengan anda yang saya sudah tidak larat nak menjamah masakan Pakistan, dan alangkah indahnya jika saya dapat menjamah nasi lemak di pagi Hari Raya Haji nanti. Saya masih ingat lagi selepas solat, melihat menu di atas meja, saya begitu teruja. Masakan tidak, kita bakal menikmati nasi lemak di pagi raya!

Wan, masihkan anda ingat detik dan ketika kita bersama-sama dengan warga Malaysia yang mengerjakan ibadah korban di hadapan Kedutaan Malaysia pada Hari Raya Aidiladha 2009? Ketika kita sedang sibuk hendak mengerjakan ibadah korban, sedang sibuk memotong daging, beberapa kanak-kanak Malaysia menghampiri kita dan bertanya apakah yang kita semua lakukan. Anda menjawab seraya berkata “We’re doing korban ya adik-adik”. Kemudian kanak-kanak tersebut, seraya terlihat darah yang banyak menjawab “Owh blood, it’s so disgusting”. Saya dan anda, bersama rakan-rakan yang ketawa terbahak-bahak akan telatah lucu kanak-kanak pada pagi tersebut. Lawak tersebut seringkali kita ulang-ulang dalam perbicaraan santai kita bersama warga Malaysia yang lain. Sungguh indah kenangan sambutan Hari Raya Haji di Islamabad kan Wan.

Selepas itu anda juga telah mengajak saya untuk bermain salji di Pergunungan Murree. Itulah pertama kali saya merasai bermain salji. Kita berkereta bersama anda sekeluarga, En Erick, En Syazwan, En Lutfi dan keluarga Allahyarham Haji Yaacob. Kita berkumpul di hadapan kedutaan dan kita ke Murree untuk bercuti satu malam. Itulah percutian pertama saya di Pakistan, permulaan kepada edisi jalan-jalan di Pakistan. Anda tentu masih ingat betapa seronoknya kita semua dapat ketemu dengan salji di Rumah Gabenor di Murree. Kita bergambar sampai ke penghujung waktu Asar. Esoknya kita bergambar sekali lagi kerana tidak berpuas hati dengan kualiti gambar hari sebelumnya. Anda bersama isteri dan anak anda Wan Nadaa yang masih kecil sibuk bergambar bersama salji yang memutih di Murree. Kita menginap satu malam di Hotel Elites Natthiagali, Wan Nadaa asyik menangis sewaktu kita tiba di hotel tersebut. Esoknya kita bersarapan bersama-sama di hotel yang sama. Semestinya hidangan pagi diserikan dengan phrata dan omelette dan chai Pakistan panas-panas. Walaupun saya tidak sempat untuk ke Murree bersama Arwah Haji Yaacob, saya tetap bersyukur kerana sempat bersama anda dan warga Malaysia yang lain menikmati salji turun dengan lebatnya di  musim dingin yang lepas.

Masih ingat lagi kenangan di bulan Ramadhan 2010. Kita sama-sama ingin ke Masjid Faisal tatkala melihat masjid Faisal begermalapan dengan lampu-lampu di waktu malam. Masjid Faisal hanya akan terang benderan pada seminggu terakhir bulan Ramadhan. Anda memandu sendiri kereta anda dan saya bersama pemandu saya ke Masjid Faisal. Namun kita kecewa kerana polis telah menghalang niat suci kita untuk ke masjid malam itu. Saya memutuskan untuk pulang ke rumah berterawih di rumah sahaja. Anda pula mengambil keputusan memberhentikan kenderaan di E7 dan berjalan kaki masjid pada malam itu. Keesokkan hari anda bercerita kepada saya akan suasana di Masjid Faisal pada malam sebelumnya. Terus pada malam itu saya bersama pemandu saya ke Masjid Faisal juga.

Sambutan Hari Raya 2010 juga tidak kurang meriahnya Wan. Saya masih ingat lagi kita bersama-sama rakan kita yang lain solat sunat hari raya di Rumah Dato’ Anwar di rumah baru beliau di F-8/2. Anda sekeluarga berpakaian serba kelabu pagi itu. Anda pasti tidak lupa akan kek tak cukup line merah dan putih yang saya tempah di Hotel Marriot Islamabad kan Wan? Kita sama-sama bergambar sakan selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri pagi itu. Hampir sejam juga kita bergambar di rumah Dato’ pagi itu. Selepas itu kita semua menjamu selera dengan enaknya sebelum masing-masing bersama karaoke di rumah Dato’ sampailah ke petang.

Sambutan Aidiladha Rakyat Malaysia | Malaysian Embassy | Islamabad, Pakistan |17 11 2010 Sambutan Aidiladha Rakyat Malaysia | Malaysian Embassy | Islamabad, Pakistan |17 11 2010 Sambutan Aidiladha Rakyat Malaysia | Malaysian Embassy | Islamabad, Pakistan |17 11 2010 Sambutan Aidiladha Rakyat Malaysia | Malaysian Embassy | Islamabad, Pakistan |17 11 2010

Kenangan merayakan Hari Raya Aidiladha pada November 2010 bersama-sama warga Malaysia di Kedutaan Malaysia juga masih segar dalam ingatan saya Wan. Saya masih ingat lagi pada pagi solat sunat hari raya, andalah yang jadi juruacara majlis pagi itu. Selepas solat sunat Aidiladha, kita bersama-sama rakan kita yang lain berkorban seekor lembu di Kedutaan Malaysia. Paling tidak dapat saya lupakan ketika anda dan En Rofi sibuk mengerjakan/membersihkan perut lembu dengan kapur pagi itu. Sampai kecut-kecut tangan kamu membersihkan perut tersebut. Daripada berwarna kekuningan, perut tersebut anda basuh sampai jadi putih. Hasilnya dapat dinikmati oleh kami semua Wan.

Wan, anda jugalah yang memperkenalkan saya kepada aktiviti hiking di Islamabad. Sungguh teruja saya setiap kali anda mengwujudkan event hiking di Facebook. Saya pasti adalah orang yang pertama anda agree/attend event hiking anda. Selepas itu kita akan berbincang pasal makanan yang perlu di bawa. Saya masih ingat kita pernah hiking bersama-sama dalam dua ke tiga hujung minggu berturut-turut, sungguh seronok hiking tatkala musim dingin di Islamabad kan Wan. Saya rasa terdapat dalam tujuh ke lapan kali kita hiking bersama di dalam musim dingin di Islambad.

1st Break Point | Hiking at Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 28 11 2010 Mid-Way Rest Area | Hiking at Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 28 11 2010 Finale Route to the Peak | Hiking at Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 28 11 2010 Finale Route to the Peak | Hiking at Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 28 11 2010 Local Native Girl Selling Biscuits | Hiking at Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 28 11 2010 Pir Sohawa Peak & Rangers Check Point | Hiking at Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 28 11 2010

Bermula dengan Trek No 3 di Bukit Margalla. Masih ingat lagi kita hiking sampai ke pertengahan bukit dan anda menyatakan yang anda hanya pernah sampai ke pertengahan bukit sahaja. Setelah berbincang kita semua setuju untuk meneruskan pendakian sampailah ke puncak bukit Margalla di Pir Sohawa. Kemudian kita sama-sama ke kawasan letak kereta dan menjamu selera dengan beehoon goreng dan karipap yang disediakan oleh En Rofi, Puan Jamaliah sekeluarga. Itulah permulaan aktiviti hiking saya. Saya masih ingat lagi kenangan berjumpa dengan kanak-kanak perempuan penjual biskut di pertengahan jalan semasa hiking di Trek No 3. Anda berbahasa Urdu dengan kanak-kanak tersebut dan saya hanya berjaya merakamkan setengah sahaja daripada perbualan anda. Semuanya kini terabadi di dalam video di Facebook Wan.

Early Route to the Stream | Hiking Trail 5 | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010 Lumut & Asphalt Colour Waterfall | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010 Rock Kapak Cover Album Version | Hiking Trail 5 | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010 Rock of the World Break Point | Hiking Trail 5 | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010 Rock Kapak Cover Album Version | Hiking Trail 5 | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010 The Pir Sohawa Road to Monal Restaurant | Hiking Trail 5 | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010 Carbo Loading & Post Mortem Session with Nasi Lemak Daun Pisang ! | Hiking Trail 5 | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010 Carbo Loading & Post Mortem Session with Nasi Lemak Daun Pisang ! | Hiking Trail 5 | Margalla Hills up to Pir Sohawa | Islamabad, Punjab Province, Pakistan | 05 12 2010

Hiking yang kedua lebih santai rasanya, kita hiking di Trek No 5, trek yang agak sejuk kerana tiada pancaran matahari menyinari di sepanjang perjalanan kita semua. Kadang kala saya terfikir bukanlah aktiviti hiking yang kita nakkan sangat, ia lebih kepada semangat ukhuwwah sesama kita dan yang penting dapat menikmati juadah Malaysia di sepanjang perjalanan dan di akhir pendakian. Masihkah anda ingat kita menikmati cucur goreng bawang di pertengahan jalan, sungguh seperti di syurga kan. Saya masih ingat lagi di penghujung Trek No 5, kita menikmati nasi lemak yang di masak oleh anda sekeluarga Wan. Menikmati nasi lemak di Puncah Pir Sohawa, dengan beralaskan daun pisang ala-ala di Malaysia, sungguh bagai di syurga rasanya. Seronok betul kita semua duduk di atas katil di Restoran di Pir Sohawa menikmati masakan Malaysia setelah penat menghabiskan hiking Trek No 5 di Bukit Margalla.

Hiking yang ketika agak lebih santai. Kali ini kita disertai dengan adik kamu dan ayah kamu yang baru sampai dari Terengganu. Kita begitu cepat mesra sesama kita seumpama satu keluarga besar. Bersama En Shaiful dan pengawal peribadi beliau kita ke Shah Allah Ditta di Islamabad dan mula hiking sampailah ke kawasan Taxila. Kita sempat bergambar bersama unta yang muncul entah daripada mana di tengah-tengah hiking kita. Anda sempat menaiki unta tersebut dan saya ada merakamkan expresi muka anda ketika menaiki unta itu. Kita akhiri pendakian kita di Muzium Taxila. Kali ini lebih meriah kerana disertai dengan lebih ramai warga Malaysia di Islamabad. Kita sama-sama berkelah beralaskan tikar di sebelah Muzium Taxila dan menu utama pada hari itu ialah pulut kuning bersama rendang, sambal ikan bilis dan ikan masin. Meriah kan Wan. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Tidak mungkin kita dapat mengulangi kembali aktiviti sepertinya bersama kamu di masa hadapan.

Wan, masihkah anda ingat kenangan bergaduh sambil terjerit-jerit di Ladang Oren Khanpur berdekatan Taxila selepas penat hiking dan berkelah ? Kita sama-sama makan oren di bawah pokok oren. Umpama pencuri oren lagaknya kan. Kemudian kita sempat mengamuk tatkala pengusaha ladang oren cuba menipu kita dengan bilangan buah oren yang tidak mencukupi. Lawak pula rasanya bila saya mengingatkan peristiwa itu kembali. Dek kerana kes bergaduh perihal oren, terus hilang mood kita untuk ke ladang oren yang lain. Selepas itu kita ke kedai menjual marmar dan perhiasan di Taxila. Untuk pengetahuan anda Wan, itulah kali pertama saya bergaduh di ladang oren, sungguhpun bukanlah kali pertama saya singgah di ladang oren yang sama.

Saya masih ingat lagi akan kelahiran Wan Marwa, anak perempuanmu yang Ke-2 Wan. Sehari sebelum kelahiran anakmu kita hiking ke Bukit Margalla lagi. Wan Warwa lahir dalam musim dingin yang mencengkam. Terus terang saya katakan yang saya agak risau apabila kamu mengambil keputusan untuk menimang cahayamata di bumi Islamabad, namun kamulah yang mengetahui apa yang terbaik untuk keluargamu Wan. Betapa seronoknya saya tatkala majlis cukur jambul yang diadakan di rumah kamu. Itulah pertama kali saya memotong rambut seorang bayi di dunia ini Wan. Terima kasih kerana mewujudkan suasana dan pengalaman terindah sebegitu. Wan Marwa dan Wan Nadaa pasti akan berbangga mempunyai seorang ayah yang sungguh baik hati seperti mu Wan. Jika hayat saya panjang akan saya ceritakan suka duka kehidupan kamu sekeluarga dan kita warga Malaysia di Islamabad apabila kedua-dua anakmu besar kelak Wan.

Kenangan mengadakan Trip ke Murree pada Januari 2011 juga masih lengkap tersemat dalam ingatan saya Wan. Andalah yang organize trip kami kali ini. Saya terus bersetuju apabila anda mempelawa saya untuk turut serta. Kita pergi ke Murree di dalam jumlah kereta yang agak besar, dalam 10 kereta rasanya. Perancangan awal kita adalah untuk ke Murree dan Nathiagali, singgah ke kampung staf anda Amjad sebelum hiking di dalam salji di sana. Namun kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Jalan yang licin dek kerana salji membeku menyebabkan kumpulan kita terpecah kepada tiga. Kita sama-sama bermain salji sebelum makan tengah hari di tepi jalan di Murree. Wan Marwa yang masih kurang 2 bulan melihat dunia juga ada bersama-sama di dalam Prado anda ketika itu. Sungguh comel kan Wan Nadaa dan Ajib berpakaian musim sejuk dan bermain salji ketika itu Wan. Jika trip ke Murree tahun lepas (2010), kita gagal ketemu dengan salji memutih yang turun dari langit, kali ini kita bernasib baik kerana diketemukan oleh Allah dengan pengalaman turunnya salji kira-kira 1-2 jam selepas makan tengah hari. Nikmatnya ketika itu hanya Tuhan yang tahu kan Wan.

Hiking yang terakhir adalah melalui Trek yang bermula di Masjid Faisal. Trek yang agak mencabar dan kita sama-sama bersetuju yang kali ini treknya agak jauh dan berpusing-pusing. Kita selalu merungut bilalah masa dan ketika untuk sampai ke puncak Pir Sohawa kan Wan. Trek kali ini lebih banyak pokok kurma. Saya ada kesemua gambar-gambar kenangan kita hiking bersama-sama yang telah saya upload di Facebook, setelah saya tag anda, anda pasti akan meninggalkan komen di dalam gambar-gambar tersebut. Anda akan lebih teruja setiap kali saya upload video-video hiking di dalam Facebook.

Wan, saya masih ingat lagi ketika kita bertemu buat kali terakhir di majlis perkahwinan saya dan isteri di Jasin tempoh hari. Anda dan keluarga datang dari jauh, sejauh Islamabad. Saya sungguh teruja bertemua anda, Nur isteri anda, Wan Nadaa yang kemerahan pipinya dek kerana panas mentari Jasin dan Wan Marwa dengan keletahnya. Gembira betul saya kerana anda sempat juga sampai ke majlis perkahwinan saya Wan. Saya masih ingat lagi beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan di Jasin, anda telah menghubungi saya melalui Facebook Message menyatakan hasrat anda untuk datang ke majlis di Jasin. Anda sanggup mengawalkan penerbangan anda dan menaiki Pesawat MAS melalui Karachi yang bertolak pada Khamis malam. Sampai di KL pada Jumaat dan seterusnya ke Jasin untuk meraikan saya dan isteri. Terima kasih Wan. Saya tidak menyangka pertemuan kita di Jasin Melaka tempohari adalah pertemuan yang terakhir. Allah lebih menyayangi mu Wan.

Saya sempat berjanji dengan anda yang saya akan membuat satu majlis di Islamabad ala-ala perkahwinan di taman di Hotel Serena pada 12 March 2011 nanti. Saya pasti anda masih ingat akan perbualan ringkas kita di pejabat anda sebelum saya pulang ke Malaysia untuk bernikah tempoh hari kan? Saya menghulurkan kad undangan perkahwinan kepada anda dan kita sempat berbincang sedikit akan persiapan majlis perkahwinan saya di Islamabad nanti. Anda berjanji akan menjadi juruacara majlis nanti kan Wan. Sewaktu di Jasin, anda mengulangi komitmen anda untuk menjadi juruacara majlis pada hari tersebut. Sungguh gembira saya dan isteri ketika itu. Saya tidak sangka anda akan datang sejauh dari Islamabad dan ke Jasin.

Terima kasih Wan dan Nur kerana sudi datang ke majlis perkahwinan kami, di tengah terik mentari dan di tengah kesibukan jadual kalian di Malaysia. Selalu juga saya berbicara tengtang kamu dan keluarga kamu bersama isteri saya. Isteri saya juga menyenangi kamu sekeluarga, walaupun baru pertama kali dia bertemu kamu sekeluarga di Jasin hari itu. Acapkali saya nyatakan kepada isteri saya yang saya nakkan kamu jadi juruacara majlis perkahwinan saya di Islamabad nanti. Saya tidak menyangka kini semuanya hanya tinggal kenangan. Anda telah pergi mengadap Ilahi lebih awal daripada kami semua. Kami redha Wan. Sesungguhnya perancangan Yang Maha Esa tiada tolok bandingnya.

– – – – – – – – – –

Wan, banyak lagi kenangan bersama dengan anda sekeluarga di Pakistan, mahupun di Malaysia. Terlalu banyak dan terlalu indah untuk diungkapkan dengan kata-kata atau catatan blog seperti ini.

Ingatlah kami semua warga Malaysia di Islamabad dan Pakistan memang mendoakan semoga rohmu Wan dicucuri yang Maha Esa dan dirahmatiNya.

Kamu sungguh baik hati dengan saya Wan. Tidak sekelumit pun kehidupan mu sekeluarga yang tidak menyenangkan saya. Saya sudah mengaggap kamu sekeluarga umpama keluarga saya sahaja. Saya sungguh teruja melihat ibu mertuamu singgah ke majlis perkahwinan saya di Shah Alam tempoh hari. Saya juga mengenali ibu dan bapamu yang datang ke Islamabad bagi menyambut cucu mereka Wan Marwa pada musim dingin tahun lepas.

Bersemadilah dengan aman Wan. Allah lebih menyayangimu, kami hanya mampu sedekahkan Al-Fatihah buatmu.

Semoga isterimu Nur, Wan Nadaa dan Wan Marwa sekeluarga tabah menghadapi dugaan yang tidak terhingga hebatnya ini. Kami warga Malaysia di Islamabad akan cuba membantu keluargamu Wan. Janganlah kamu risau di sana ya.

KNizam
3 Mac 2011, Islamabad Pakistan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

56 responses to “Belasungkawa Allahyarham Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd (1982-2011) & Salam Takziah buat Isteri & Keluarga Arwah – Catatan Kenangan Saya Bersama Allahyarham Wan di Islamabad

  1. Pingback: Perginya blogger Nafastari…Al-Fatihah « SYAHRIL A. KADIR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.