Ape Ke He Nyer Kecoh Giler Kat Perak Sekarang Ni Yeop ?

macam2 la berlaku sekarang neh kan

kecoh giler la plak kat perak neh

hampeh !

tengah2 ekonomi yang semakin merudum.

boleh plak diaorang neh bersandiwara pasal politik

wei !

tak habes2 lagi ke pilihanraya dulu tuh ?

aku dah muak !

sumber di sini yop !

IPOH 1 Feb. – Kecoh, kelam-kabut dan ‘genting.’ Itulah senario paling tepat untuk menggambarkan keadaan kerajaan negeri Perak hari ini.

Kerajaan negeri pakatan pembangkang yang hanya mempunyai kelebihan lima kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini terumbang-ambing tidak ubah seperti telur di hujung tanduk.

Kekecohan adalah berikutan status dua wakil rakyat, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) dari kerajaan pakatan pembangkang itu – yang ‘hilang’ sejak 26 Januari lalu – sehingga tengah malam ini masih menjadi pertikaian.

Ia berpunca daripada pengumuman rasmi Speaker Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar bahawa kedua-dua mereka telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ADUN Changkat Jering dan Behrang pada pukul 5.45 petang.

Tidak sampai tiga jam selepas itu Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya berbuat demikian.

“Ia surat lama, tanpa tarikh yang saya dan enam ADUN PKR yang lain tanda tangan pada Mac tahun lalu (selepas menang dalam pilihan raya umum) Saya masih wakil rakyat Behrang.”

Jelas beliau, surat itu mengandungi aku janji kesetiaan yang menyatakan bahawa jika mereka keluar dari PKR, mereka dengan sendirinya meletakkan jawatan sebagai ADUN.

Mohd. Osman pula menegaskan, surat peletakan jawatan itu tidak sah kerana ditandatangani secara paksa dan dibuat pada Mac tahun lalu.

Kedua-duanya bertegas akan mencabar kesahihan surat peletakan jawatan yang dinyatakan oleh Sivakumar itu.

Pada masa sama, khabar angin bertiup kencang mengatakan Timbalan Speaker, Hee Yit Fong yang juga ADUN Jelapang akan menyertai MCA.

Rentetan daripada perkembangan ini difahamkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali akan menghadap Sultan Perak esok dipercayai berhubung ‘pembentukan kerajaan negeri baru.’

Pada masa yang sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga dikatakan akan ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar esok bagi ‘mempertahankan kerajaan pimpinannya.’

Jika peletakan jawatan Mohd. Osman dan Jamaluddin itu sah, ia menyaksikan kerajaan negeri tinggal 30 kerusi DUN iaitu DAP (18), Parti Keadilan Rakyat (PKR)(6) dan Pas (6) manakala BN pula kekal 27 kerusi DUN.

Tetapi jika peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering dan ADUN Behrang itu tidak sah, sebaliknya mereka menyertai BN seperti dihebohkan, pakatan pembangkang kekal 30 tetapi BN bertambah kepada 29 kerusi.

Sekiranya Yit Fong sah menyertai MCA, maka BN akan mengambil alih kerajaan negeri dengan kelebihan satu kerusi iaitu 30-29.

Dalam kenyataan akhbarnya pada kira-kira pukul 6.15 petang ini, Sivakumar memberitahu, Mohd. Osman dan Jamaluddin yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing kepadanya di rumah beliau pada pukul 5.45 petang.

“Surat peletakan jawatan kedua-dua ADUN itu telah diterima berasaskan Artikel 35 (XXXV) Undang-undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan. Saya sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Perak akan mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi DUN N14 Changkat Jering dan N59 Behrang.

“Saya akan menghubungi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya esok (Isnin) untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari seperti mana termaktub dalam Artikel 35 (5) Undang-undang Tubuh Negeri Perak,” kata Sivakumar.

Bagaimanapun, kira-kira tiga jam kemudian, Jamaluddin pula tampil memberi kenyataan kepada media dengan menafikan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai ADUN mahupun Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Berikutan kekecohan mengenai surat peletakan jawatan itu, Mohd. Osman dan Jamaluddin akan membuat laporan polis dan juga sidang akhbar khas mengenainya esok.

Mohd. Osman, 57, yang merupakan ADUN Changkat Jering adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri.

Jamaluddin, 52, yang juga ADUN Behrang pula merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan negeri.

Rentetan kekecohan dalam kerajaan pakatan pembangkang di Perak hari ini bermula apabila Mohammad Nizar memanggil mesyuarat tergempar dengan semua Ahli Exco Kerajaan Negeri, ADUN dan pemimpin tertinggi PKR dan Pas, pagi ini.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan kedudukan kerajaan pakatan pembangkang yang sedang goyah terutama ekoran ‘kehilangan’ Mohd. Osman dan Jamaluddin sejak enam hari lalu.

Turut menyertai mesyuarat itu ialah ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini mengumumkan keluar UMNO untuk menyertai PKR.

Dalam sidang akhbarnya selepas itu, Mohammad Nizar menggesa kedua-dua wakil rakyat tersebut supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri pakatan pembangkang itu.

Beliau yang gagal menghubungi kedua-dua wakil rakyat itu sejak Isnin lalu berkata, kerajaan negeri bersedia membuat persiapan dan strategi mengikut peraturan yang ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pergolakan dalam kerajaan pembangkang itu semakin hangat diperkatakan apabila di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi ini turut mengulas mengenai kemungkinan dua wakil PKR Perak akan menyertai UMNO dan BN.

“Insya-Allah betul kot. Lima ka, 10 ka, 12 ka. Mereka nak masuk sebab mereka yakin UMNO sebuah parti yang membawa perjuangan yang mereka suka. Jadi, kita terimalah dengan baik,” jelas Perdana Menteri.

Di Bukit Mertajam pula, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkejut dengan apa yang berlaku di Perak dan Anwar mengakui masih belum dapat menghubungi Mohd. Osman dan Jamaluddin yang ‘hilang’ sejak enam hari lalu.

Perkembangan kedudukan kerajaan pakatan pembangkang Perak menjadi lebih hangat apabila Sivakumar mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa beliau menerima surat peletakan jawatan kedua-dua wakil rakyat itu.

Kenyataan akhbar itu dihantar kepada media menerusi faks oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Negeri Perak petang ini dan disiarkan oleh dalam berita stesen-stesen televisyen dan portal-portal berita malam ini.

Namun, perkembangan itu menjadi lebih kecoh dan rumit apabila Jamaluddin yang dihubungi pihak media menafikan telah meletakkan jawatan sebagai ADUN Behrang.

Sehingga tengah malam ini, status kedua-dua wakil rakyat itu masih belum sahih.

Mohd. Osman dan Jamaluddin menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Februari ini.

Pada pilihan raya umum lalu, Mohd. Osman yang mendapat 9,411 undi menang dengan majoriti 1,102 undi menewaskan calon BN, Mat Isa Ismail.

Jamaluddin pula menewaskan M. Ramasamy (BN) dengan undi 6,771 berbanding 5,744.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

16 responses to “Ape Ke He Nyer Kecoh Giler Kat Perak Sekarang Ni Yeop ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.