[8 Photos] Tahanan Dalam Rumah Pada 14-15 Januari 2013 | #DrQadriDharna #LongMarch2013 #TUQ | Spring 2013 | Jinnah Avenue, Blue Area | Islamabad, Pakistan

Tahun baru di Islamabad disambut dengan Perarakan Mega oleh Dr. Tahirul Qadri dari Persatuan  Tehreek-e-Minhajul Quran #TUQ. #LongMarch yang dianjurkan disusuli pula dengan #QadriDharna. #Dharna adalah sit-in atau duduk dengan tempoh yang lama di atas jalanraya, di padang hatta di mana-mana sekalipun. #Dharna biasanya disusuli dengan suatu usul atau tuntutan, di dalam kes #QadriDharna ini, Dr. Qadri menuntut supaya kerajaan dijatuhkan dan pilihanraya yang adil dan telus dilaksanakan secepat mungkin di Pakistan.

[ 1 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Televisyen Pakistan | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 14-15 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

#LongMarch bermula dari Lahore menuju ke Islamabad melalui jalanraya terpopular yakni Grand Trunk (GT) Road. GT Road ini adalah jalanraya yang menghubungkan India ke Afghanistan melalui Pakistan. Biasanya saya akan melalui Motorway (lebih kurang macam PLUS Highway di Malaysia), GT Road agak bahaya kerana terdapatnya banyak truck dan kenderaan keluar masuk. Strategi untuk #LongMarch melalui GT Road adalah agak bagus kerana dapat mengumpulkan ummat manusia dengan lebih ramai lagi. Dr. Qadri nampaknya perlukan momentum dan jumlah yang besar sebelum beliau memasuki Islamabad pada Isnin (14 Januari 2013) nanti.

Dr. Qadri berazam untuk mengumpul paling kurang sejuta ke empat juta ummat manusia untuk menyertai #LongMarch kali ini. Setelah menyaksikan perarakan tersebut yang telah mula berkumpul di Jinnah Avenue (berdekatan dengan pejabat saya), saya menganggarkan tidak kurang daripada 50 ribu orang sebenarnya yang berkumpul. Walaupun jumlahnya agak jauh tersasar daripada angka 1 juta ummat, namun ianya sudah cukup ramai untuk mencetuskan huru-hara di Islamabad.

[ 2 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Televisyen Pakistan | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 14-15 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Apakah kesannya #LongMarch kepada warga asing (kami) di Islamabad ?

Kesannya adalah kesemua jalan-jalan menuju ke #ConstitutionAvenue, #JinnahAvenue dan #BlueArea akan ditutup. Jalan-jalan akan dihalang dengan blok-blok batu besar. Kontena 40 kaki juga akan diletakkan di jalanraya untuk menghalang peserta #LongMarch daripada berhimpun dan berarak ke #Parlimen Islamabad. Banyak kedai-kedai akan ditutup dan bank-bank tidak beroperasi. Akitiviti ekonomi dijangka akan lumpuh buat seketika di Islamabad.

Dan kebiasaannya, sewaktu perhimpunan besar sebegini, pihak kerajaan akan menamatkan perkhidmatan telefon bimbit untuk sementara waktu, strategi keselamatan katanya. Agak sukar untuk keluar rumah dan bergerak bebas ke mana-mana tanpa talian telefon bimbit masakini. Namun kadang-kadang kami keluar juga, walaupun untuk tempoh masa yang sebentar. Kami perlu membeli keperluan harian untuk keberlangsungan hidup di sini. Saya perhatikan, kadang-kadang walaupun talian suara (voice) tiada, namun ada data melalui perkhidmatan Broadband on the Go saya. Terima kasih kepada WiTribe dan PTCL untuk Broadband on th Go ini. Dapatlah saya berwhatapps di dalam kereta dan online sentiasa semasa memandu.

[ 3 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Televisyen Pakistan | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 14-15 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Pada pagi Isnin 14 January 2012 rombongan cik kiah Dr Qadri telah berarak dan tiba di Islamabad. Untuk makluman Islamabad adalah ibu negeri Pakistan ya. Ketibaan beliau dengan begitu ramai ummat manusia disambut dengan meriah. Suasana di Jinnah Avenue seperti ada pesta. Nyanyian dan bunyi-bunyi lagu dimainkan untuk mendapatkan momentum dan mengajak orang ramai berkumpul. Malah saya dengar ada jamuan makan-makan beriyani sekali. Sungguh berpesta mereka kali ini.

Saya masih berada di rumah, tidak dapat pergi bekerja kerana kerajaan telah mengumumkan cuti umum untuk pejabat-pejabat di Islamabad. Aktiviti ekonomi pasti akan terhenti pada hari ini. Tiada apa yang dapat saya lakukan di rumah. Mujur talian internet masih ada. Boleh juga saya mengemaskini #FaceBook #Instagram #InstagramWeatherPRO #InstagramPlacePRO #Twitter #Pinterest #Google+ #BlogIni #Reader #FriendsterBaru dan sebagainya.

[ 4 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Televisyen Pakistan | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 14-15 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Sangkaan saya #LongMarch akan berakhir pada 14 Januari. Namun sangkaan itu meleset sebenarnya. #DrQadri telah mengumumkan yang beliau dan pengikutnya akan terus berada di #JinnahAvenue sehinggalah segala permintaan mereka ditunaikan oleh kerajaan. Natijah daripada pengumuman ini, pejabat saya terpaksa ditutup sekali lagi pada 15 Januari (Selasa). Duduk di rumah tanpa boleh ke mana-mana selama 4 hari adalah sungguh membosankan. Terasa seperti ingin singgah ke #JinnahAvenue dan merakamkan gambar-gambar di sekitarnya. Namun hati kecil penulis membisikkan akan bahaya yang bakal dihadapi sekiranya #LongMarch bertukar ganas nanti. Pemandu saya juga tidak berani membawa saya ke Jinnah Avenue kali ini.

Pada pagi 15 Januari, sedang saya mandi pagi di musim sejuk ini, terdengar beberapa bunyi tembakan di Saudi Pak Tower, di belakang rumah saya sahaja. Tembakan berterusan selama 5 minit. Penulis bergegas untuk turun ke bawah untuk menonton TV. Kesemua 17 channel TV urdu penulis layari. Hampir kesemuanya menyiarkan apa yang berlaku di Islamabad ketika itu. Polis telah mula melakukan aerial firing kepada peserta #LongMarch. Polis dan peserta berada betul-betul berdekatan #BlueArea di #JinnahAvenue dekat dengan #IttehadSteelClock. Padanlah saya dapat mendengar dengan jelas bunyi tembakan tersebut, ianya betul-betul di kawasan belakang rumah saya. Sekali lagi saya terpaksa duduk diam-diam di dalam rumah di Jinnah Super F-7. Tidak boleh keluar. Bimbang akan terkena peluru sesat nanti.

Sepanjang hari mata saya terpaku di kaca TV dan screen laptop  ultrabook HP Envy 4 yang nipis dan baru dibeli. Dilengkapi dengan SSD terkini dan diperkasa dengan Windows 8 64 bit yang terbaru. Sungguh nipis umpama bawang. Jauh beza dengan laptop HP DV3 yang lama. Start up semasa Log-in sungguh pantas. Berpinar-pinar mata biru saya menyaksikan kelajuannya. Sekelip mata! Jangan jeles ya saudara saudari 🙂

Nampaknya #LongMarch kali ini akan berterusan untuk beberapa hari. Mungkin berminggu-minggu. #DrQadri bernekad untuk memenuhi segenap ruang di #JinnahAvenue. Beliau berazam untuk menjadikan #JinnahAvenue seperti #TahrirSquare. Beliau mahukan revolusi dilakukan. Pengikutnya akan bertambah ramai. Khemah dan makanan disediakan untuk peserta. #DrQadri dilihat memberikan ucapan berapi-rapi melalui kontena kalis peluru dan bom berwarna putih di tengah-tengah #JinnahAvenue berhampiran dengan #ConstitutionAvenue.

[ 5 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Islamabad | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 16 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Beginilah suasana di #JinnahAvenue pada pagi ini 16 Januari (Rabu). Saya bertekad untuk ke pejabat walau apa yang terjadi sekalipun. Cukuplah berada di rumah selama 4 hari dan menjadi tahanan di dalam rumah sendiri. Saya perlu menghirup udara luar dan berkelana ke pejabat pagi ini. Didapati peserta perhimpunan #LongMarch masih ada berhampiran #ConstitutionAvenue. Namun mereka masih mamai dan tidur agaknya. Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Ada di antara peserta dilihat berjalan-jalan menuju ke kawasan utama perhimpunan. Mereka mungkin menunggu disediakan chai agaknya.

[ 6 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Islamabad | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 16 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Berpusing-pusing pemandu saya untuk membawa saya ke pajabat pada pagi ini. Hampir kesemua jalan-jalan menuju ke pejabat diletakkan batu penghalang yang berat (kalau ringan buka penghalang namanya ya). Pusing di sini, ada batu. Pusing di sana ada batu. Sampai di pejabat saya pun ada batu dan kawad berduri. Betul-betul dihalang kawasan #BlueArea pada kali ini. Halangan yang diletakkan lebih banyak dan hebat daripada semasa halangan #PerhimpunanYouTube dahulu.

[ 7 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Islamabad | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 16 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Kontena-kontena sepanjang 40 kaki diletakkan di #JinnahAvenue berhampiran dengan #SaudiPakTower, sungguh dekat dengan kediaman saya di F7 sebenarnya. Berlambak-lambak kontena di Islambad pada pagi ini. Namun didapati kontena-kontena ini kosong dan tidak berisi sebenarnya. Justeru mudahlah pada peserta #LongMarch untuk mengalihkannnya semasa mereka berarak ke #ConstitutionAvenue nanti.

[ 8 ] Perarakan oleh Dr Tahirul Qadri Di Islamabad | Winter 2013 | Jinnah Avenue | Islamabad, Pakistan | 16 01 2013 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Hidup perlu diteruskan jua di bumi ajnabi Islamabad ini.

Saya masih perlu bekerja. Perlu ke ATM Bank mengeluarkan duit belanja. Perlu ke pasar untuk membeli ikan kegemaran nak masak siakap stim limau pada malam ini. Cukuplah saya terpaksa duduk diam-diam di rumah selama 4 hari. Sungguh tersiksa rasanya. Hidup terkurung di dalam rumah sendiri adalah lebih teruk sebenarnya ya. Otak jadi beku. Fikiran jadi buntu. Sejuk pula tu!

Adakah perhimpunan #LongMarch akan berlangsung berhari-hari ?

Adakah akan berlaku #Revolusi di Pakistan ?

Hanya masa dan ketika akan menentukannya.

Dan saya di sini telah merakamkan sejarah melalui penceritaan dan gambar-gambar di atas 🙂

Loading

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.