[2 Gambar] Pengalaman Berterawih Bersama Jemaah Pakistan | Masjid Faisal | Islamabad, Pakistan

Pada kali ini saya nak coretkan sesuatu tanpa gambar yang banyak. Seperti yang kalian sedia maklum saya baru sahaja pulang ke Islamabad hari Jumaat malam yang lepas. Justeru saya sempat untuk berterawih bersama rakan-rakan warga Malaysia di rumah Malaysia pada Sabtu dan Ahad malam. Entah kenapa hari ini saya rasa seperti mahu berterawih di Masjid Faisal pula. Masjid yang menjadi tempat saya solat Jumaat setiap minggu.

Masjid Faisal adalah masjid terbesar di Islamabad. Rekabentuknya umpama kubah atau khemah arab berwarna putih. Masjid ini didermakan oleh Raja Faisal (King Faisal) dari Arab Saudi kepada kerajaan Pakistan, sebab itulah namanya Masjid Faisal. Rekebentuk masjid ini memang tak pernah saya lihat sebelum ini. Sungguh indah, lebih indah disirami lampu limpah di waktu malam. Jika anda bernasib baik anda dapat bergambar dengan Masjid Faisal yang dilatari pokok-pokok bunga mawar merah dan putih pada musim bunga. Setakat ini saya masih tidak bernasib baik lagi. Terlupa gamaknya untuk bergambar di Masjid Faisal semasa musim bunga yang lepas.

Pemandu saya datang mengambilsaya pada jam 8.30 malam. Isyak di Masjid Faisal ialah pada pukul 8.45 malam. Sesampainya aku di sana, saya letakkan selipar crocs kelabu di rak kasut. Saya dapati pintu hadapan masjid ditutup. Terpaksa pula menapak ke pintu utama di belakang. Ramai kanak-kanak kelihatan bermain-main di luar masjid. Manakan tidak, terdapat papan tanda yang melarang kanak-kanak memasuki ruang utama masjid sewaktu solat dilakukan. Untuk pengetahuan anda, masjid ini hanya akan dibuka ketika waktu solat sahaja. Saya masih ingat lagi semasa musim sejuk yang lepas, selepas solat maghrib, saya berkira-kira untuk membaca Al-quran sementara menunggu azan isyak. Sekali pengawal masjid menyapa saya dan mengarahkan saya keluar dari ruang solat utama. Saya tergamam tapi terpaksa akur demi keselamatan masjid.

Kali ini di dalam bulan ramadhan saya perhatikan disediakan bekas-bekas air minuman di dalam dan di luar masjid. Saya tidak berani nak meminumnya kerana saya tahu ianya adalah air paip sahaja. Perut kita warga Malaysia rasanya tidak tahan dengan air paip sebegitu. Jangan mengundang padah sakit perut dengan meminumnya secara bersahaja nanti ya. Masjid Faisal mempunyai sistem penghawa dingin dan kipas besar di atas lantai. Entah kenapa saya dapat rasakan yang penghawa dinginnya tidak dapat berfungsi dengan sempurna dan acapkali gagal untuk menyejukkan hawa di dalam ruang solat masjid utama ini. Di dalam masjid juga terdapat kawasan pancuran air pancut. Tapi tidak pula saya pernah lihat pihak masjid memasangnya. Mungkin takut karpet basah agaknya.

Saya dah berwuduk di rumah tadi jadi terus sahaja melangkahkan kaki ke ruang solat utama. Azan baru sahaja bergema menandakan masuknya waktu solat Isyak. Tak sampai 10 minit iqamat bergema di ruang solat utama. Dah lama rupanya saya tak singgah di Masjid Faisal pada waktu malam. Terdapat lampu chandelier yang sungguh besar berbentuk bulat tersergam indah di tengah-tengah siling ruang solat utama masjid. Sungguh indah, tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Semua tubuh yang melalui ruang solat utama untuk je barisan saf pasti akan terpana tatkala melihat keindahan chandelier raksasa tersebut. Nantilah saya letakkan gambar chandelier tersebut ya.

Saya bergegas ke barisan saf untuk menyertai jemaah Pakistani yang lain bersolat isyak. Saya perhatikan tidak terdapat warga asing yang lain selain daripada saya. Beginilah adat di negara orang, kita akan digelar dengan orang asing. Saya berbaju melayu hijau dan berseluar jeans. Macam biasa banyak mata-mata yang memandang ke arah saya tadi. Seolah-olah aku berjalan dengan tapak kaki emas lagaknya. Biarkan mereka nak memandang. Saya sememangnya ajnabi (asing) di sini ya. Ini baru berbaju melayu hijau, belum lagi berbaju melayu merah. Pasti terjegil mata mereka sekiranya saya berbaju melayu merah, bersongkok tinggi dipakai senget dan berkain pelikat mangga Langkawi nanti.

Nasib baik saya tidak berkain pelikat. Pasti akan jadi tumpuan di Masjid Faisal nanti. Saya bergegas ke saf nombor 3 dan bersedia untuk mengangkat takbir. Alunan suara imam bergema mengalunkan surah Al-Fatihah. Merdu sungguh suara imam malam ini. Saya seperti mahu menangus mendengar suara imam membaca surah ulung ini. Kadang-kadang kalau kita faham kandungan surah di dalam Al-Quran memang kita akan lebih rasa terkesan lantas mengalirkan airmata. Banyak sungguh pesanan dan hikmat surah-surah di dalam Al-Quran. Hanya kita yang tidak memahaminya sahaja yang rugi. Alangkah untungnya kalau saya dapat fasih berbahasa arab, pastisaya tidak akan ada masalah untuk memahami surah-surah lain kan.

Hampir kesemua jemaah Pakistan yang hadir tadi berpakaian kebangsaan mereka yakni salwar khameez. Mereka dan salwar khameez memang tidak dapat dipisahkan. Namun begitu ada juga yang berseluar jeans dan berkemeja. Ada geng rupanya. hehe. Selesai solat Isyak, kami menunaikan solat sunat. Saya menunaikan solat sunat 2 rakaat. Saya perhatikan kali ini jemaah Pakistan juga bersolat sunat 2 rakaat sahaja. Tidak seperti solat sunat selepas solat fardhu yang lain yang kadang-kadang boleh mencecah sehingga 12 rakaat, 2 raakat setiap satunya.

Selepas solat sunat ada bayan (tazkirah). Sekali lagi saya cuba menangkap apa yang cuba disampaikan oleh imam di dalam bayannya. Macam biasa saya akan gagal buat kesekian kalinya. Apa yang saya buat bila tak faham dengan urdu mereka ? Saya mengambil gambar lampu chandelier dan merakamkan video bayan dah gerak-geri jemaah Pakistan di dalam ruang solat utama masjid. Kalau asyik menongkat dagu cuba memahamkan bahasa urdu mereka, mau sahaja tertidur saya nanti.

Secara keseluruhannya solat terawih di sini adalah sama dengan solat terawih di malaysia. Cumanya di masjid-masjid di Pakistan tidak adalah majlis berbuka puasa besar-besaran (ditaja oleh syarikat mahupun individu seperti di masjid saya di Taman Melawati) dan majlis moreh selepas solat terawih di malaysia. Sila jangan mengharap untuk meneguk air sirap bandung cincau mahupun merasa bubur kacang hijau selepas solat terawih di sini ya. hehe.

Owh! sirap bandung atau soda gembira, di manakah dikau menghilang?

Di sini juga kawalan keselamatan agak ketat. Di mana-mana sahaja terutamanya di kawasan masjid, samada di ruang letak kereta, di luar ruang masjid utama mahupun di dalam ruang solat utama terdapat polis berkeliaran memerhatikan jemaah. Mereka sudah fobia dengan insiden pengeboman yang semakin menjadi-jadi di masjid-masjid di Pakistan. Mereka tiada pilihan lain. Kita warga asing pula kadang-kala terasa rimas dan tidak aman dengan situasi sebegini. Sedikit pesanan untuk warga Malaysia di Malaysia, hargailah keamanan yang ada. Kerana jika keamanan itu hilang, anda akan meratapinya, sungguhpun anda tahu ianya tidak akan kembali lagi. Di sini jika nak masuk ke ruang solat pun akan diperiksa melalui scanner dan ada pemeriksaan badan secara menyeluruh oleh polis di depan pintu. Tidak pernah terfikir oleh saya perkara sebegini sebelum menjejakkan kaki ke bumi asing Islamabad ini.

Ssemasa solat Terawih bau yang tidak menyenangkan juga agak berkurangan di dalam ruang solat utama. Tidak seperti ketika solat Jumaat. Kadang-kadang saya rasa terganggu juga dengan bau badan mereka. Bau tersebut juga seolah-olah telah melekat ke karpet-karpet biru di dalam masjid. Selama ini puas juga saya menggunakan wangian  Hugo Boss acapkali singgah ke masjid ini. Namun tadi Alhamdulillah saya dapat fokus kepada ibadat terawih tanpa gangguan. Mungkin kerana jemaah tidak ramai yakni sepanjang 4 saf sahaja. Mungkin juga sebab kipas yang terpasang dengan kuat dan melampiaskan bau-bau badan mereka ke ruang lingkup masjid yang besar. Mungkin juga kan.

Di sini juga dilakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat. Imam akan mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran yang indah. Sedap didengar di halwa telinga. Terus terang saya katakan yang saya memang terpesona dengan bacaan imam tadi. Saya akan bersolat terawih lagi di sini nanti. Mungkin akan berselang-seli dengan solat terawih di Rumah Malaysia. Esok kenalan baru akan sampai di Islamabad. Mungkin saya akan mengajak mereka untuk berbuka puasa dan berterawih di Rumah Malaysia sahaja. Inilah masanya memperkenalkan mereka kepada warga Malaysia di Islamabad.

Sabar ya Imam Muda, saya akan kembali ke ruang legar masjid untuk solat terawih lagi nanti !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

9 responses to “[2 Gambar] Pengalaman Berterawih Bersama Jemaah Pakistan | Masjid Faisal | Islamabad, Pakistan

  1. mesti sunyi kan sorang2 je kat sana…. emm… dah berapa lama bro kat sana ye?

    Reply

    KNizam Reply:

    amir : dah dekat setahun dah. lama lagi wooo kat sini ok hehe 🙂

    Reply

  2. sayu je.. semua tu ok. tapi yang tak tahan tu pasal bau badan. mesti tak tahan bau depa.

    Reply

    KNizam Reply:

    luth : mmg tak tahan woooo. x khusyuk aku dibuatnya tau hehe 🙂

    Reply

  3. luar biasa panjang post entry kali ini KNizam! Feeling jugak luar biasa 🙂

    Reply

    KNizam Reply:

    noni : hehe sekali sekala meluahkan perasaan kena la panjang2 lagipun ni bukannya liveblog pun hehe 🙂

    Reply

  4. tang part iman baca tu aku mmg teringin nak dgr tu. suka baca entry ni

    Reply

    KNizam Reply:

    matjoe : memang sedap sebab depa import from tanah suci woooo hehe 🙂

    Reply

  5. tudiaaaaaaaaaaa
    panjang berjela lela manja

    memang cerita habis2 ni namanya.

    p.s gambo tu dari phone ke camere?

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge