AS tiru Malaysia tangani krisis kewangan ?

AS tiru Malaysia tangani krisis kewangan

Oleh KAMARULZAIDI KAMIS

KEMELUT ekonomi di Amerika Syarikat (AS), berikutan krisis subprima, ditambah dengan kemerosotan nilai dolar AS, telah memaksa negara kuasa besar itu menurunkan kadar faedah, meniru langkah yang pernah diambil oleh Malaysia ketika menghadapi krisis ekonomi yang disebabkan oleh serangan mata wang pada 1997-1998.

Pada Rabu lalu, AS menurunkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada 4.5 peratus berbanding 4.75 peratus sebelumnya.

Ini merupakan kali kedua AS menurunkan kadar faedahnya sejak Jun lalu, bagi membendung krisis subprima, di samping untuk merangsang semula ekonominya.

Pada tahun ini sahaja, kadar faedah AS telah diturunkan sebanyak 75 mata asas daripada paras 5.25 peratus sebelumnya.

Ironinya, negara ‘Polis Dunia’ itu pernah mengecam Malaysia kerana melaksanakan langkah menurunkan kadar faedahnya bagi membendung krisis ekonomi akibat serangan mata wang pada 1997-1998, tetapi akhirnya terpaksa mencontohi Malaysia kerana akur bahawa langkah yang pernah diambil oleh Malaysia dahulu itu didapati sangat berkesan.

Pada waktu itu, pentadbiran AS di bawah Bill Clinton cenderung mempengaruhi negara-negara Asia termasuk Malaysia yang menghadapi krisis ekonomi akibat serangan penyangak mata wang supaya mengambil pendekatan yang digariskan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pada tahun 1998, IMF yang didalangi oleh AS turut mengesa Malaysia supaya menurunkan nilai mata wang dan menaikkan kadar faedah untuk menangani krisis kewangan ketika itu.

Pada ketika itu, banyak syarikat Malaysia menanggung kerugian dan bank-bank tempatan dibebani hutang tidak berbayar (NPL).

Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang menolak bantuan IMF dan berjaya menangani kejatuhan mendadak pasaran saham dan nilai mata wangnya sebanyak 90 peratus dan 45 peratus, manakala negara-negara Asia yang lain termasuk Korea Selatan, Indonesia dan Thailand menerima bantuan pinjaman daripada IMF lebih AS$100 bilion untuk membangunkan semula ekonomi mereka.

Selain itu, krisis tersebut juga telah menyebabkan harga import melambung naik dan eksport merudum akibat kejatuhan ringgit daripada paras RM2.80 berbanding dolar AS kepada lebih RM4.30 berbanding dolar AS pada waktu itu.

Malaysia berjaya menangani krisis itu dengan cara tersendiri termasuk melaksanakan dasar tambatan ringgit bagi membendung kejatuhan nilai mata wang tempatan.

Malaysia juga mengambil risiko menurunkan kadar faedah kepada tujuh peratus dan ternyata pendekatan itu berjaya merancakkan semula ekonominya.

Operasi syarikat perbankan tempatan secara tiba-tiba rancak kembali dan pasaran saham mulai pulih.

Malaysia juga melaksanakan langkah menyelamat syarikat-syarikat strategik negara yang tenat dan menanggung NPL yang besar akibat krisis tersebut, dengan menubuhkan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd., langkah yang dikecam hebat oleh banyak pihak.

Langkah berani Malaysia itu akhirnya berjaya menyelamatkan ekonomi negara dan mendapat pujian daripada banyak negara termasuk daripada IMF sendiri kemudiannya.

Kini, AS melaksanakan langkah serupa yang diambil oleh Malaysia, selain menurunkan kadar faedah, AS juga melaksanakan pendekatan menyelamat syarikat-syarikat tempatan yang tenat terutama syarikat kewangannya, termasuk Citigroup, bank ketiga terbesar di AS yang kini menanggung kerugian antara AS$8 dan AS$11 bilion akibat krisis subprima.

Pada minggu lalu, akhbar Wall Street Journal melaporkan bahawa Perbendaharaan AS telah mengumumkan satu skim untuk menyelamatkan bank-bank AS daripada kerugian teruk dalam sekuriti disokong gadai janji (mortgage-back securities atau MBS) subprima.

Skim ‘Master-Liquidity Enhancement Conduit (M-LEC)’ itu bakal diterajui oleh tiga gergasi perbankannya iaitu Bank of America Corp., J. P. Morgan Chase dan Citigroup yang merancang untuk menubuhkan dana kecemasan sehingga AS$100 bilion bagi membeli aset-aset tidak berbayar hutang jangka pendek.

Bank-bank AS kini memegang ratusan bilion dolar MBS yang sudah tidak laku dijual dan skim tersebut akan memberi peluang kepada bank-bank itu melambakkan kertas-kertas kewangan yang hampir tidak bernilai.

Teguran AS terhadap ketelusan syarikat-syarikat Asia termasuk Malaysia kini turut berlaku di negara itu berdasarkan skandal Enron lalu, bank-bank AS bukan sahaja tamak, malah tidak telus dalam menyediakan maklumat berhubung kesan krisis subprima.

Kini AS yang cuba mendominasi ekonomi dunia dikecam kerana keadaan ekonominya yang tenat sekarang telah menyebabkan negara-negara yang berdagang dengannya turut terjejas, selain menyebabkan keadaan tidak menentu di pasaran komoditi, mata wang dan ekuiti global.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 responses to “AS tiru Malaysia tangani krisis kewangan ?

  1. hmm.. ni case perasan ke?

    i was still a boy who loves doing rounds in 97-98. so i dont know much about this.

    nizam, olahkn sikit. asik paste je.. haha

    Reply

  2. edwin : no time lor. hahahahaah 🙂

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge