[2 Photos] Hujan Petang Ini Adalah Petanda Berakhirnya Musim Panas, Selamat Datang Kepada Musim Luruh dan Musim Dingin di Islamabad, Pakistan | Majlis Merisik/Meminang pada Musim Panas, Majlis Pertunangan pada Musim Luruh & Majlis Pernikahan/Persandingan Pada Musim Bunga | Marvi Rd, Near Jinnah Supermarket F-7 | Islamabad, Pakistan

Pagi ini terasa dingin sekali. Saya dapat rasakan seperti akan ada sesuatu yang berlaku di Islamabad. Namun saya tak tahu apa ertinya gerak hati ini. Sudah banyak kali saya berbicara akan gerak hati. Ya anda perlu mengikut gerak hati untuk terus hidup di Islamabad. Gerak hati dan tawakkal disulam dengan doa adalah kunci kehidupan di sini.

[ 1 ] Dedaunan Musim Luruh Yang Telah Bertukar Warna | Autumn In My Heart | Autumn Season | Marvi Rd | Islamabad, Pakistan | 29 11 2009 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Pagi ini banyak kerja yang perlu saya lakukan. Seperti kebiasaannya jika aku ingin pulang ke Malaysia, pastinya akan banyak kerja yang perlu dibereskan di pejabat. Entah kenapa ianya seperti begitu sinonim sekali. Bukan sekali. Namun telah banyak kali ya. Saya rasa telah lima atau enam kali saya pulang ke Malaysia. Dan setiap kali itulah kerja akan menimbun, ianya akan lebih banyak pada saat-saat terakhir tikanya saya akan pulang ke Malaysia.

[ 2 ] Reflection of the Hotel Building | Winter 2010 | Pearl Continental Hotel | Bhurban | Khyber Pakhtoonkhwa Province, Pakistan | 21 02 2010 (PHOTO BY KNIZAM OMAR / KNIZAM.COM)

Catatan kehidupan ini dicoretkan di dalam pesawat Thai Airways dalam perjalanan dari Islamabad ke Bangkok. Tak pernah rasanya saya membuka laptop dan menaip secara langsung di dalam mana-mana kapalterbang sebelum ini. Entah kenapa mata ini begitu sukar sekali untuk dilelapkan selepas menikmati hidangan makan malam di dalam ruang kabin bisnes penerbangan Thai Airways ini. Acapkali saya lihat pramugari cuba untuk menghiburkan saya. Ditanyanya kepada saya adakah saya memerlukan sesuatu. Dihulurkan juga minuman Coca Cola dan pesanan makanan. Namun saya menolak kesemuanya. Saya hanya ingin menikmati makan malam dan seterusnya berehat sahaja. Kebiasaannya saya akan tidur dengan nyenyak di dalam kabin, namun malam ini tidak seperti malam-malam kebiasaannya. Saya rasa seperti perlu mencoretkan sesuatu di dalam blog kali ini.

Ketika catatan ini dibuat, lagu kumpulan rock kapak Wheels bertajuk Dalam Kenangan berkumandang di laptop saya. Lagu sedih yang bersesuaian dengan suasana di dalam kabin bisnes ini. Semua orang sudah terlelap. Saya sahaja yang tak boleh melelapkan mata. Sudah puas juga saya memainkan berulangkali album Ella USA tadi. Kesemuanya lagu-lagunya mengingatkan saya kepada kenangan sewaktu di Kuala Kangsar. Saya tercari-cari juga lagu yang boleh dikaitkan dengan Pakistan. Namun hampa kerana tiada berjumpa.

Maaf jika coretan pada kali ini agak panjang berjela. Bukan selalu saya berbicara sebegini. Ini adalah catatan untuk sebuah kisah klasik masa depan. Mana tahu saya akan senyum sendirian tatkala membaca semua coretan pengalaman di dalam kabin penerbangan Thai Airways ini. Tu dia, saya baru ingin berbicara berkenaan apa yang berlaku pada hari ini ya. Hari ini tanggal (agak janggal menggunakan perkataan lama ini) 17 September 2010 saya dijangka akan pulang ke Malaysia untuk mesyuarat penting dan melangsungkan majlis pertunangan ahad 26 September 2010 nanti. Namun coretan ini bukanlah berkisahkan kepada persiapan majlis pertunangan tersebut. Nanti saya coretkan pengalaman pahit dan manis majlis pertunangan ya. Coretan pada kali ini adalah untuk mengungkap apa yang berlaku dalam masa 24 jam sebelum ini.

Petang tadi seperti biasa saya akan ke Masjid Al-Faisal, masjid terbesar di Islamabad untuk menunaikan solat jumaat. Solat ditunaikan seperti biasa. Saya rasa saya terlewat sedikit hari ini. Jam sudah menunjukkan pukul 1 tengah hari dan saya baru nak terhegeh-hegeh berwuduk sebelum bersama pemandu saya, Shaheen Akhtar menuju ke Masjid Faisal. Selesai solat Jumaat saya terfikir untuk membeli shawl. Pashmina dan cashmere shawl (atau selendang) amat cantik di sini. Rata-ratanya kesemuanya shawls di sini adalah dibuat dengan tangan (hand made) dan memang teliti buatannya. Jika tidak takkan harganya agak mahal di Malaysia. Shalws di sini dihasilkan oleh surirumah di daerah Kashmir sana. Saya ingin membeli shawls untuk dijadikan hantaran nanti. Pasti akan lebih manis susunan hantaran sekiranya ada sesuatu yang boleh dikaitkan dengan bumi Pakistan bukan? Saya senyum sendiri sewaktu memilih shawls di Kedai handicraft Maharaja, Super Market F6. Shawls warna merah jambu bersulam dan berhias dipilih. Selesai memilih shawls saya menyuruh pemanduku untuk segera ke pejabat semula. Masih banyak kerja-kerja yang perlu dilakukan di pejabat.

Kebiasaanya saya akan duduk di pejabat melangsaikan perkara-perkara penting sehinggalah jam 7 malam. Jam 8 malam saya perlu bergegas ke lapangan terbang. Pemeriksaan kastam di lapangan terbang Islamabad agak tegas dan mengambil masa yang lama untuk daftar masuk di sana. Siapa-siapa yang ingin daftar masuk di lapangan terbang Islamabad dinasihatkan untuk daftar masuk sekurang-kurangnya tiga jam awal. Pemeriksaan agak ketat di sini, mereka umpama sudah fobia dengan pelbagai insiden letupan di sini. Saya tidak menyalahkan mereka, mungkin masa dan peristiwa yang mengubah segalanya. Nasihat saya janganlah anda beria-ria untuk mengemas beg baju anda. Tidak perlu dan tidak berbaloi kerana pihak kastam akan memunggah kembali kesemuanya. Ini akan berlaku betul-betul di depan mata anda! Saya juga pernah mengalami situasi sukar di lapangan terbang Islamabad. Nantilah saya coretkan di dalam catatan yang lain ya. Berbalik kepada cerita saya di pejabat tadi, saya ada di pejabat sehinggalah jam 7 malam.

Tugas saya yang melibatkan kewangan memungkinkan anak buah saya memerlukan tandatangan saya di dalam hampir kesemua dokumen kewangan. Tambahan pula penutupan akaun tahunan dan bulanan Ogos 2010 rancak berjalan ketika ini. Banyak perkara perlu dibereskan. Saya sepatutnya pulang ke Malaysia pada hari Rabu, namun kerana ada mesyuarat penting pada hari Isnin dan Selasa, saya perlu hadir lebih awal ke bumi Malaysia nampaknya. Justeru saya memilih untuk bertolak ke Malaysia pada 17 September 2010. Bagus juga kerana aku akan ada masa seminggu untuk membuat persiapan majlis pertunangan kelak.

Sedang saya leka menghabiskan kerja yang bertimbun dan asyik mengadap skrin laptop, kedengaran angin begitu kuat di luar pejabat. Oh sudah! Takkan nak hujan lebat dan ribut di luar sana. Saya membuka bidai dan membiarkan sahaja pandangan saya menerobos ke luar tingkap. Buat seketika saya memberhentikan kerja dan menatap pemandangan di luar. Pejabat saya mengadap Bukit Margalla yang indah di Islamabad. Kali ini tidak kelihatan bukit tersebut dan angin bertiup begitu kencang sekali. Saya risau. Saya rasa seperti akan ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Adakan monsun kali kedua akan melanda Islamabad atau Pakistan? Macam-macam dalam benak saya petang tadi. Ribut kencang diikuti pula dengan hujan yang begitu lebat. Pandangan ke rumah saya di sektor F7 agak gelap. Bertambahlah saya risau kerana jika cuaca buruk sebegini mustahil penerbangan saya ke Malaysia malam ini dapat diteruskan.

Hujan turun dengan lebat dalam 2 jam begitu. Bunyi air hujan dan angin silih berganti menerjah ke cermin di belakang saya. Saya meneruskan kerja dengan tekun. Banyak lagi yang perlu dibereskan. Beberapa slide presentation perlu disemak. Beberapa helaian kertas perlu ditandatangani kemudiannya. Berulang-kali anak-anak buah saya masuk ke bilik. Saya memerhati jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. hujan berhenti seketika. Saya lega. Tetiba hujan kembali lebat. Makin hebat. Saya pucat. Tolonglah jangan hujan ini berterusan sehingga ke waktu maghrib kerana ianya akan memberi impak kepada jadual penerbangan saya balik ke Kuala Lumpur pada malam ini

Alhamdulillah hujan berhenti selepas maghrib. Saya bersiap hendak pulang ke rumah. Kerja tidak habis juga akhirnya. Saya perlu habiskan jugak di lapangan terbang nanti. Tahukah anda bahawa di Islamabad ini, hujan adalah petanda untuk peralihan musim. Kali ini hujan adalah tanda peralihan daripada musim panas ke musim luruh. Selepas ini daun-daun pokok akan mula bertukar warna dengan indah sekali. Daun akan bertukar warna daripada hijau kepada merah, kuning, coklat dan oren. Saya suka akan suasana ketika musim luruh. Masakan tidak ini adalah kerana musim luruh menandakan sudah setahun aku mencari rezeki di bumi Pakistan ini. Saya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto pada 22 Oktober 2009. Tatkala itu musim luruh dan seluruh warga Islamabad menantikan hujan yang akan membawa mereka kepada musim dingin atau musim sejuk.

Proses daftar masuk di lapangan terbang berjalan dengan lancar. Tidak ada apa-apa masalah berlaku kali ini. Saya mengucapkan selamat tinggal kepada tukang masak (merangkap maid) dan pemandu saya. Sempat saya berpesan untuk menjaga rumah dengan baik. Mereka juga mengucapkan tahniah di atas majlis pertunangan saya kelak. Untuk pengetahuan anda, saya sebenarnya bercadang untuk balik Malaysia pada hari rabu. Saya sebenarnya ingin pergi ke kampung pemandu saya di Abbotabad hujung minggu tersebut. Ada majlis perkahwinan yang akan dilangsungkan di sana. Pastinya suatu pengalaman baru bagi aku menyaksikan majlis perkahwinan di kampung beliau di Abbottabad. Namun apakan daya tiada rezeki kali ini. Saya ada mesyuarat Isnin ini. dan perlu pulang ke Malaysia malam ini juga.

Cuaca pada musim luruh amat indah sekali. Sejuknya tak terkata. Belum musim sejuk yang sebenarnya. Saya masih ingat lagi akan perayaan hari raya korban atau Hari Raya Aidiladha yang disambut pada musim luruh tahun lepas. Bayangkan kami terpaksa bersolat sunat hari raya dengan berjaket kerana kesejukan. Kami di sini tidak termasuk saya kerana saya tertinggal jaket di rumah! Terpaksalah saya bersolat sunat dengan sejuknya. Suasana ketika mengerjakan korban juga berbeza kerana berlatarbelakangkan taman F7 yang berwarna warni ketika itu. Suasana sejuk namun indah sekali. Pasti aku akan merindui suasana hari raya haji ketika musim luruh tahun lepas. Memang sesuatu yang sukar digambarkan. Hanya tinggal kenangan yang kemas dalam lipatan sejarah kehidupan saya sahaja. Inilah coretan yang bakal saya ceritakan kepada generasi masa hadapan nanti. Pengalaman yang tidak boleh dijual beli dan didagangkan di mana-mana.

Selamat tinggal musim panas. Selamat tinggal musim mangga, kenangan melantak mangga sehingga sakit tekak pasti akan terpahat di dalam memori saya selepas ini. Segalanya berkisar akan mangga pada musim panas. Puas saya makan mangga. Daripada jus mangga sehinggalah kepada kerabu mangga. Musim panas juga pasti akan terpahat sebagai antara saat paling manis saya di bumi Pakistan kerana penjelajahan saya ke Utara Pakistan. Perjalanan ke Gilgit Hunza Skardu Deosai akan tinggal kenangan terindah buat selamanya.

Musim panas juga terpahat di dalam diariku apabila berlakunya dua insiden atau musibah yang melanda Pakistan. Terhempasnya pesawat Air Blue di Bukit Margalla dan banjir terburuk dalam sejarah 80 tahun Pakistan berlaku dalam musim panas ini. Diberitakan banjir besar kali ini adalah lebih teruk daripada kombinasi gempa bumi Pakistan 2005, taufan Katrina dan tsunami di Acheh. Selamat tinggal juga kepada suhu panas yang sungguh extreme. Aircond tidak terasa di musim panas.

Oh ya! Sayuran kangkung juga hanya wujud ketika musim panas. Rindu untuk memakan sayuran hijau (bukan jenis ubi) terubat tatkala mata memandang kepada sayuran kangkung dan bayam di rak-rak sayur di pasar. Syurga dunia rasanya dapat menikmati hidangan kangkung goreng belacan di rumah sendiri.

Selamat datang kepada musim luruh yang berwarna warni. Saya impikan suasana musim luruh yang indah dan sejuk sekali. Sewaktu bertolak tadi saya dah membawa jaket aku sekali. Sebab saya tahu sekembalinya aku ke bumi Islamabad selepas seminggu nanti, cuaca akan berubah dengan drastik. Suhu akan jatuh dalam 5 celcius sahaja pada waktu malam. Tahun lepas tak banyak gambar yang saya abadikan ketika musim luruh. Ye lah kan. masa tuh saya baru tiba, baru sahaja nak menyesuaikan diri di bumi Pakistan. masih takut-takut untuk berjalanan di sana-sini. Namun kali ini saya lebih bersedia. Kamera digital terbaru buat peneman tatkala saya abadikan suasana musim luruh di Pakistan.

p/s – ketika saya menaip coretan ini berlaku beberapa air turbulence di dalam pesawat. Gusar seketika. Terasa lama saya berada di dalam pesawat kali ini. Hai bilalah nak sampai ke bumi Malaysia ini. Tidak sabar rasanya ya 🙂

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 responses to “[2 Photos] Hujan Petang Ini Adalah Petanda Berakhirnya Musim Panas, Selamat Datang Kepada Musim Luruh dan Musim Dingin di Islamabad, Pakistan | Majlis Merisik/Meminang pada Musim Panas, Majlis Pertunangan pada Musim Luruh & Majlis Pernikahan/Persandingan Pada Musim Bunga | Marvi Rd, Near Jinnah Supermarket F-7 | Islamabad, Pakistan

  1. congrats..selamat bertunang 😉

    Reply

    KNizam Reply:

    bb : heh terima kasih ya. hehe 🙂

    Reply

  2. wahh tahniah yerr :)..nanti bawa isteri duk islamabad ke?

    Reply

    KNizam Reply:

    faizzah : hehe tengok la nanti mcm mana kan hehe 🙂

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge